Wednesday, March 8, 2017

Kaedah Hafazan Neuro Nadi



Bismillahirrahmanirrahim

Entry kali ini saya tulis khas untuk mentee-mentee saya, dari Sekolah Rendah Islam Tahfiz Darul Hana’, Bintulu. 

Alhamdulillah, sudah dua tahun saya mengajar bidang hafazan al-Quran menggunakan kaedah hafazan neuro nadi dan Alhamdulillah saya sangat berpuas hati melihat pencapaian murid saya berbanding kaedah takrir yang saya gunakan sebelum ini.

Mula mengenali kaedah ini melalui adik saya sendiri, Nurul Ain yang mengajar di Al-Baghdadi Playing Centre, Kubang kerian. Melalui pengamatan menerusi video yang ditunjukkan adik saya,  saya amat tertarik melihat murid seawal 4 tahun telah dapat menguasai hafazan menggunakan kaedah ini pada kali pertama sesi pengajaran dan pembelajaran.

Melalui kaedah ini murid akan dapat menghafaz surah bukan sahaja secara turutan biasa iaitu dari mula hingga akhir, malah mampu membacanya dengan cara terbalik iaitu dari akhir hingga awal. Murid juga boleh menjawab dan memetik mana-mana nombor ayat yang kita mahu. Juga, jika kita membaca mana-mana ayat, murid dapat menyatakan ayat nombor berapakah itu. 

Teknik ini menumpukan pengaktifan otak kanan dalam memudahkan hafazan al-Quran. Melalui pengalaman saya sendiri, sebelum ini dalam sesi pdp, saya hanya menggunakan kaedah takrir iaitu pengulangan menggunakan turutan nombor ayat dalam surah. Kaedah takrir yang biasa ini hanya menggunakan otak kiri untuk menghafaz. 

Hafazan yang dilakukan dengan otak kiri adalah berbentuk mengikut turutan dan susunan tertentu (logik). Penghafalan dengan satu dimensi ini sahaja amat memenatkan dan ianya hanya menggunakan 50% kemampuan sebenar kita. Penggunaan kaedah ini sangat membantu murid saya belajar dengan lebih seronok dan mengingati ayat dengan cara yang lebih efektif.


Bagaimana cara pengajarannya?

1.    Perkenalkan nadi surah.
Sebelum menghafaz ayat al-Quran, perkenalkan dahulu kepada murid fakta penting berkaitan dengan surah. Biasanya saya akan perkenalkan dalam bentuk peta minda. Hanya secara umum. Ini kerana, di sekolah rendah murid akan diajar lebih menyeluruh berkaitan sesuatu surah dalam bidang tafsir al-Quran. Jadi cukup, memberikan input pengenalan secara umum kepada murid. Setelah murid mengingati fakta, kebiasaannya, murid akan dijemput ke hadapan untuk berkongsi kembali fakta yang dipelajari. Ataupun, guru boleh menyediakan peta minda yang sama untuk diisi oleh murid.



2.    Sebelum menghafaz, guru akan membaca keseluruhan surah terlebih dahulu dan murid diminta memerhatikan ayat yang di baca.

3.    Selepas itu, guru akan memberi penerangan dahulu teknik yang akan digunakan. Bagi saya, penerangan ini sangat penting untuk membantu murid memahami aktiviti yang akan dilakukan oleh mereka. Kebiasaannya dalam kelas saya, murid akan disusun mengikut kumpulan masing-masing.

4.    Guru akan memaklumkan kepada murid bahawa guru akan membaca ayat pertama tiga kali. Murid dikehendaki melihat pada mushaf. WAJIB tengok. Tidak perlu membaca lagi. Dengar dan tengok pada ayat yang dibaca oleh guru. Cara membaca adalah, guru akan menyebut nombor ayat dan akan membaca ayat. Langkah yang sama diulang untuk kali kedua dan ketiga.
Contoh: Surah al-Qariah, guru akan sebut
“Satu, al-Qariah.”
“Satu, al-Qariah.”
“Satu, al-Qariah.”

5.  Kemudian murid akan MEMBACA SAMBIL MELIHAT MUSHAF sebanyak tiga kali. Kaedah yang sama akan digunakan. Sebutkan nombor diikuti dengan ayat. Murid akan membaca dalam kumpulan. Bergilir-gilir antara kumpulan menggunakan kaedah yang sama, MEMBACA SAMBIL MELIHAT MUSHAF sebanyak tiga kali. WAJIB sebut nombor ayat. Sekiranya murid terlupa menyebut nombor ayat, guru perlu memberi teguran kepada murid.

6.    LANGKAH SAMA diulang TANPA MELIHAT MUSHAF. Guru membaca hafazan tanpa melihat mushaf sebanyak tiga kali diikuti oleh murid secara beramai-ramai seterusnya membaca mengikut kumpulan.

Guru perlulah menguji setiap kumpulan untuk ayat yang pertama. Sekiranya murid dapat mengingati ayat pertama, langkah yang sama diulang untuk ayat kedua, ketiga sehingga ayat terakhir surah tersebut. 

Secara asasnya, teknik ini menggunakan teknik takrir iaitu pengulangan. Apa yang menariknya kerana menghafaz secara berkumpulan, dibaca kuat-kuat dan berlagu untuk memaksimakan penggunaan audio dan kinestetik.


Bagaimana cara menguji hafazan murid?

Terdapat beberapa kaedah untuk menguji hafazan murid.
1.    Guru menyebut nombor ayat, murid akan membaca ayat untuk nombor tersebut.
2.    Guru membaca ayat, murid akan meneka nombor ayat tersebut.
3.    Guru meminta murid mengulang hafazan mengikut turutan nombor iaitu ayat 1,2,3,4 hingga ayat terakhir.
4.    Guru meminta murid mengulang hafazan mengikut turutan dari belakang iaitu ayat terakhir, 4,3,2,1
5.    Guru meminta murid mengulang hafazan mengikut nombor secara rawak.

Tujuan menghafaz dengan nombor supaya murid dapat hubungkan otak kanan dan kiri. Sekiranya diamalkan teknik untuk semua surah, murid akan mudah mengingati ayat berapa, surah apa dan kedudukan ayat dalam mushaf.

Bagaimana sekiranya murid tidak tahu membaca?

1.    Guru menyediakan keratan surah dalam tulisan rumi.
2.    Bantu murid untuk membaca dengan sebutan yang betul.
3.    Kaedah pengulangan bacaan boleh dilakukan lebih dari tiga kali
4.    Ayat dibahagikan kepada keratan yang lebih pendek. Bantu dan bimbing murid untuk menghafaz keratan demi keratan dan dicantumkan menjadi satu ayat. Kemudian hafaz semula mengikut kaedah neuro nadi dengan menyebut nombor ayat.

Setelah murid mengingati keseluruhan ayat, minta murid untuk menyalin kembali surah yang dihafaz dengan melihat mushaf. Bagi murid saya, yang tidak tahu membaca, saya akan meminta mereka menulis kembali ayat yang dihafaz dalam tulisan rumi tanpa melihat mushaf. Menulis kembali ayat yang telah dihafaz sangat membantu menguatkan ingatan murid. Semoga melalui teknik ini, akan lahirlah lebih ramai al-huffaz dan jilul al-Quran. Amin

Bintulu,
10 Jumada al-Thani 1438,
11.44 malam

Monday, March 6, 2017

Pulang ke kampung abadi


Bismillahirrahmanirrahim




Makin bertambah usia
 Makin berkurang insan disekelilingku
Seorang demi seorang
pulang melalui pintu kematian 
seorang demi seorang
pulang dijemput Tuhan

Cukup-cukuplah dengan dunia
Cukup-cukupkanlah bekal
untuk pulang ke kampung abadi 
 
Siapa tahu esok esok giliranku
Siapa tahu esok-esok gilirianmu


Bintulu,
10.10.2016.

Sunday, March 5, 2017

Kesayangan Allah



Bismillahirrahmanirrahim



Menjadi kesayangan Allah ternyata bukan semudah yang disangka. Walau pelbagai cara telah terbentang, namun tetapku masih merasakan begitu sulit untuk berurusan dengan hatiku.


Siapa tidak mahu menjadi kesayangan Allah?

 

Aku masih mengingati, bagaimana didikan guruku. Saat aku masih kecil. Jika aku melakukan sesuatu yang salah, pasti guruku akan berkata, “Nak Allah sayang tak?” Aku cuba menanamkan kaedah mendidik yang sama. Ternyata bukan mudah. Benar, tidak semudah yang ku sangka. Pasti guruku jua adalah kesayangan Allah, hingga kata-katanya mampu membuatkan setiap murid ingin sekali berebut-rebut menjadi kesayangan Allah dan berusaha untuk tidak membuat Allah marah. Kalau aku membuat silap pasti ditanya, "Allah marah tak kalau macam ni?"


Kita sering kalah dengan hati kita.
Terlalu sering.

Kita sering berkira-kira dengan segala usaha untuk menjadi kesayangan Allah. Tapi pelik, tidak pula kita berkira-kira untuk menjadi kesayangan makhluk. Sedangkan yang abadi itu Allah dan makhluk (segala ciptaannya) dalam hidup kita hanyalah fatamorgana yang sering membawa diri kita semakin hanyut dari impian kita untuk menjadi kesayangan Allah. 


Ayuh, tadahkan tangan, amalkan doa ini. Moga-moga impian menjadi kesayangan Allah menjadi nyata walau lebih banyak jatuh dari bangunnya. Kesat air mata, tadah tangan laju-laju. Tekadkan dalam hati, moga-moga doa ini terus menjadi amalan. Amin



 
Tetap mau jadi kesayangan Allah,
Walau sukar dan sering jatuh bangun.
17 Januari 2017,
6.25 PM.