Bismillahirrahmanirrahim..
TERBIT MATA AIR, BERKAT DOANYA
Kulaib
Bin Syarif adalah seorang wali Allah yang doanya sering dikabulkan oleh Allah
s.w.t. Pada suatu ketika, Syeikh Kulaib bersama rombongan kafilahnya telah
pergi menunaikan haji di Makkah. Mereka membawa bekalan makanan dan minuman
yang mencukupi untuk keperluan di sepanjang perjalanan.
Setelah
beberapa hari perjalanan , bekalan minuman mereka pun habis. Semua ahli
rombongan merintih akibat tidak berdaya menahan dahaga. Syeikh Kulaib amat
bersimpati dengan penderitaan ahli rombongan itu. Beliau cuba memujuk mereka
supaya bersabar di samping berdoa kepada Allah s.w.t. “bersabarlah kamu semua.
Sebentar lagi kita akan tiba di suatu kawasan mata air,” ujar Syeikh Kulaib
bagi mententeramkan ahli rombongannya. Mereka pun kembali bersemangat
meneruskan perjalanan. Dengan izin Allah selang beberapa hari kemudiannya,
mereka bertemu suatu kawasan mata air. Semua ahli rombongan itu begitu gembira.
Mereka mandi dan minum sepuas-puasnya serta mengisi bekas minuman
masing-masing. Semua ahli rombongan kembali segar dan bertenaga. Mereka pun
mula meneruskan perjalanan. Anehnya, sebaik sahaja mereka berangkat
meninggalkan tempat itu, mata air mula lenyap dari pandangan mereka.
Masing-masing kehairanan, namun bersyukur kepada Allah kerana telah
menyelamatkan mereka dari kehausan.
Dalam
perjalanan seterusnya, rombongan kafilah itu telah diancam oleh segerombolan
perompak. Mereka semua merasa takut. Bagaimanapun, Syeikh Kulaib meminta mereka
supaya bertenang.
“Janganlah
kamu takut. Ada yang menjaga kafilah ini dari ancaman,” kata Syeikh Kulaib.
Ternyata apa yang dikatakan oleh beliau ada kebenarannya. Gerombolan perompak
itu tidak berjaya menghampiri mereka. Berkali-kali perompak itu cuba menyekat
perjalanan mereka namun dengan izin Allah usaha mereka sering terhalang.
Rombongan kafilah pun meneruskan perjalanan dengan selamat.
No comments:
Post a Comment