Sunday, March 8, 2009
salam Maulidur Rasul
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Kehidupan Rasulullah adalah kehidupan yang penuh teladan bagi umat, acuan dakwah sekaligus sebagai pedoman hidup. Beliau adalah teladan dalam ketaatan, dalam beribadah dan berakhlak yang mulia. Teladan dalam bermuamalah yang baik dan dalam menjaga kehormatan dan kemuliaan. Cukuplah pujian Allah atas beliau sebagai buktinya, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
"Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung." (Al-Qalam 4)
Ahlus Sunnah wal Jamaah menempatkan Rasulullah pada kedudukan yang diberikan Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada beliau, iaitu sebagai hamba Allah dan Rasul-Nya. Ahlus Sunnah Wal Jamaah tidaklah berlebih-lebihan dalam menyanjung Rasulullah . Kedudukan yang telah diberikan Allah Subhanahu wa Ta'ala sudah cukup untuk menunjukkan ketinggian darjat beliau. Kita, sebagai Ahlu Sunnah, wajib berjalan di atas prinsip tersebut, kita tidak boleh mengada-adakan perbuatan bid'ah, seperti mengadakan peringatan maulid Nabi serta perayaan-perayaan sejenisnya. Namun manifestasi cinta kita kepada beliau ialah dengan mentaati perintah beliau, menjauhkan diri dari segala yang dilarang dan dibencinya.
Dalam sebuah syair dituturkan:
Yang harus kita maklumi, beliau hanyalah seorang manusia biasa.
Di samping beliau adalah hamba Allah Subhanahu wa Ta'ala yang terbaik.
Allah Subhanahu wa Ta'ala mengistimewakan beliau dengan stempel putih kenabian.
Bagaikan cahaya yang terang bersinar.
Allah Subhanahu wa Ta'ala menyertakan nama beliau dengan asma-Nya.
Saat muazzin mengumandangkan azan lima kali sehari semalam dengan bersyahadat.
Hingga nama beliau dipetik dari namaNya sebagai penghormatan.
Allah Subhanahu wa Ta'ala, pemilik 'Arsy adalah Yang Maha Terpuji,
Sementara beliau adalah yang terpuji.
Meskipun kita tidak sempat menyaksikan beliau secara langsung di dunia, kerana terpisah ruang dan waktu, namun kita tidak akan bosan memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga kita termasuk orang-orang yang disebutkan Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:
"Betapa ingin aku bertemu dengan saudara-saudaraku!" Para sahabat berkata: "Wahai Rasulullah, bukankah kami ini saudara-saudaramu?" Rasulullah menjawab: "Kamu sekalian adalah sahabat-sahabatku, saudara-saudaraku adalah generasi yang belum lagi muncul." "Wahai Rasulullah, bagaimanakah engkau dapat mengenali suatu generasi dari umatmu yang belum lagi muncul?" tanya sahabat. Beliau menjawab: "Bagaimanakah menurutmu, bila seseorang memiliki seekor kuda yang putih kepala dan kakinya di antara kuda-kuda yang hitam legam, bukankah dia dapat mengenali kudanya?" "Tentu saja wahai Rasulullah!" jawab mereka. "Sungguh, mereka akan datang dengan warna putih bercahaya pada wajah dan tubuh mereka disebabkan air wudhu'. Dan akulah yang akan mendahului mereka tiba di telaga (Al-Kautsar)!" jawab beliau." (HR. Muslim)
Ana memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga kita semua tergolong orang-orang yang mengikuti jejak beliau dan meneladani kehidupan beliau serta menapaki sunnahnya. ana juga memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga Dia Subhanahu wa Ta'ala mengumpulkan kita bersama beliau di Syurga 'Adn. Dan semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan pahala yang sempurna bagi beliau sebagai balasan atas seluruh yang telah beliau persembahkan. Shalawat dan salam semoga tercurah atas beliau, segenap keluarga serta sahabat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment