Friday, June 29, 2018

Ragam Murid vs Ego Guru

Bismillahirrahmanirrahim


Hari Jumaat yang indah telah Allah izinkan untukku terus hidup dalam susuk tubuh penuh dosa ini. Hari ini hati sedikit rapuh, apabila murid-murid melakukan sesuatu yang tidak beradab dalam pandanganku. Terus kaki melangkah keluar dari kelas. Buat kali pertamanya melakukan perkara sedemikian rupa. Sebenarnya tidak marah tapi lebih kepada ego. Setelah itu, mulalah menyesal dengan tindakan diri sendiri. Kurang matang dan profesional menurut tafsiran akal yang waras. Tidak lama kemudian, datang si murid yang bersalah memohon maaf. Hmmm maafkan sikap ego gurumu ini duhai murid. Terus kaki melangkah kembali ke tingkat 3. Kerana, aku sedar, bukan cerminan keegoan inginku ajarkan kepada mereka.


Lantas, membukakan bicara, agar belajarlah menghargai setiap guru kalian. Berusahalah untuk mengamalkan adab yang telah dipelajari. Kerana kami dengan rasa berat dan perit meninggalkan kesayangan jauh beribu batu dan berkorban harta untuk datang ke bumi Darul Hannan ini demi satu niat untuk mengenalkan kalian  dengan Islam dan kecintaan kepada Allah. Kelas sunyi sepi. Suaraku sedikit sebak. Fikiran tiba-tiba menerawang terkenangkan pengorbanan sahabat-sahabat baginda SAW yang jauh lebih hebat meninggalkan Mekah  demi mengajarkan Islam di bumi Madinah. Pengorbanan mereka yang terlalu hebat tiba-tiba menjadikan aku malu dengan diri. Laju benar Allah menjentik kembali keegoan diriku. Hampir menitis air mata. Berusaha menahan sebak sambil membelek helaian al-Quran.



Lama aku menarik nafas menghilangkan sebak di dada. Dengan kekuatan dari Allah, aku kembali melafazkan bismillah dan kembali mengajarkan kalam Allah. Sungguh cantik aturan Allah. Surah al-Thur yang dibaca cukup indah berkait nikmat Syurga. Aku mengambil peluang untuk menceriakan kembali suasana yang agak suram dengan keindahan nikmat Syurga. Selesai kami membaca surah al-Thur, aku segera membuka cerita berkaitan beberapa ayat dari surah ini. Antaranya, keindahan nikmat syurga yang dinantikan oleh ahlinya. Saat terindah apabila orang beriman dipertemukan kembali dengan ahli keluarga mereka yang beriman di dalam syurga. Sesi bercerita kemudiannya meleret ke beberapa kisah nikmat syurga yang lain. Kelas kembali hangat dengan banyak persoalan berkaitan nikmat Syurga dalam ayat dibaca. Syukur, hati yang sedih tadi kembali berbunga dan tenang untuk terus berkongsi. Kisah paling hangat apabila tiba pada ayat bidadari.


Lantas bersemangat menceritakan kepada murid. Teringat kisah yang diceritakan oleh Ustaz Azhar Idrus bahawa tiap-tiap  orang yang beriman, Allah SWT akan buatkan untuk mereka bidadari. Allah SWT akan tulis nama di atas dada bidadari itu. Jadi, tidak akan bertukar. Bidadari takkan pergi pada orang lain. Disebut dalam satu riwayat. Apabila bidadari rindu pada suami mereka, mereka akan keluar dari istana di syurga. Apabila melihat para bidadari keluar, malaikat Riduan bertanya, kenapa semua keluar ni? Bidadari menjawab, kami nak lihat suami kami. Rindunya, lamanya mereka nak datang ke sini (Sebab belum kiamat lagi, mereka tidak dapat datang ke syurga.) Maka malaikat Riduan meminta mereka menjenguk ke atas. Dengan demikian Allah SWT  memperlihatkan suami-suami mereka yang masih ada di dunia. Ada yang sedang solat malam, bersedekah, berzakat dan membuat kebajikan. Bersorak gembiralah mereka dan ada yang berkata :" Oh alangkah baiknya suamiku."  Murid-murid lelaki semuanya gembira mendengar kisah ini terutama apabila tiba di bahagian bidadari memuji suaminya.


            Alhamdulillah, kelas yang sedih berakhir dengan kegembiraan kisah-kisah nikmat syurga. Sebelum berakhir kelas, tiba-tiba seorang murid lelaki meninggikan suara pada kawannya. Lantas segera ustazah menyakat “Eh, tak malu ke kat bidadari yang sedang tengok bakal suami dia tengah bergaduh ni?”. Terus semua murid lelaki duduk dengan sopan. Malu dengan bidadari mereka kononnya. Aduhai. Murid-murid ni memang beribu ragam yang kadang menceriakan hari dan kadang mencabar keegoan seorang guru. Terima Kasih Allah di atas pengajaran hari ini.


Aku coretkan agar tidak lupa,
Jumaat,
29 Jun 2018.
6.05 Petang.