Tuesday, July 18, 2017

Etika dan Kerohanian



Bismillahirrahmanirrahim




Kelas Isu-isu Pendidikan hari tersebut agak hangat. Satu demi satu isu pendidikan telah dikupas oleh rakan sekelas yang majoriti adalah pendidik. Semua pandangan berkaitan isu pendidikan dilontarkan dari perspektif seorang guru. Ada isu yang panas, ada isu yang hambar, ada isu yang jemu dan tepu didengar kerana isu itu umpama tiada jalan keluar. Seorang rakan sekelas menyentuh isu berkaitan nilai. Jika dilihat aspirasi murid yang kelima dalam PPPM ialah memiliki etika dan kerohanian tinggi. Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dalam coraknya yang transformatif mampu membangun nilai etika dan kerohanian supaya ia menjadi benteng kekuatan menghadapi cabaran alaf 21.



Namun sejauh manakah Negara kita telah berjaya menongkah arus transformatif seiring melahirkan insan yang memiliki etika dan kerohanian yang tinggi ini? Melihat yang di atas semakin hanyut melupakan nilai agama dan etika cukup menggambarkan keparahan penyakit masyarakat kita. Perkara yang cukup menarik perhatian saya, apabila rakan pembentang tersebut melontarkan persoalan pernahkah pihak pentadbir atau pihak atasan bertanyakan persoalan sejauh manakah anak-anak cikgu di sekolah berjaya mempamerkan nilai murni dalam diri mereka? Apa nilai murni yang murid-murid amalkan hari ini? Apa yang pasti bukan persoalan ini yang sering dan kerap ditanya oleh mereka melainkan persoalan berkaitan pencapaian, KPI dan sebagainya. Atau yang mana lebih kerap ditanya oleh ibu bapa? Soal akhlak atau sekadar perkembangan kognitif anak-anak dengan meninggalkan sepi soal kerohanian. Malah, kadang soal kerohanian adalah satu soalan yang tersangat sensitif untuk disentuh. Sedih dan menyedihkan. Inilah realiti kehidupan.




            Melihat kepada persoalan ini, saya kembali merenung jauh ke dalam diri, sejauh mana pula usaha saya dalam menerapkan nilai kepada murid-murid saya. Tugas menjadi guru agama bukan mudah. Amanah kami adalah mengenalkan mereka dengan Tuhan dan berusaha menjadikan rasa berTuhan bertunas dan tumbuh mekar dalam hati mereka. Rasa berTuhan itulah yang akan memimpin sikap dan akhlak dalam kehidupan mereka. Sungguh, usaha dan cabaran mengenalkan Tuhan di tanah yang satu ini dalam bukanlah  sama dengan cabaran ketika saya mengajar murid-murid di semenanjung. Bukan berniat membezakan tetapi itulah realiti. Apabila saya bertanya siapa Tuhan kamu? (Kamu adalah kata ganti nama diri yang digunakan dalam pedagogi pendidikan sekolah rendah) kepada murid pra sekolah. Mereka masih belum kenal siapa Allah. Berbeza dengan jiwa di semenanjung, murid rata-ratanya telah kenal siapa Tuhan mereka. Malah, apabila saya mengajarkan sirah, mengenalkan mereka dengan Rasulullah, mereka masih beranggapan bahawa Rasulullah itu adalah susuk tubuh yang masih wujud di zaman ini dan mereka terkejut apabila mengetahui bahawa Rasulullah sebenarnya telah lama wafat meninggalkan kita. Jarang sekali saya berjumpa anak-anak yang dekat jiwanya dengan Allah dan RasulNya di bumi borneo ini. Apabila saya terjumpa murid-murid yang benar-benar mengenal TuhanNya pasti akan tersentuh hati saya.



  Begitu juga dalam soal tuntutan utama seorang muslim. Jarang sekali mereka menunaikan sembahyang. Mungkin ada yang tidak pernah mencecahkan dahi ke tikar sejadah. Soalan wajib ditanya sebelum PdPc saya adalah siapa telah menunaikan solat subuh pagi tadi? Soalan itulah yang saya ulang dan ulang setiap hari. Murid yang solat diberikan pujian. Hari demi hari tangan yang mengangkat semakin ramai. Itulah kepuasan saya.

 

Kehidupan keluarga yang bercampur agama, bercampur makanan halal haram dan pelbagai perkara yang menjadi cabaran dalam hidup dalam beragama bagi anak sekecil usia di bawah 12 tahun itulah realiti yang perlu ditadah di sini. Kehidupan bercerai-berai ditinggalkan sang ibu atau ayah, hidup menagih kasih sayang insan lain. Ditinggalkan ibu kandung dan hidup bersama bapa pemabuk yang tidak bekerja.  Itulah kisah setiap hari. 


 Bagaimana saya mahu solat ustazah? Ibu bapa saya tidak solat.

Ustazah mak saya tidak membenarkan saya memakai tudung. Apa perlu saya buat?


Kehidupan beragama mereka penuh cabaran. Nasab keluarga kacau bilau. Anak angkat berbin dan berbintikan bapa angkat adalah situasi biasa di sini walaupun perkara itu diharamkan di dalam Islam. Saya sendiri kurang pasti bagaimana mereka boleh mendaftarkan nama anak angkat bernasabkan bapa angkat. Adakah kerana tiada peraturan jelas di negara kita yang melarang orang Islam menasababkan anak angkat dengan bapa angkat walaupun perkara itu jelas diharamkan.


Memang menitipkan etika dan kerohanian bukan sekadar hafalan atau skor di atas kertas peperiksaan tetapi ia adalah suatu yang subjektif kerana melibatkan sikap dan pengamalan. 


Namun, dalam kesukaran ini mengajarkan mereka yang masih belum mengenal Tuhan berkenalan dengan Tuhan mereka adalah detik yang indah. Mengajarkan mereka mengenal Tuhan melalui asma’Nya yang indah adalah suatu nikmat. Melihat mereka mampu mencecahkan dahi ke tikar sembahyang adalah suatu kepuasan. Membilang angka yang mengangkat tangan semakin ramai ketika ditanya tentang solat mereka adalah suatu rasa yang tidak terungkap. Mendengar mereka dapat membaca huruf, kalimah dan ayat –ayatNya dalam keadaan merangkak-rangkak hingga lancar sebelum meninggalkan alam sekolah rendah adalah suatu saat yang paling dinantikan oleh sang guru. Melihat mereka hidup dalam nilai beragama dan mampu menunjangkan rasa berTuhan dalam tindak tanduk mereka walaupun setelah tiada lagi di sisi guru adalah suatu nikmat yang tak terungkap.


Inilah harga yang perlu kami kejar untuk KPI mendidik murid dalam memiliki etika dan kerohanian tinggi. Bukan mudah dan memang tidak semudah mengejar KPI untuk mendapatkan skor ‘A’ dalam peperiksaan. Mungkin bukan ini menduduki tangga pertama dalam penilaian aspirasi murid. Tapi tanpa asas ini, bayangkan cabaran alaf 21 yang tidak sekadar cabarannya ilmunya tetapi cabaran menongkah arus modenasi. Adakah bakal terlahir kehidupan yang menolak etika dan kerohanian tanpa pedoman sehingga berkembangnya tabiat haiwani dan resam manusiawi terpinggir?



24 Syawal 1438H, 
Bintulu Sarawak.

No comments: