Tuesday, July 31, 2018

Cabaran guru agama


Bismillahirrahmanirrahim




Mengambil sedikit ruang untuk menulis, melepaskan beban fikiran yang ada. Sungguh, walaupun hampir lima tahun di bumi Darul Hanan ini, saya masih buntu memikirkan solusi dalam membantu murid-murid Islam di sini. Berhadapan dengan umat Islam di sini yang terlalu sedikit angka yang benar-benar mengamalkan Islam dalam kehidupan menjadi cabaran terbesar dalam mendidik. Jika hari ini, murid diajar menutup aurat, pulang ke rumah, sang ibu pula melarang anak bertudung. Jika hari ini, murid insaf dan menitiskan air mata mengenangkan diri masih belum sempurna solat, pulangnya nanti berhadapan dengan ibu bapa yang sejadah entah ke mana. Jika hari ini, murid belajar erti puasa menahan lapar dan dahaga, pulang ke rumah tidak berpuasa ketika Ramadan, sang ibu hanya melihat tanpa menegur kesalahan yang nyata di depan mata. 




            Cabaran terbesar adalah berhadapan dengan murid yang sudah baligh di awal usia 9, 10 tahun. Tetapi, ibu dan bapa tidak memainkan peranan mereka mengenalkan didikan awal berkaitan pedidikan awal remaja termasuk pendidikan awal haid. Perlu diketahui, di dalam silibus Pendidikan Islam di sekolah rendah, TIDAK ADA TAJUK KHUSUS berkaitan fiqh darah wanita ini. Di sinilah peranan ibu bapa diuji. Adakah mereka telah berjaya memberi pencerahan kepada anak-anak. Duhai ibu, ajarlah anakmu untuk menghadapi salah satu saat penting dalam kehidupannya, bertukar gelaran dari kanak-kanak ke remaja. Bertukar dari seorang yang masih suci kepada seorang yang mula dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatannya nanti. Ibu, ajarkanlah anakmu mengenal warna-warna darah haid, mengira tempoh haid, mengira tempoh suci, ajarkanlah mereka mencatat jumlah hari kedatangan haid, ajarkanlah mereka tatacara menjaga kebersihan ketika haid, ajarkanlah mereka apa itu istihadhah dan beberapa perkara lain yang cukup penting. Haid pertama seorang remaja bermaksud seseorang itu telah baligh, diwajibkan ke atasnya segala tanggungjawab syarak seperti menunaikan sembahyang lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menutup aurat dan sebagainya serta mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangannya atau digelar sebagai mukallaf.


            Saya teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh sahabat baik saya. Ketika beliau kali pertama didatangi haid, maka ketika itu arwah bondanya memanggil beliau dan duduk bersama-sama beliau. Arwah bondanya menerangkan kembali dengan tertib bahawa beliau telah baligh, menyebut kembali tanggungjawab-tanggungjawab sebagai seorang Islam, menguji kembali kefahaman beliau berkaitan perkara-perkara asas fardhu ain. Bagi saya, ini adalah contoh yang amat wajar diikuti oleh ibu-ibu diluar sana. Bagaimana seorang ibu memainkan peranan ‘menyemak’ kembali kefahaman anaknya yang telah baligh dan memberi kefahaman kepada si anak bahawa kedatangan haid pertama itu bukan hanya perubahan dari sudut fizikal, emosi semata-mata tetapi perubahan dari sudut tanggungjawab. 


            Benar, menjadi seorang guru agama seolah-seolah menggalas tanggungjawab membentuk seorang murid “A to Z”. Hakikatnya, kami takkan mampu membentuk anak-anak kalian tanpa didikan berterusan di rumah. Sekadar luahan, jika anda menjadi kami, apa solusi terbaik dalam memastikan kesinambungan pendidikan agama ini?

Guru yang sentiasa pening,
1 Ogos 2018 (Rabu),
19 Zulkaedah 1439H,
Bintulu, Sarawak.