Bismillahirrahmanirrahim
Mengambil sedikit ruang untuk menulis, melepaskan beban fikiran
yang ada. Sungguh, walaupun hampir lima tahun di bumi Darul Hanan ini, saya
masih buntu memikirkan solusi dalam membantu murid-murid Islam di sini.
Berhadapan dengan umat Islam di sini yang terlalu sedikit angka yang
benar-benar mengamalkan Islam dalam kehidupan menjadi cabaran terbesar dalam
mendidik. Jika hari ini, murid diajar menutup aurat, pulang ke rumah, sang ibu
pula melarang anak bertudung. Jika hari ini, murid insaf dan menitiskan air
mata mengenangkan diri masih belum sempurna solat, pulangnya nanti berhadapan
dengan ibu bapa yang sejadah entah ke mana. Jika hari ini, murid belajar erti
puasa menahan lapar dan dahaga, pulang ke rumah tidak berpuasa ketika Ramadan,
sang ibu hanya melihat tanpa menegur kesalahan yang nyata di depan mata.
Cabaran
terbesar adalah berhadapan dengan murid yang sudah baligh di awal usia 9, 10
tahun. Tetapi, ibu dan bapa tidak memainkan peranan mereka mengenalkan didikan
awal berkaitan pedidikan awal remaja termasuk pendidikan awal haid. Perlu
diketahui, di dalam silibus Pendidikan Islam di sekolah rendah, TIDAK ADA TAJUK
KHUSUS berkaitan fiqh darah wanita ini. Di sinilah peranan ibu bapa diuji.
Adakah mereka telah berjaya memberi pencerahan kepada anak-anak. Duhai ibu,
ajarlah anakmu untuk menghadapi salah satu saat penting dalam kehidupannya,
bertukar gelaran dari kanak-kanak ke remaja. Bertukar dari seorang yang masih
suci kepada seorang yang mula dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatannya
nanti. Ibu, ajarkanlah anakmu mengenal warna-warna darah haid, mengira tempoh
haid, mengira tempoh suci, ajarkanlah mereka mencatat jumlah hari kedatangan
haid, ajarkanlah mereka tatacara menjaga kebersihan ketika haid, ajarkanlah
mereka apa itu istihadhah dan beberapa perkara lain yang cukup penting. Haid
pertama seorang remaja bermaksud seseorang itu telah baligh, diwajibkan ke
atasnya segala tanggungjawab syarak seperti menunaikan sembahyang lima waktu,
berpuasa pada bulan Ramadan, menutup aurat dan sebagainya serta mematuhi
suruhan Allah dan menjauhi larangannya atau digelar sebagai mukallaf.
Saya teringat
sebuah kisah yang diceritakan oleh sahabat baik saya. Ketika beliau kali
pertama didatangi haid, maka ketika itu arwah bondanya memanggil beliau dan
duduk bersama-sama beliau. Arwah bondanya menerangkan kembali dengan tertib bahawa
beliau telah baligh, menyebut kembali tanggungjawab-tanggungjawab sebagai
seorang Islam, menguji kembali kefahaman beliau berkaitan perkara-perkara asas
fardhu ain. Bagi saya, ini adalah contoh yang amat wajar diikuti oleh ibu-ibu
diluar sana. Bagaimana seorang ibu memainkan peranan ‘menyemak’ kembali
kefahaman anaknya yang telah baligh dan memberi kefahaman kepada si anak bahawa
kedatangan haid pertama itu bukan hanya perubahan dari sudut fizikal, emosi
semata-mata tetapi perubahan dari sudut tanggungjawab.
Benar, menjadi
seorang guru agama seolah-seolah menggalas tanggungjawab membentuk seorang
murid “A to Z”. Hakikatnya, kami takkan mampu membentuk anak-anak kalian tanpa
didikan berterusan di rumah. Sekadar luahan, jika anda menjadi kami, apa solusi
terbaik dalam memastikan kesinambungan pendidikan agama ini?
Guru yang sentiasa
pening,
1 Ogos 2018 (Rabu),
19 Zulkaedah 1439H,
Bintulu, Sarawak.
2 comments:
Takpe ustazah. Jgn dimarah anak2 tu, dan jgn putus asa mendidik mereka. Ramai anak2 yg masa kecilnya mcm tkde masa depan, tp bila dewasa cemerlang sahsiahnya. Allah Maha Kaya, Maha Pemurah, Maha Penyayang. Semoga ustazah pun ditambahkan rezeki dan terus cemerlang sbg pendidik.
Jarang sangat dalam mood marah. Cuma mengharapkan sebuah pendidikan berterusan di rumah dan kerjasama ibu bapa demi masa depan anak2 mereka. Banyak yang nak diceritakan sebenarnya. Bukan untuk diri sendiri melainkan mengharapkan kebaikan untuk murid2.Cukup untuk katakan suasana di sini tidak sama dengan di sana.Betul, moga Allah al-Qawiyy memelihara mereka dalam keimanan. Terima Kasih
Post a Comment