Di antara rahmat Allah dijalan ilmu ini adalah direzekikan untuk belajar daripada guru-guru yang terlalu penyabar dalam membimbing setiap satu kelemahan muridnya serta sentiasa berfikiran positif bahawa yang lemah tidak semestinya akan selalu gagal dan di bawah.
Saya ada seorang guru. Di mana setiap perkataan tersusun indah dengan kalam memotivasikan
"Saya amat yakin kamu akan berjaya!"
"Saya tetap positif dengan kekuatan group saya ini!"
"Saya doakan dari jauh."
Kata-kata positif diulang-ulang tanpa jemu dengan penuh keyakinan. Saya masih ingat, dikala pendidik-pendidik yang lain berebut-rebut untuk mengajar kumpulan murid yang dilabel sebagai bijak, sang guru ini datang dengan senyuman membuka pintu penuh layanan teristimewa untuk murid yang dilabel sebagai lemah.
Benar, yang diingati dari guru bukan hanya ilmu tetapi adab dan tingkah laku.
Saya juga ada seorang guru yang mengajarkan al-Quran dan beliau adalah seorang yang mempunyai masalah penglihatan. Memori saya samar-samar tentang beliau kerana waktu tu saya masih kecil. Setiap hari, akan berjalan kaki untuk ke pondok kecil beliau untuk belajar al-Quran. Ada waktu, saya tunggu dahulu di luar sehingga beliau selesai solat sunat dhuha. Walaupun beliau hidup serba kekurangan dan tidak memiliki keupayaan seperti orang normal namun tidak menghalang dirinya dari istiqamah mengajarkan kalamNya. Semangatnya tidak luntur dek kekurangan diri dan kesusahan kehidupannya.
Saya juga ada seorang guru, yang seorang yang sangat halim dan suka tersenyum. Antara akhlaknya beliau suka berdoa sebelum memulakan apa-apa kalam. Hatta, hanya perbincangan kecil di luar kelas. Doanya panjang sekali. Namun, sekalut apa pun beliau walau ada tugasan lain yang perlu dikejar, beliau akan tetap tenang berdoa dan menyantuni kami. Selesai perbincangan beliau akan sudahi dengan doa juga.
Saya juga ada seorang guru yang tegas orangnya. Yang sangat menepati masa, yang sangat berkira dengan masa. Masuknya ke dalam kelas tepat waktu, keluarnya juga tepat waktu. Walau kami merayu untuk kelas berakhir awal beliau tetap akan keluar sehingga amanahnya selesai. Begitulah guruku seorang yang sangat amanah.
Saya juga ada seorang guru yang tidak pernah membebankan muridnya. Setiap kali kami melihatnya membawa barang dan cuba menolongnya, beliau akan menolak. Bukan sombong, tetapi selagi mampu, beliau tidak pernah akan menyusahkan atau menyuruh murid-muridnya walaupun beliau tahu, niat kami hanya untuk menolong dan tidak sekali-kali kami menganggapnya sebagai beban. Kami tidak pernah dibenarkan mengangkat buku-buku bahkan selesai mengajar beliau sendiri akan memadam tulisan kapur di papan hitam.
Saya juga ada seorang guru, yang sanggup berkorban wang ringgit untuk kami dan untuk apa-apa program bagi pelajar-pelajarnya. Yang sangat menyantuni kami dengan akhlaknya yang mulia. Hatta hingga akhir hayat beliau tetap istiqamah dalam kebaikan.
Ini bukan kisah rekaan melainkan benar sepanjang saya bergelar murid dan pelajar. Bukan niat nak mengagungkan guru melainkan akhlak baik mereka wajar dicontohi. Saya pasti setiap daripada kita mempunyai memori tentang akhlak guru yang kita senangi dan tanpa sedar kita telah pun mengikuti kebaikan itu. Jadi guru janganlah sekadar penyampai ilmu, kerna akhlak baik dalam diri kita sebenarnya adalah sebaik-baik guru untuk murid-murid kita.
Terima Kasih Allah. Mendapat peluang belajar dan mengenali susuk tubuh guru-guru yang baik adalah suatu rahmat buatku. Moga syurga tertinggi buatmu guru-guruku. Sekali engkau menjadi guruku, in shaa Allah selamanya ada doaku untukmu.