Monday, July 17, 2017

Kreatif Dengan Microsoft Power Point (Ep:7)



Bismillahirrahmanirrahim


Saya menyambung lagi episod kreatif menggunakan Microsoft Powerpoint. Masih belum sempat berkongsi tutorial.  Kali ini saya kongsikan tiga lagi hasil menggunakan powerpoint. Semoga memberi manfaaat dan idea untuk pengkarya di luar sana. In shaa Allah episod akan datang, saya akan kongsikan hasil doodle menggunakan Microsoft powerpoint yang merupakan hasil karya saya sendiri beberapa tahun lepas. Tunggu….


 Banner untuk Majlis Pelancaran Program Jom Ke Sekolah






Papan Tanda untuk Majlis Pelancaran Program Guru Penyayang & Mentor Mentee
 


 Banner untuk Mesyuarat Agung PIBG

 





 

Angan seorang guru



Bismillahirrahmanirrahim


Sungguh, terlalu banyak angan-anganku dalam menjadi guru. Inilah perjuangan yang tidak mudah bagiku. Membina kecintaan bukan pada detik mula takdir perjalanan ini.

Pelan-pelan ku melangkah dengan cinta. Inilah cinta ihsan sang pencintaku. Lalu tercipta angan menjadi guru teragung seperti sang Rasul. Setiap bait kata berkaitan baginda, setiap tingkah baginda sebagai murabbi inginku masukkan satu persatu akhlak terindah itu dalam diriku. Terus cuba kuhadam satu persatu. Itulah tekadku setiap hari. Hari terus berjalan meninggalkan hari-hari yang lalu. Meninggalkan aku dalam angan seorang guru.


Namun, seringkali jua ku tertewas dengan kelemahan imanku. Sering juga ku kalah dalam mengawal emosiku. Sering juga ku tersungkur dalam kepenatan jiwaku. 


Inginku memeluk sempurna. Menjadi seorang guru yang sempurna di hadapan murid-murid kecintaanku. Andai mereka tahu betapa hebatnya aku berperang dalam diri untuk memperbaiki diriku. Itulah anganku sebagai guru.


Duhai muridku, hanya kalimah ini yang telah terlakna. Ungkapan maaf disetiap bicaraku. Hanya itulah ungkapan berulang kali aku mampu zahirkan kepada kalian. Maafkan segala kekuranganku dalam mendidikmu, maafkan kecacatan akhlakku, maafkan kelemahanku dalam berbicara, maafkan segala kelemahan gurumu ini. 

Moga Allah sentiasa memimpin setiap kataku, setiap tingkahku, setiap senyumanku, setiap kasih sayangku, setiap cintaku, setiap apa jua yang terzahir untuk menyampaikan ilmu kepadamu anak didikku. Sungguh perjuangan ini mulia tetapi tidak pernah mudah bagiku.

Sungguh, dalam doa sentiasa ada cinta teristimewa untuk setiap satu-satu muridku. Melihatmu melangkah dewasa dalam penghayatan Iman dan Islam adalah kebahagiaan hakikiku. Moga Allah ya Hafiz terus memelihara kalian. Moga bertemu kembali kita di Syurga. Tariklah gurumu ini bersama kebaikanmu duhai anak-anakku. Sebutlah aku dalam doa kalian. Kerna gurumu ini tidak punya zuriat lain melainkan kalian sebagai anak-anak kesayanganku, amal jariahku.

Luahan angan gurumu, Titipan kasih gurumu,
17.07.17,
Bintulu, Sarawak.

Saturday, July 15, 2017

Kreatif dengan Microsoft Power Point (Ep:6) Edisi Raya

Design untuk Panitia Pendidikan Islam SK Kidurong



Bismillahirrahmanirrahim


  • Raikanlah kemenangan dengan setinggi kesyukuran membesarkan Tuhan.

  • Moga tarbiyah Ramadan sentiasa berkekalan.

  • Moga Syawal ini membawa keceriaan berpanjangan.

تقبل الله منا ومنكم
Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat sepanjang ramadan) kami dan kamu semua.



Design untuk page facebook Nisa' Sarawak



Salam Eidul Mubarak,
Ingatan Tulus Ikhlas,
Nurul Anis Abu Bakar

Update Projek Infaq #notakembestarisolat

Bismillahirrahmanirrahim

Terlalu lama rasanya tidak mengemaskini tulisan di blog ini. Masih dengan alasan yang sama. Terlalu sibuk dengan tugasan di sekolah dan tugasan belajar. Sangat mencabar kesabaran dan keimanan apabila belajar sambil bekerja ini. Hanya yang melalui akan merasai dan memahami. Beberapa kali terasa lemah untuk meneruskan pengajian, terus bersangka baik dengan Allah dan memujuk hati untuk terus yakin dengan jawapan istikharah. Berbelas angka sahabat sekuliah menamatkan pengajian dek beberapa sebab. Syukur di atas kekuatan yang diberikan Allah meneruskan sehingga akhir semester ini. Moga dikuatkan sehingga untuk semester akan datang dan sehingga akhirnya. Amin.



            Alhamdulillah, projek infaq buku #notakembestarisolat berjalan dengan sangat lancar dengan izin yang Maha Razzaq, Dialah yang tidak henti-henti mencurahkan rezeki. Saya sempat mengemaskini perkembangan di laman sosial facebook tetapi hari ini baru berkesempatan menulis. Dari lubuk hati saya, setinggi terima kasih saya ucapkan kepada setiap penderma dalam projek ini. Akhirnya terlaksana dengan jayanya. Semoga Allah membalas  kebaikan yang banyak kepada kalian.


 

 

            Di saat saya telah menutup infaq bagi projek, masih ada individu yang menyumbang. Maka hasil sumbangan itu, saya telah gunakan untuk cetakan buku untuk diagihkan kepada sekolah lain. Terdapat juga individu yang memberikan dana untuk mencetak buku bagi kegunaan mereka sendiri. Semoga setiap individu yang memiliki buku tersebut mendapat manfaat berpanjangan dan sekiranya terdapat kesalahan dalam buku tersebut, maka ikutilah yang haq, dan tinggalkanlah apa yang salah didalam buku tersebut. Saya memohon keampunan dari setiap kesilapan tersebut. Di bawah ini adalah beberapa sekolah yang menerima kebaikan dari infaq anda semua:

 SK Bandar Limbang, Sarawak

 SK Bandar Limbang, Sarawak

 SK Lemoi (JHEOA), Cameron Highlands (Pedalaman 2)

  SK Sungai Silas, Bintulu. (Pedalaman 2)


  SK Mela, Jerantut.

 
            Di kesempatan dalam tulisan terbaharu ini juga ingin saya memberi pencerahan, bahawa niat saya untuk mencetak buku untuk sekolah saya telah tercapai. Itulah tujuan pertama penulisan saya. Setelah itu, saya telah menjual buku tersebut dalam bentuk PDF. Mungkin ada yang telah tersalah sangka dengan tindakan saya dengan mengatakan bahawa saya berlaku tidak jujur kerana telah menjual karya tersebut sedangkan sebelum ini saya mengatakan buku tersebut untuk tujuan infaq. Ya, memang benar projek saya sebelum ini untuk tujuan infaq, namun setelah projek tersebut berjaya, ramai guru Pendidikan Islam telah meminta saya untuk menjual buku tersebut untuk kegunaan sekolah mereka. Maka, selepas selesai urusan pengagihan buku infaq kepada sekolah-sekolah yang berkaitan, saya mula menjual buku tersebut dalam bentuk PDF.
 
Saya telah berfikir sedalam-dalamnya kewajaran tindakan saya. Adakah salah untuk saya menjual karya saya setelah tujuan utama saya tercapai. Atau saya harus membiarkan buku tersebut terkubur sahaja tanpa manfaat. Setelah perbincangan dengan beberapa orang sahabat, mereka mencadangkan agar buku tersebut dijual dalam bentuk PDF untuk manfaat orang lain. Tujuan jualan buku tersebut adalah sebahagiannya untuk menampung kos pengajian saya dan salah seorang sahabat saya juga telah menjual buku tersebut tetapi hasil jualan itu disumbangkan kepada Sakeena TV atau terkenal dengan n9kuliah yang sedang giat menjalankan usaha dakwah mereka. Sekiranya anda ingin membeli bagi tujuan tersebut bolehlah berhubung dengan Ustaz Syukri (014-5302405) In shaa Allah hasilnya akan disumbangkan ke jalan dakwah. Semoga selepas pencerahan ini, tiada ada lagi salah sangka terhadap tindakan saya. Setiap penulisan saya, saya berhak untuk melakukan apa sahaja ke atas karya tersebut. In Shaa Allah semuanya untuk kebaikan.


Terima kasih untuk setiap kebaikan dan doa anda semua untuk saya. Semoga Allah sentiasa memimpin hati, jiwa, tindakan, kata-kata kita semua ke jalan kebenaran dan mengampuni setiap kesalahan, kesilapan, kealpaan kita. Amin


22 Syawal 1438H,
Bintulu, Sarawak.