Bismillahirrahmanirrahim
Terlalu lama rasanya tidak mengemaskini tulisan di
blog ini. Masih dengan alasan yang sama. Terlalu sibuk dengan tugasan di
sekolah dan tugasan belajar. Sangat mencabar kesabaran dan keimanan apabila
belajar sambil bekerja ini. Hanya yang melalui akan merasai dan memahami. Beberapa
kali terasa lemah untuk meneruskan pengajian, terus bersangka baik dengan Allah
dan memujuk hati untuk terus yakin dengan jawapan istikharah. Berbelas angka
sahabat sekuliah menamatkan pengajian dek beberapa sebab. Syukur di atas kekuatan
yang diberikan Allah meneruskan sehingga akhir semester ini. Moga dikuatkan
sehingga untuk semester akan datang dan sehingga akhirnya. Amin.
Alhamdulillah,
projek infaq buku #notakembestarisolat berjalan dengan sangat lancar dengan
izin yang Maha Razzaq, Dialah yang tidak henti-henti mencurahkan rezeki. Saya
sempat mengemaskini perkembangan di laman sosial facebook tetapi hari ini baru
berkesempatan menulis. Dari lubuk hati saya, setinggi terima kasih saya ucapkan
kepada setiap penderma dalam projek ini. Akhirnya terlaksana dengan jayanya.
Semoga Allah membalas kebaikan yang
banyak kepada kalian.
Di
saat saya telah menutup infaq bagi projek, masih ada individu yang menyumbang.
Maka hasil sumbangan itu, saya telah gunakan untuk cetakan buku untuk diagihkan
kepada sekolah lain. Terdapat juga individu yang memberikan dana untuk mencetak
buku bagi kegunaan mereka sendiri. Semoga setiap individu yang memiliki buku
tersebut mendapat manfaat berpanjangan dan sekiranya terdapat kesalahan dalam
buku tersebut, maka ikutilah yang haq, dan tinggalkanlah apa yang salah didalam
buku tersebut. Saya memohon keampunan dari setiap kesilapan tersebut. Di bawah ini adalah beberapa sekolah yang menerima kebaikan dari infaq anda semua:
SK Bandar Limbang, Sarawak
SK Bandar Limbang, Sarawak
SK Lemoi (JHEOA), Cameron Highlands (Pedalaman 2)
SK Sungai Silas, Bintulu. (Pedalaman 2)
SK Mela, Jerantut.
Di
kesempatan dalam tulisan terbaharu ini juga ingin saya memberi pencerahan,
bahawa niat saya untuk mencetak buku untuk sekolah saya telah tercapai. Itulah
tujuan pertama penulisan saya. Setelah itu, saya telah menjual buku tersebut
dalam bentuk PDF. Mungkin ada yang telah tersalah sangka dengan tindakan saya
dengan mengatakan bahawa saya berlaku tidak jujur kerana telah menjual karya
tersebut sedangkan sebelum ini saya mengatakan buku tersebut untuk tujuan infaq.
Ya, memang benar projek saya sebelum ini untuk tujuan infaq, namun setelah
projek tersebut berjaya, ramai guru Pendidikan Islam telah meminta saya untuk
menjual buku tersebut untuk kegunaan sekolah mereka. Maka, selepas selesai
urusan pengagihan buku infaq kepada sekolah-sekolah yang berkaitan, saya mula
menjual buku tersebut dalam bentuk PDF.
Saya telah berfikir
sedalam-dalamnya kewajaran tindakan saya. Adakah salah untuk saya menjual karya
saya setelah tujuan utama saya tercapai. Atau saya harus membiarkan buku
tersebut terkubur sahaja tanpa manfaat. Setelah perbincangan dengan beberapa
orang sahabat, mereka mencadangkan agar buku tersebut dijual dalam bentuk PDF
untuk manfaat orang lain. Tujuan jualan buku tersebut adalah sebahagiannya untuk menampung
kos pengajian saya dan salah seorang sahabat saya juga telah menjual buku tersebut tetapi hasil jualan itu disumbangkan kepada Sakeena TV atau terkenal dengan n9kuliah yang sedang
giat menjalankan usaha dakwah mereka. Sekiranya anda ingin membeli bagi tujuan tersebut bolehlah berhubung dengan Ustaz
Syukri (014-5302405) In shaa Allah hasilnya akan
disumbangkan ke jalan dakwah. Semoga selepas pencerahan ini, tiada ada lagi
salah sangka terhadap tindakan saya. Setiap penulisan saya, saya berhak untuk
melakukan apa sahaja ke atas karya tersebut. In Shaa Allah semuanya untuk kebaikan.
Terima kasih untuk setiap
kebaikan dan doa anda semua untuk saya. Semoga Allah sentiasa memimpin hati,
jiwa, tindakan, kata-kata kita semua ke jalan kebenaran dan mengampuni setiap
kesalahan, kesilapan, kealpaan kita. Amin
22 Syawal 1438H,
Bintulu,
Sarawak.
No comments:
Post a Comment