🌜Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
Maksudnya: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.” Riwayat Muslim (780) dan al-Nasa’ie (10735)
🌜Menurut Ibnu Mas’ud R.A pula, kata beliau:
إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ، خَرَجَ مِنْهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan, apabila mendengar surah al-Baqarah dibacakan di dalam rumah, maka dia akan keluar daripada rumah tersebut.” Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir (8642) dan al-Darimi (3422)
🌜Dalam sebuah hadis riwayat daripada Ubai ibn Ka'ab, bahawa beliau mempunyai tempat pengeringan kurma yang di dalamnya berisi kurma yang sedang dijaganya. Beliau kemudian mendapati kurma tersebut berkurangan. Tiba-tiba terdapat seekor binatang sebesar anak yang baru baligh. Dia berkata padanya: “Apakah engkau jin atau manusia?” Dia menjawab: “Aku adalah jin”. Dalam riwayat ini jin tersebut mengatakan padanya: “Telah sampai berita kepada kami bahawa engkau suka bersedekah. Maka aku ingin mendapat sebahagian daripada makanan yang engkau hendak sedekahkan itu.” Lalu Ubai bin Ka’ab bertanya:
فَمَا الَّذِي يُجِيرُنَا مِنْكُمْ؟ قَالَ : هَذِهِ الآيَةُ آيَةُ الْكُرْسِيِّ ، ثُمَّ غَدَا أُبَيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَدَقَ الْخَبِيثُ
Maksudnya: “Apakah yang dapat melindungi kami daripada gangguanmu?” Jin tersebut berkata: “Ayat ini, iaitu Ayat Kursi.” Keesokan harinya, Ubai menceritakan apa yang dikatakan oleh jin tersebut kepada Nabi SAW, maka Nabi SAW bersabda: “Jin itu benar.” Riwayat al-Nasa’ie (10796)
🌜Nabi SAW juga mengajar kita untuk membaca doa ketika ingin masuk ke dalam rumah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ
Maksudnya: “Apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kamu memperoleh tempat menginap’.”
Riwayat Muslim (2018), Abu Daud (3765)
❥︎Setelah berbulan tinggalkan rumah, berjiran pula rumah sebelah yang dah hampir 3,4 tahun ditinggalkan, masih berkongsi dinding dan pagar yang sama, rumputnya dah kian meninggi, dan mula menjalar naik ke dinding rumah tanpa kami tahu siapa pemilik rumah, ada baiknya kami 'memagar rumah' semula. Tujuh tahun di rumah ini dengan pelbagai kisah sejak dari minggu pertama di di sini. Disebalik pelbagai kisah mistik, ada satu kisah yang kami takkan lupakan di rumah ni. Kisahnya...suatu hari, salah seorang dari kami mendakwa terdengar bunyi seolah-olah ada seseorang mengetip kuku di malam hari, cuba bayangkan kau duduk dalam bilik seorang diri di malam hari, tiba-tiba terdengar orang ketip kuku, ketik...ketik..ketik. Bila housemate ni bertanya kepada yang lain, siapa yang potong kuku malam tadi? Semua orang menidakkan. Lalu, rasa-rasanya siapa yang memotong kuku tadi? Hmmm siasat punya siasat, beberapa hari kemudian terjawab persoalan kami. Rupa-rupanya bukan bunyi orang ketip kuku, tapi itu bunyi pencuri memotong pagar dawai rumah kami haha. Punyalah tak perasan. Selepas tu kami terus pergi balai buat laporan cubaan pecah masuk untuk kali kedua.
Sesungguhnya Allah SWT lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan.
قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal". (Surah al-Taubah: 51)
Bintulu,
27 Jun 2020