Saturday, June 20, 2020

Jodoh


Bismillahirrahmanirrahim


Untuk kali pertamanya aku membicarakan soal jodoh. Dahulu, sewaktu usia awal 20 an, aku pernah melihat seorang kakak yang baik akhlaknya, cantik orangnya dan seorang penghafal al-Quran hampir melewati 30 an tapi belum menikah. Aku pelik dan penuh persoalan. Kenapa kakak itu belum bernikah. Melepasi 30 an, akhirnya dia menikah. Aku melihat, ada sahabatku menikah di usia sangat muda ketika masih riang riang peribadinya. Akhirnya aku faham. Nikah ini adalah soal rezeki. Bukan soal orang cantik, nikahnya awal. Orang baik nikahnya awal. Bukan dan bukan. Semuanya soal rezeki. Seperti rezeki yang lain. Ada orang punya kereta pada usia 19 tahun. Ada orang punya kereta pada usia 30 tahun. Rezeki kamu dan aku berbeza.



Beberapa tahun yang lalu, ketika adik aku menyatakan hasratnya untuk menikah, dia bertanya bersungguh-sungguh. "Kak nis tak kisah ke?" Maksudnya adakah aku izinkan dia kahwin dahulu sebelum aku. Begitu juga mak dan abah yang risaukan perasaanku. Jujur, sewaktu aku mengetahui perkara tersebut perasaanku bercampur baur. Tetapi aku gembira. Kerna dia adik aku.


Tapi ada satu peristiwa sewaktu majlis pernikahan adikku sedikit meninggalkan kesan pada diriku. Ada seorang tetamu yang mempersoalkan tentang jodohku sehingga mencadangkan untuk aku mandi bunga dan sebagainya. Dia seolah olah berbangga kerana anaknya yang sebaya denganku telah bernikah. Saat tu, kerna usianya yang lebih tua dari ayahku, aku tetap senyum mendengar setiap patah katanya sehinggalah abangku datang menyapa pak cik tersebut. Saat itu, akupun mengambil kesempatan untuk segera bangun. 


Bukan tidak ada yang meminang tapi fahamilah bahawa jika datang 1000 lelaki yang meminang dan aku bercinta dengan 1000 lelaki sekalipun jika dia bukan jodohku dan bukan rezekiku maka Allah takkan mengizinkan aku bernikah.


Aku tidak menyesal menolak lamaran-lamaran yang lepas kerana itu adalah jalan hidupku dan itulah pengalaman untukku. Beberapa bulan lagi sebelum aku berusia 30 tahun dan rasa untuk berteman tetap ada. Mungkin kurangku pada akhlakku, pada keimananku, pada diriku. Aku kenal kekurangan diriku.


Menulis, mengembara adalah cara untuk aku mengisi ruang dalam hatiku kerna itulah rezekiku dan aku bersyukur kerna terlalu banyak rezeki yang telah Dia kurniakan padaku. Masakan kerna kurangnya satu rezeki ini menjadikan aku seorang kufur nikmat. Doaku, siapapun kamu, kamulah cinta pertamaku. Aku berusaha memelihara diriku dalam kepayahan melawan nafsuku. Ada kala aku jatuh tapi aku bangun kembali. Aku berusaha menjaga pergaulanku sehingga ramai yang menyangkaku sombong padahal sombongku adalah kerna itu adalah tembok yang akan memelihara diriku. Aku berusaha dan aku sentiasa menanti janji Allah. 


Ya Allah, rezekikan aku seorang lelaki yang akan meminang dan menikahiku. Yang akan menjadi temanku di dunia dan di syurga. Dia benar-benar mencintaiku kernamu ya Allah dan aku juga benar-benar mencintainya keranaMu ya Allah. Temukanlah dan satukanlah kami dalam kebaikan dan keberkatan.


Dan aku sentiasa mengingatkan diriku bahawa hidup ini bukan hanya soal memilih jodoh, tapi soal siapa yang lebih berTAQWA di sisi Allah. Saat hatiku kaya dengan cinta Allah, saat aku mampu mengekang nafsu jahatku dari terus durhaka kepada rabb, saat Allah redha denganku itu pasti lebih baik dari dunia seisinya. Itu persoalan yang lebih besar yang sentiasa membuatkan aku takut. 

Sebuah coretan lalu,
21 September 2019.

4 comments:

Anonymous said...

Sabarlah dan terus istiqamah menjaga nafsu. Semoga ustazah dapat yg terbaik di dunia dan di akhirat. Rezeki dan jodoh boleh datang tanpa disangka.

Anonymous said...

Kalau kahwin awal pun belum tentu bahagia dan dapat tunai tanggungjawab. Isteri dah tentu kena layan suami dan keluarga. Tak semua mampu buat sempurna. Tersilap atau lalai, dah berdosa. Bersyukurlah dapat 'rebate' boleh tangguh dari semua tanggungjawab tu. Baguslah Anis masih boleh jaga diri. Semoga dapat jodoh yg terbaik.

Anonymous said...

Sesungguhnya perkahwinan itu adalah alam yang penuh kesabaran. Moga ketika saat itu tiba, anis telah benar² bersedia. InsyaAllah, si dia itu adalah orang yang bertuah ❤

Anis said...

Terima kasih semua di atas komen dan doa. Sentiasa sabar menanti yang tertulis di Luh Mahfuz