Menyatakan cinta dengan Asma’Nya...
Bismillahirrahmanirrahim...
Dedikasi Khas Buat Insan Bernama Ibu dan Ayah..
Bicara seorang Insan bernama Anak...
Ibu dan ayah yang kusayangi,
Sesungguhnya kasih sayangmu dan keperihatinanmu kepada diriku selama ini tidak mampu ku balas kerana sesungguhnya semuanya itu adalah sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah, yang Allah campakkan kepadamu ibu dan ayahku agar kau menyayangiku dan melindungiku sejak kecil sehingga dewasa. Sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah ini lah yang masih kau rasakan walaupun diriku ini sentiasa berasa jauh daripadamu. Kau tetap merinduiku dan ketika diriku balik ke rumahmu kau tetap mencurahkan perhatianmu dan kasihmu sebagaimana diriku masih kecil dulu, tidak sedikitpun ada kekurangan yang ku rasakan. Kau sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada diriku dunia dan akhirat dengan sifat Ya Salam Yang Maha Sejahtera yang dicampakkan ke dalam hatimu.
sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak ALLAH yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka kasih sayang (Maryam: 96)
Namun ibu dan ayahku sayang, diriku ini hanyalah hamba kepada Ya Rahman dan Ya Rahim. CintaNya dan KasihNya kepada diriku tidak akan mampu ku tukarkan dengan cinta dan kasih manusia. Maafkanku ibu dan ayah, kerana diriku tidak mampu menyayangimu dan mencintaimu lebih dari sayang dan cintaku kepada Tuhanku Ya Malik yang Menciptakanku dan Ya Wahhab Yang Maha Pemberi, yang memberiku segala apa yang ku kecapi didunia ini.
Maafkanku ibu dan ayah, kerana diriku mungkin terpaksa meninggalkanmu suatu hari nanti demi melaksanakan tugas khalifah Allah untuk berbakti kepada suami dan mendidik anak-anak bagi membina generasi yang mengenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya. Setiap arahan Allah akan pasti ku taati, walaupun diriku tidak sempat menjengukmu sentiasa, kau masih ku sayangi sepertimana kau menyayangiku sejak masih kecil.
Tetapi sedarlah ibu dan ayah, walau kau tidak merasa kasih sayangku, kasih sayang Allah Ya Rahman Ya Rahim kepada ibu dan ayah tidak berbelah bagi, dan Dia tetap mendampingi ibu dan ayah serta tidak pernah meninggalkanmu walau sesaat sekalipun. Dia Ya Syakur amat menghargai jasa ibu dan ayah..membesarkan ku sehingga menjadi manusia yang berguna. Dia Ya Aliyy Yang Maha Tinggi Martabatnya tentu akan menaikkan martabatmu kepada martabat yang tinggi atas pengorbanan selama ini.
Ibu dan ayah yang kusayangi, sekiranya ibu dan ayah merasa sunyi, ingatlah kepada Ya Bashir, yang sentiasa menampakkan keagungan dan kewujudannya melalui setiap apa yang berlaku di dunia ini. Dia amat dekat kepadamu, lebih dekat dari urat lehermu sendiri. Dia sentiasa berada disisimu menunggu-nunggu kau merayu dan merintih kepadanya ketika kau rasa kesunyian. Dia tetap mempedulikanmu, usahlah gusar, bimbang dan sedih. Dia Ya Mukmin akan memberi ibu dan ayah rasa aman dan tenang.
Oleh itu ibu dan ayahku, dekatkanlah diri kepadaNya, kepada Ya Hasib, yang Maha mencukupkan, nescaya dia akan mencukupkan keperluanmu. Ibuku, ingatlah kita akan kembali kepada Ya Malik dan Ya Kholiq, Yang Memiliki kita dan menciptakan kita. Persiapkanlah diri dengan amalan mulia agar kita akan berjumpa di akhirat kelak dibawah lindungan Allah. Diriku akan sentiasa mendoakan mu ibu dan ayah bagi kesejahteraanmu di dunia dan di akhirat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah yang dicampakkan di dalam hatiku.
Kami cintakan Allah
Kami kasihkan rasul
Kami sayangkan Ayah
Kami sayangi Ibu
Kami kasihkan rasul
Kami sayangkan Ayah
Kami sayangi Ibu
Ayah ibu ampunilah dosa kami semua
Tulus di lubuk Kalbuku..
buat Insan bernama ibu dan ayah
15/7/2011
12.45 a.m
Fi M217
No comments:
Post a Comment