Bunyi tembakan dilepaskan ke udara menandakan larian
sudah bermula.
Para peserta dilepaskan. Kelihatan semua peserta begitu
bersemangat memulakan larian mereka. Ada yang terus memecut berlari dan ada
yang berlari-lari anak. Tidak kelihatan orang yang berjalan pun. Semuanya
bersungguh-sungguh memulakan larian.
Namun, selepas beberapa kilometer, rentak larian
kebanyakan peserta sudah pun berubah. Yang
berlari memecut laju tadi kini ada yang hanya berjalan perlahan-lahan
kepenatan. Peserta yang berstamina tinggi, masih lagi kekal dengan rentak
larian mereka. Ada juga yang berselang-seli berlari beberapa meter, kemudian
berjalan beberapa meter. Tidak kurang juga ada yang terus berhenti dan duduk di
bawah pokok. Mungkin mereka sudah berkeputusan untuk tidak menamatkan
perlumbaan.
Setelah lebih separuh jarak yang dilalui, semakin
ramai peserta yang mula berjalan. Ramai yang kepenatan dan kelihatan peluh mula
membasahi baju mereka. Ramai yang sudah luntur semangatnya, tidak seperti
sewaktu memulakan larian. Ada yang sudah berputus asa dan tidak menampakkan
kesungguhan untuk meneruskan larian.Namun, ada yang terus meneruskan langkah
namun semakin kecil bilangan pesertanya. Apabila garisan penamat semakin
kelihatan, maka semakin laju pecutan yang diatur. Peserta mula menggunakan
semaksima mungkin tenaga yang ada dan akhirnya berjaya menamatkan dengan penuh
bergaya!
Begitulah analogi Ramadan yang sudah pun
menghampiri ke garisan penamatnya, seperti juga satu pertandingan larian jarak
jauh. Permulaanya ramai yang bersungguh-sungguh memecut dalam beribadah. Namun,
dipertengahannya sudah ada yang lelah. Apabila menghampiri ke penghujungnya,
ada yang sudah berputus asa dan tidak kurang juga ada yang terus menggunakan
semaksimum tenaga dan kudrat yang ada untuk mengatur pecutan yang paling pantas
bagi merangkul ganjaran yang dijanjikan Ilahi. Namun jumlahnya semakin
mengecil!
Ganjaran ini hanya dapat diperoleh oleh orang yang
bersungguh-sungguh mencarinya di penghujung Ramadan, di saat orang lain keletihan
dan disibukkan dengan persiapan raya. Malam yang lebih baik daripada seribu
bulan, yang hanya ada dalam bulan Ramadan, tidak di bulan-bulan yang lain.
Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan larian
di bulan Ramadan ini, memanfaatkan saki-baki beberapa hari yang masih ada
sehingga sampai ke garisan penamatnya.
Semoga kita dipilih Allah untuk memperoleh
keampunan-Nya sebelum melangkah keluar dari Ramadan sebagaimana banyak disebut
dalam hadis-hadis sahih dan mendapat kebaikan berganda di dunia dan diakhir.
Amin.