Friday, May 13, 2016

Peperangan dalam diri





Hidup adalah sebuah peperangan yang panjang dalam diri. Peperangan yang sukar sekali. Kerana pasang surutnya. Kadang kebaikan di atas. Kadang kejahatan pula menjuarai diri. Cukuplah Allah yang mengetahui siapa diri kita sesungguhnya. Kuatkanlah diri dengan memohon kepada yang Maha Qawiy


ياَ حَيُّ ياَ قَيُّوْمُ


Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri


بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ


Dengan rahmatMU aku memohon pertolongan


أَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ


Perbaikilah untukku urusanku semuanya


وَلاَ تَكِلْنِيْ اِلىَ نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ


Dan janganlah ENGKAU serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.

Teman sejatiku





Padanya ku terus merasa rindu,
Padanya ada kalimah mengundang sendu,
Padanya punya kata mengundang sakinah,
Padanya punya khabar gembira,
Padanya punya peringatan yang mampu membangkitku dari lena.

Tiadalah hiburan terbaik,
Selain sentiasa berdamping dengannya,
Teman yang sentiasa hidup,
Hidupnya dalam hidupku,
Tanpanya hatiku mati,

Inilah temanku yang paling sejati,
Dengan izinMu Allahku,
Jadikanlah al-Quran ini,
Pemberi syafaat buat kami di sana nanti.

Anis Humaira,
26.1.2016

Setiap momen





Setiap momen
Ada kisahnya tersendiri
Ada iktibar diteladani
Ada hikmah terbentang
Selagi
iman menjadi tulang belakang
Kitakan sentiasa kuat berhadapan
Setiap mehnah dan ujian
Kerna kita punya Tuhan
Sentiasa ADA
Sentiasa ADA
Pasti sentiasa ADA
Saat susah
Saat senang


Anis Humaira,
Jumaat,
13.11.2015

Ku tahu adaMu





Ibnul Qayyim rahimahullah berkata,

“Diantara hikmah ujian (yang Allah timpakan kepada orang beriman) adalah membuat mereka kian tunduk dan merendahkan diri kepada Allah, merasa perlu dan memohon pertolongan kepada-Nya.”

Teruskan larian ramadanmu!





Bunyi tembakan dilepaskan ke udara menandakan larian sudah bermula.


Para peserta dilepaskan. Kelihatan semua peserta begitu bersemangat memulakan larian mereka. Ada yang terus memecut berlari dan ada yang berlari-lari anak. Tidak kelihatan orang yang berjalan pun. Semuanya bersungguh-sungguh memulakan larian.


Namun, selepas beberapa kilometer, rentak larian kebanyakan peserta sudah pun berubah. Yang berlari memecut laju tadi kini ada yang hanya berjalan perlahan-lahan kepenatan. Peserta yang berstamina tinggi, masih lagi kekal dengan rentak larian mereka. Ada juga yang berselang-seli berlari beberapa meter, kemudian berjalan beberapa meter. Tidak kurang juga ada yang terus berhenti dan duduk di bawah pokok. Mungkin mereka sudah berkeputusan untuk tidak menamatkan perlumbaan.


Setelah lebih separuh jarak yang dilalui, semakin ramai peserta yang mula berjalan. Ramai yang kepenatan dan kelihatan peluh mula membasahi baju mereka. Ramai yang sudah luntur semangatnya, tidak seperti sewaktu memulakan larian. Ada yang sudah berputus asa dan tidak menampakkan kesungguhan untuk meneruskan larian.Namun, ada yang terus meneruskan langkah namun semakin kecil bilangan pesertanya. Apabila garisan penamat semakin kelihatan, maka semakin laju pecutan yang diatur. Peserta mula menggunakan semaksima mungkin tenaga yang ada dan akhirnya berjaya menamatkan dengan penuh bergaya!


Begitulah analogi Ramadan yang sudah pun menghampiri ke garisan penamatnya, seperti juga satu pertandingan larian jarak jauh. Permulaanya ramai yang bersungguh-sungguh memecut dalam beribadah. Namun, dipertengahannya sudah ada yang lelah. Apabila menghampiri ke penghujungnya, ada yang sudah berputus asa dan tidak kurang juga ada yang terus menggunakan semaksimum tenaga dan kudrat yang ada untuk mengatur pecutan yang paling pantas bagi merangkul ganjaran yang dijanjikan Ilahi. Namun jumlahnya semakin mengecil!


Ganjaran ini hanya dapat diperoleh oleh orang yang bersungguh-sungguh mencarinya di penghujung Ramadan, di saat orang lain keletihan dan disibukkan dengan persiapan raya. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan, yang hanya ada dalam bulan Ramadan, tidak di bulan-bulan yang lain.


Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan larian di bulan Ramadan ini, memanfaatkan saki-baki beberapa hari yang masih ada sehingga sampai ke garisan penamatnya.


Semoga kita dipilih Allah untuk memperoleh keampunan-Nya sebelum melangkah keluar dari Ramadan sebagaimana banyak disebut dalam hadis-hadis sahih dan mendapat kebaikan berganda di dunia dan diakhir. Amin.