Bismillahirrahmanirrahim
Semalam sempat berborak dengan mak. Mak tanya, siapa yang bagi idea
untuk menulis buku #notakembestarisolat ?
Idea ini sudah tentu datangnya daripada
Allah, dan keazaman diri saya juga pastinya datang daripadaNya. Saya ingin
sekali menyumbang sesuatu untuk sekolah di mana pun saya ditempatkan. Itulah azam saya sejak ditempatkan di SK Kidurong, Bintulu Sarawak.
Dengan bakat yang Allah kurniakan kepada saya, saya mulakan usaha saya untuk
menyusun dan menulis sebuah buku tentang solat. Saya cuba pilih bacaan solat yang
ringkas tetapi sahih dengan niat untuk memudahkan murid-murid saya yang agak lemah.
Setiap bacaan dalam bahasa arab, dieja dalam tulisan rumi bagi membantu
murid-murid yang tidak pandai membaca tulisan bahasa arab dan pelbagai perkara cuba saya sampaikan melalui buku ini. Alhamdulillah Allah hadirkan
seorang rakan yang sudi menyemak hasil kerja saya, perkataan demi perkataan tanpa
bayaran (Moga bayaran daripada Allah kelak untukmu lebih daripada dunia dan
seisinya.Amin).
Buku ini saya tulis dan susun tanpa
bayaran royalti satu sen pun. Jujurnya, boleh saja sekiranya saya hantar ke
syarikat penerbitan dan mendapat hasil royalti tanpa perlu bersusah payah memikirkan tentang dana dan percetakan. Tetapi saya bersabar dan tetap berada di atas landasan niat saya yang asal, iaitu menghadiahkan buku ini buat anak didik saya di bumi Kenyalang tanpa mereka perlu membayar satu sen pun!
Sebenarnya sudah dua tahun buku ini siap disusun! Pernah sepanjang dua tahun ini, hati saya terdetik kembali untuk menghantar buku ini ke syarikat penerbitan kerana bimbang buku ini tidak akan bermanfaat sekiranya terbiar tanpa dicetak dek masalah kewangan ini. Malah, saya juga pernah berhenti berharap melihat buku ini akan dicetak. Bab kata orang, ahh simpan saja angan-angan itu.
Sebenarnya sudah dua tahun buku ini siap disusun! Pernah sepanjang dua tahun ini, hati saya terdetik kembali untuk menghantar buku ini ke syarikat penerbitan kerana bimbang buku ini tidak akan bermanfaat sekiranya terbiar tanpa dicetak dek masalah kewangan ini. Malah, saya juga pernah berhenti berharap melihat buku ini akan dicetak. Bab kata orang, ahh simpan saja angan-angan itu.
Tapi perancangan Allah tidak pernah
silap, sepanjang dua tahun itu juga, banyak perkara saya perbaiki dalam buku
ini. Satu demi satu saya membuat rujukan.
Alhamdulillah, Sekolah Rendah Islam Tahfiz Darul Hana, Bintulu turut mengguna pakai buku ini dan ingin mencetak sendiri untuk kegunaan sekolah mereka. Ya! Saya benarkan mereka mencetak hasil kerja saya, malah saya berasa cukup beruntung dengan pelaburan akhirat ini!
Alhamdulillah, Sekolah Rendah Islam Tahfiz Darul Hana, Bintulu turut mengguna pakai buku ini dan ingin mencetak sendiri untuk kegunaan sekolah mereka. Ya! Saya benarkan mereka mencetak hasil kerja saya, malah saya berasa cukup beruntung dengan pelaburan akhirat ini!
Dan sepanjang tahun lepas saya telah menulis
banyak surat dan menyiapkan kertas kerja untuk memohon sumbangan daripada
syarikat dan wakil rakyat di sekitar Bintulu. Sudah tentu saya tidak
keseorangan! Ada rakan-rakan panitia yang Allah hantar untuk membantu. Mereka juga
bersungguh-sungguh mencari dana.
Namun, hasilnya kurang memberangsangkan.
Ada syarikat yang menghantar maklum balas mendukacitakan bahawa mereka tidak
dapat menyumbang lantaran masalah ekonomi yang melanda. Ada juga maklum balas
yang menggembirakan dari sebuah bank terkemuka yang ingin mencetak buku ini secara
percuma untuk sekolah kami dan seluruh sekolah di Malaysia, namun tiba-tiba
hilang tanpa berita. Itu adalah cabaran dan dugaan buat saya. Di sini Allah menegur saya, di mana keyakinan saya kepadanya sebagai Tuhan yang Maha Memberi Rezeki? Ya, Keyakinan sebenar-benarnya kepada
Allah. Itulah perkara utama untuk memulakan impian saya ini. Minta kepada Allah!
Jangan sesekali mengharapkan manusia. Boleh jadi, manusia yang kita harapkan
wangnya itu tidak cukup bersih untuk dibangunkan kebaikan darinya. Tetapi jika
mengharapkan Allah, sentiasa ada rezeki dari ruang yang tidak disangka-sangka.
Suatu saat, dengan izin Allah, Badan Kebajikan Islam
SHELL (BISMI) menyumbangkan dana untuk percetakan kali pertama buku
#notakembestarisolat ini. Bukan sekali tetapi dua kali mereka menghulurkan dana! Akhirnya, syukur alhamdulillah.
Januari lalu, saya bermusafir ke Miri dalam keadaan demam ditemani dua orang
sahabat untuk berbincang berkaitan percetakan buku ini. Allah uji sekali lagi
apabila dana percetakan itu perlu ditambah lagi. Namun, segera datang nusrah Allah. Dua orang sahabat saya ini tidak lokek untuk segera menambah baki dana
yang diperlukan.
Perbincangan dengan wakil syarikat percetakan
Begitulah sebahagian kisah perjalanan saya dan sahabat
mengumpulkan dana untuk mencetak buku #notakembestarisolat untuk cetakan pertama
khusus untuk murid tahap 1 Sekolah Kebangsaan Kidurong. Indah? Ya, sangat indah
kerana itulah pengalaman yang sangat berharga untuk saya. Cerita yang akan saya
simpan untuk saya kenang kembali selepas ini. Kisah yang mungkin biasa di sudut
pandang orang lain, tetapi luar biasa di sudut pandang diri saya,
Kenapa perlu saya ceritakan semua ini?
Satu, sebagai rasa syukur kepada Allah di atas
peluang ini. Dia sentiasa mengingatkan saya agar jangan sesekali berputus asa. Dia
sentiasa menjentik rasa kepada saya agar teruslah berusaha.
Kedua, sebagai menghargai setiap usaha
sahabat panitia saya yang tidak putus-putus memberikan kebaikan kepada saya. Ada sahabat yang ke hulu ke hilir mencari dana serta pelbagai kebaikan sahabat-sahabat kepada saya yang tidak mampu ditulis satu persatu.
Ketiga, sebagai motivasi kepada rakan
guru di luar sana. Apa sahaja yang anda lakukan untuk anak murid anda, pasti
ada jatuh bangunnya. Teruskan melangkah, jangan berputus asa. Biasalah ada rasa
lelah, berehatlah seketika tetapi selepas itu sambung kembali impian itu. Kita sentiasa
ada Allah dalam setiap rasa lelah.
Untuk projek seterusnya kami memerlukan
dana untuk sebanyak 100 buah buku. Buku ini akan digunakan secara
bergilir-gilir oleh murid tahun 4,5,6 untuk setiap siri Kem Bestari Solat. Tidak
rugi anda menyumbang kerana cuba bayangkan berapa banyak pahala yang anda
peroleh setiap kali murid-murid ini menggunakan buku ini?
Sehingga saat saya menulis, kami telah
berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM716.40 iaitu telah mencapai dana untuk
cetakan 28 buah buku. Semoga cetakan kedua buku #notakembestarisolat ini akan
menjadi kenyataan.
Anis Humaira,
7.20 Malam,
24 Jumadil Ula 1483,
Pantai Tanjung Batu,
Bintulu.
Update : Setakat 22.2.2017, jam 6.00 petang sebanyak RM1250.00 (50 buah buku) telah diinfaqkan oleh orang ramai. Alhamdulillah, masih ada kekosongan peluang sebanyak 50 buah buku lagi!
Jomlah kita berlumba-lumba membuat kebaikan dan bangunkan kebaikan dari rezeki yang ada ditangan kita! Ingatlah harta kita adalah apa yang kita belanjakan ketika kita masih hidup sedangkan harta yang kita tinggalkan selepas meninggal adalah milik ahli waris.
Sekiranya telah cukup 50 buah buku lagi diinfaqkan saya akan terus mengumumkan PENUTUPAN projek fasa kedua ini.
No comments:
Post a Comment