Thursday, August 9, 2018

Ihsan kepada binatang




Bismillahirrahmanirrahim

Pandangan mata saya tertarik pada sebuah bekas di atas meja murid ini. Ya, bekas makanan kucing. Bila ditanya pada murid, rupa-rupanya guru kelas mereka yang menyediakan bekalan tersebut untuk diberikan kepada tetamu istimewa yang bertandang ke kelas mereka. Satu penerapan akhlak dan moral yang sangat baik kepada murid-murid untuk menyantuni haiwan yang juga makhluk Allah.

Teringat kepada seorang sahabat saya yang sentiasa membawa plastik makanan kucing di dalam tas tangannya ke mana-mana sahaja beliau pergi dan akan menyantuni haiwan tersebut. Terharu saya melihat bagaimana tingginya kasih sayang beliau ketika memberi makan dan membelai haiwan tersebut.

Begitu juga dengan inspirasi kisah pasangan pak cik dan mak cik yang sudah tua dan masih belum mempunyai zuriat di kawasan perumahan sayà, tetapi setiap hari istiqamah memberi makan kepada anjing-anjing di hadapan rumahnya. Malahan, pernah suatu hari ketika hujan lebat, saya berselisih dengan pak cik tua ini, beliau sanggup basah kuyup berlari keluar dari kereta demi menyelamatkan seekor anjing yang terjatuh ke dalam longkang. Ya, beliau seorang muslim, sama seperti kita.

Untuk melakukan kebaikan tidak sukar, kerana peluang untuk melakukan kebaikan sentiasa ada di depan mata. Jika kita mampu melakukan sedikit kebaikan tetapi berkekalan walaupun dengan hanya mengisi perut seekor kucing yang lapar. Lakukanlah, mungkin kebaikan yang kecil itu akan membantu kita di sana dan menjadi asbab diampunkan dosa sebagaimana kisah seorang lelaki dan seorang pelacur wanita yang diampunkan dosa mereka oleh Allah SWT kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan.

 
Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda :
“Ketika seorang laki-laki sedang berjalan, dia merasakan kehausan yang sangat, lalu dia turun ke telaga dan minum. Ketika dia keluar (naik dari telaga), ternyata ada seekor anjing sedang menjelirkan lidahnya menjilat tanah basah kerana kehausan. Dia berkata, ‘Anjing ini kehausan seperti diriku.’ Maka dia mengisi kasutnya dan memegang dengan mulutnya, kemudian dia naik dan memberi minum anjing itu. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kita boleh meraih pahala dari binatang?” Beliau menjawab, “Pada setiap hati yang basah terdapat pahala.” [HR Bukhari no 2363 dan Muslim no 2244]


Dari Abu Hurairah ra dari Nabi saw bersabda :
“Seorang wanita pelacur melihat seekor anjing yang mengelilingi perigi pada hari yang panas terik. Anjing itu menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Lalu wanita itu menimba air dari perigi dengan kasutnya, maka dia diampuni.” [HR Muslim no 2245]


Janganlah kita meremehkan sesuatu kebaikan. Kerana boleh jadi, diampunkan dosa seseorang itu dengan asbab berbuat ihsan kepada haiwan. Moga-moga menjadi motivasi kepada kita untuk sentiasa ikhlas dan berusaha untuk berbuat ihsan kepada haiwan.

Bintulu,
9 Ogos 2018 (Khamis)

No comments: