Bismillahirrahmanirrahim
Di antara rahmat Allah
dijalan ilmu ini adalah direzekikan untuk belajar daripada guru-guru yang
terlalu penyabar dalam membimbing setiap satu kelemahan muridnya serta sentiasa
berfikiran positif bahawa yang lemah tidak semestinya akan selalu gagal dan di bawah.
Saya ada seorang guru.
Di mana setiap perkataan tersusun indah dengan kalam memotivasikan
"Saya amat yakin
kamu akan berjaya!"
"Saya tetap
positif dengan kekuatan group saya ini!"
"Saya doakan dari
jauh."
Kata-kata positif
diulang-ulang tanpa jemu dengan penuh keyakinan. Saya masih ingat, dikala
pendidik-pendidik yang lain berebut-rebut untuk mengajar kumpulan murid yang
dilabel sebagai bijak, sang guru ini datang dengan senyuman membuka pintu penuh
layanan teristimewa untuk murid yang dilabel sebagai lemah.
Benar, yang diingati
dari guru bukan hanya ilmu tetapi adab dan tingkah laku.
Saya juga ada seorang
guru yang mengajarkan al-Quran dan beliau adalah seorang yang mempunyai masalah
penglihatan. Memori saya samar-samar tentang beliau kerana waktu tu saya masih
kecil. Setiap hari, akan berjalan kaki untuk ke pondok kecil beliau untuk
belajar al-Quran. Ada waktu, saya tunggu dahulu di luar sehingga beliau selesai
solat sunat dhuha. Walaupun beliau hidup serba kekurangan dan tidak memiliki
keupayaan seperti orang normal namun tidak menghalang dirinya dari istiqamah
mengajarkan kalamNya. Semangatnya tidak luntur dek kekurangan diri dan
kesusahan kehidupannya.
Saya juga ada seorang
guru, yang seorang yang sangat halim dan suka tersenyum. Antara akhlaknya
beliau suka berdoa sebelum memulakan apa-apa kalam. Hatta, hanya perbincangan
kecil di luar kelas. Doanya panjang sekali. Namun, sekalut apa pun beliau walau
ada tugasan lain yang perlu dikejar, beliau akan tetap tenang berdoa dan
menyantuni kami. Selesai perbincangan beliau akan sudahi dengan doa juga.
Saya juga ada seorang
guru yang tegas orangnya. Yang sangat menepati masa, yang sangat berkira dengan
masa. Masuknya ke dalam kelas tepat waktu, keluarnya juga tepat waktu. Walau
kami merayu untuk kelas berakhir awal beliau tetap akan keluar sehingga
amanahnya selesai. Begitulah guruku seorang yang sangat amanah.
Saya juga ada seorang
guru yang tidak pernah membebankan muridnya. Setiap kali kami melihatnya
membawa barang dan cuba menolongnya, beliau akan menolak. Bukan sombong, tetapi
selagi mampu, beliau tidak pernah akan menyusahkan atau menyuruh murid-muridnya
walaupun beliau tahu, niat kami hanya untuk menolong dan tidak sekali-kali kami
menganggapnya sebagai beban. Kami tidak pernah dibenarkan mengangkat buku-buku
bahkan selesai mengajar beliau sendiri akan memadam tulisan kapur di papan
hitam.
Saya juga ada seorang
guru, yang sanggup berkorban wang ringgit untuk kami dan untuk apa-apa program
bagi pelajar-pelajarnya. Yang sangat menyantuni kami dengan akhlaknya yang
mulia. Hatta hingga akhir hayat beliau tetap istiqamah dalam kebaikan.
Ini bukan kisah rekaan
melainkan benar sepanjang saya bergelar murid dan pelajar. Bukan niat nak
mengagungkan guru melainkan akhlak baik mereka wajar dicontohi. Saya pasti
setiap daripada kita mempunyai memori tentang akhlak guru yang kita senangi dan
tanpa sedar kita telah pun mengikuti kebaikan itu. Jadi guru janganlah sekadar
penyampai ilmu, kerna akhlak baik dalam diri kita sebenarnya adalah sebaik-baik
guru untuk murid-murid kita.
Terima Kasih Allah.
Mendapat peluang belajar dan mengenali susuk tubuh guru-guru yang baik adalah
suatu rahmat buatku. Moga syurga tertinggi buatmu guru-guruku. Sekali engkau
menjadi guruku, in shaa Allah selamanya ada doaku untukmu.
Anis Humaira,
16 Mei 2021,
Bintulu, Sarawak