Saturday, October 7, 2017

Kreatif dengan Microsoft Power Point (Ep:10), Adab Masuk Ke Rumah




ADAB MASUK KE RUMAH


 (Klik Untuk besarkan)

Digalakkan memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah, tidak kira samada rumah sendiri atau rumah orang lain, samada berpenghuni ataupun tidak sebagaimana firman ALLAH s.w.t dalam surah al-Nur :61.


Al-Syeikh ’Abd al-Rahman al-Sa’di RH berkata ketika menafsirkan ayat ini, memberi salam dengan menyebut:


السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Atau:

السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ


Al-Syeikh ‘Abd al-Razak bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr berkata: Perkataan (al-Sa’di) tentang lafaz salam: السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ, ketika memasuki rumah, terutamanya rumah yang tidak berpenghuni terdapat hadis tentangnya, namun ia tidak thabit dari Nabi SAW dengan sanad yang Sahih… akan tetapi berpada dengan apa yang thabit dari sunnah iaitulah dengan ucapan salam السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ adalah lebih dituntut dalam lebih sempurna, samada rumah itu berpenghuni ataupun tidak.


Perkataan
السلام عليكم ketika memasuki rumah memiliki keberkatan ke atas insan dan ahli keluarganya seperti yang ditunjukkan di dalam ayat yang lalu (al-Nur: 61). Di dalam kitab Sunan al-Tirmizi, dari Anas RA yang berkata: Rasulullah SAW berkata kepadaku:


يا بني، إذا دخلت على أهلك فسلّم، تكن بركةعليك وعلى أهل بيتك


Mafhumnya: “Wahai anakku, jika kamu memasuki (rumah) menemui ahli keluarga kamu, berikanlah salam, ia menjadi keberkatan ke atas kamu dan ke atas ahli keluarga kamu.” (al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

Maka sesiapa yang memberi salam ketika memasuki rumahnya, maka dia berada dalam jaminan dari Allah Ta’ala. Di dalam (kitab) Sunan Abi Daud, (hadis) dari Abu Umamah al-Bahili, dari Rasulullah SAW yang bersabda:

ثلاثة كلهم ضامن على الله عز وجل: رجل خرج غازيا في سبيل الله، فهو ضامن على الله عز وجل، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل راح إلى المسجد فهو ضامن على الله تعالى، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل دخل بيته بسلام فهو ضامن على الله سبحانه وتعالى

Mafhumnya: ”Tiga golongan, kesemua mereka yang dijamin dari Allah AZW: iaitulah seorang lelaki yang keluar berperang pada jalan Allah, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia gugur lalu dimasukkan ke dalam Syurga, atau dia pulang dengan memperolehi pahala atau ghanimah. Juga seorang lelaki yang keluar ke masjid, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia mati lalu dimasukkan ke dalam syurga atau dia pulang dengan memperolehi pahala dan ghanimah. Juga seorang lelaki yang memasuki rumahnya dengan memberi salam, dia berada di dalam jaminan Allah SWT. (Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

Kreatif dengan Microsoft Power Point (Ep:9), Adab dan Zikir Memasuki Tandas



Adab dan Zikir memasuki tandas


(Klik untuk besarkan)


1. Disunatkan sebelum masuk ke dalam tandas untuk membaca:


بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ اْلخُبُثِ وَاْلخَبَائِثِ

Mafhumnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah sesungguhnya daku berlindung denganMu dari syaitan jantan dan betina.” (al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik tanpa ada bacaan
بِسْمِ اللهِ di awal)


Tambahan lafaz
بسم الله di awal bacaan sebelum memasuki tandas terdapat di dalam sebagian riwayat hadis lain. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH berkata: “al-‘Umari telah meriwayatkan hadis ini dari jalan ‘Abd al-‘Aziz bin al-Mukhtar, daripada ‘Abd al-‘Aziz bin Suhaib dengan lafaz perintah:


إذا دخلتم الخلاء فقولوا:

Mafhumnya: “Apabila kamu memasuki tandas, maka bacalah:

بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ اْلخُبُثِ وَاْلخَبَائِثِ

Seterusnya al-Hafiz berkata: “Isnad hadis ini berdasarkan syarat Muslim.”
(Fath al-Bari 1/244)

Riwayat ini juga disokong dengan hadis riwayat Ibn Majah dan selainnya dari ‘Ali RA secara Marfu’:

سِتْرُ مَا بَيْنَ اْلجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِيْ آدَم إِذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ أَنْ يَقُوْلَ: بِسْمِ اللهِ

Mafhumnya: “Pelindung antara jin dan aurat anak Adam apabila masuk ke dalam tandas, ialah dengan dia membaca;
بِسْمِ اللهِ.” (Ibn Majah. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Razak bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr: Hadis ini Sahih dengan himpunan jalan-jalannya.
Lihat juga Irwa’ al-Ghalil oleh al-Albani)


2. Menjauhi dari pandangan orang lain. (Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)

3. Tidak menyingkap pakaian, melainkan setelah menghampiri tanah. (Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah)

4. Berselindung dari pandangan orang ramai. (Muslim)

5. Menjauhi buang air dari laluan orang ramai. (Muslim)
6. Tidak menghadap atau membelakangi Kiblat dan tidak mensucikan najis dengan tangan kanan. Demikian juga, jika beristinjak, tidak mengurangkan bilangan sapuan istinjak kurang dari tiga kali dan tidak beristinjak menggunakan najis kering dan tulang. (Muslim dan lain-lain)
7. Berjaga-jaga dari terkena percikan najis samada pada pakaian atau tubuh badan. (al-Bukhari dan Muslim)
8. Tidak berkata-kata ketika membuang air, demikian juga tidak menyibukkan diri dengan zikir dan doa. Hal ini demikian kerana Nabi SAW tidak menjawab salam yang diberikan kepada beliau ketika membuang air, sedangkan salam adalah termasuk di dalam zikir dan doa.

 9. Adapun bacaan ketika keluar dari tandas, berdasarkan hadis dari ’Aisyah RA yang berkata: ”Adalah Nabi SAW, apabila keluar dari tandas baginda membaca:


غُفْرَانَكَ
Mafhumnya: “KeampunanMu.”


Dikatakan permohonan ampun ketika keluar dari tandas kerana bimbang terkurang dalam bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang dikurniakan terdiri dari kurniakan makanan, penghadaman seterusnya memudahkan pembuangan najis.

Kreatif dengan Microsoft Power Point (Ep:8) , Adab Menziarahi Orang Sakit



Bismillahirrahmanirrahim.


Kali ini saya ingin berkongsi hasil doodle menggunakan Microsoft powerpoint. Doodle ini saya hasilkan ketika tahun 2014 sebagai bahan untuk dakwah.

ADAB MENZIARAHI ORANG SAKIT




 (klik untuk besarkan)

1) Bagi orang yang menziarahi pesakit dianjurkan dia berada berhampiran dengan kepala pesakit. Di dalam al-Adab al-Mufrad, daripada Ibn ’Abbas RA yang berkata: ”Dahulunya Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit, baginda akan duduk berhampiran kepalanya, kemudian baginda mengucapkan sebanyak tujuh kali:

أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيْمَ، رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْم أَنْ يَشْفِيَكَ

Mafhumnya: “Daku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan kepada ‘Arasyh yang agung, untuk Dia menyembuhkanmu.” (al-Adab al-Mufrad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Adab al-Mufrad)


2)Termasuk di dalam sunnah meletakkan tangan di atas tubuh orang yang sakit ketika hendak berdoa untuknya. Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim diriwayatkan ketika Nabi SAW menziarahi Sa’ad bin Abi Waqqas RA, baginda meletakkan tangan baginda dahi Sa’ad, kemudian baginda menyapu tangan baginda ke muka dan perut Sa’ad sambil membaca:

اللّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا
Mafhumnya: “Ya Allah, sembuhkanlah Sa’ad” (al-Bukhari dan Muslim)


3) Rasulullah s.a.w juga ada mengucapkan:

لَا بَأْسَ، طَهُوْرٌ إِنْشَاءَ اللهُ

Maksudnya: Tidak mengapa, semoga sakitmu ini membuat dosamu bersih, Insya ALLAH." (HR al-Bukhari no.5656)


4) Daripada Ummi al-’Ala (
أم العلاء) RA yang berkata: “Rasulullah SAW pernah menziarahiku yang sedang sakit, lalu baginda bersabda: “Terimalah khabar gembira wahai Umm al-‘Ala, kerana sesungguhnya sakit seseorang muslim itu, Allah akan menghilangkan dengannya kesalahan-kesalahannya, sepertimana api menghilangkan kotoran emas dan perak.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)


5.Orang yang menziarahi pesakit juga dianjurkan berdoa dengan ikhlas kepada pesakit dan jangan memperkatakan sesuatu melainkan perkara-perkara yang baik sahaja. Daripada Umm Salamah RA yang berkata: ”Baginda Rasulullah SAW bersabda: ”Apabila kamu semua menziarahi orang sakit atau orang yang meninggal dunia, maka ucapkanlah perkara-perkara yang baik. Kerana sesungguhnya para Malaikat akan mengaminkan apa yang kamu semua katakan.” (HR Muslim)

Tuesday, July 18, 2017

Etika dan Kerohanian



Bismillahirrahmanirrahim




Kelas Isu-isu Pendidikan hari tersebut agak hangat. Satu demi satu isu pendidikan telah dikupas oleh rakan sekelas yang majoriti adalah pendidik. Semua pandangan berkaitan isu pendidikan dilontarkan dari perspektif seorang guru. Ada isu yang panas, ada isu yang hambar, ada isu yang jemu dan tepu didengar kerana isu itu umpama tiada jalan keluar. Seorang rakan sekelas menyentuh isu berkaitan nilai. Jika dilihat aspirasi murid yang kelima dalam PPPM ialah memiliki etika dan kerohanian tinggi. Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dalam coraknya yang transformatif mampu membangun nilai etika dan kerohanian supaya ia menjadi benteng kekuatan menghadapi cabaran alaf 21.



Namun sejauh manakah Negara kita telah berjaya menongkah arus transformatif seiring melahirkan insan yang memiliki etika dan kerohanian yang tinggi ini? Melihat yang di atas semakin hanyut melupakan nilai agama dan etika cukup menggambarkan keparahan penyakit masyarakat kita. Perkara yang cukup menarik perhatian saya, apabila rakan pembentang tersebut melontarkan persoalan pernahkah pihak pentadbir atau pihak atasan bertanyakan persoalan sejauh manakah anak-anak cikgu di sekolah berjaya mempamerkan nilai murni dalam diri mereka? Apa nilai murni yang murid-murid amalkan hari ini? Apa yang pasti bukan persoalan ini yang sering dan kerap ditanya oleh mereka melainkan persoalan berkaitan pencapaian, KPI dan sebagainya. Atau yang mana lebih kerap ditanya oleh ibu bapa? Soal akhlak atau sekadar perkembangan kognitif anak-anak dengan meninggalkan sepi soal kerohanian. Malah, kadang soal kerohanian adalah satu soalan yang tersangat sensitif untuk disentuh. Sedih dan menyedihkan. Inilah realiti kehidupan.




            Melihat kepada persoalan ini, saya kembali merenung jauh ke dalam diri, sejauh mana pula usaha saya dalam menerapkan nilai kepada murid-murid saya. Tugas menjadi guru agama bukan mudah. Amanah kami adalah mengenalkan mereka dengan Tuhan dan berusaha menjadikan rasa berTuhan bertunas dan tumbuh mekar dalam hati mereka. Rasa berTuhan itulah yang akan memimpin sikap dan akhlak dalam kehidupan mereka. Sungguh, usaha dan cabaran mengenalkan Tuhan di tanah yang satu ini dalam bukanlah  sama dengan cabaran ketika saya mengajar murid-murid di semenanjung. Bukan berniat membezakan tetapi itulah realiti. Apabila saya bertanya siapa Tuhan kamu? (Kamu adalah kata ganti nama diri yang digunakan dalam pedagogi pendidikan sekolah rendah) kepada murid pra sekolah. Mereka masih belum kenal siapa Allah. Berbeza dengan jiwa di semenanjung, murid rata-ratanya telah kenal siapa Tuhan mereka. Malah, apabila saya mengajarkan sirah, mengenalkan mereka dengan Rasulullah, mereka masih beranggapan bahawa Rasulullah itu adalah susuk tubuh yang masih wujud di zaman ini dan mereka terkejut apabila mengetahui bahawa Rasulullah sebenarnya telah lama wafat meninggalkan kita. Jarang sekali saya berjumpa anak-anak yang dekat jiwanya dengan Allah dan RasulNya di bumi borneo ini. Apabila saya terjumpa murid-murid yang benar-benar mengenal TuhanNya pasti akan tersentuh hati saya.



  Begitu juga dalam soal tuntutan utama seorang muslim. Jarang sekali mereka menunaikan sembahyang. Mungkin ada yang tidak pernah mencecahkan dahi ke tikar sejadah. Soalan wajib ditanya sebelum PdPc saya adalah siapa telah menunaikan solat subuh pagi tadi? Soalan itulah yang saya ulang dan ulang setiap hari. Murid yang solat diberikan pujian. Hari demi hari tangan yang mengangkat semakin ramai. Itulah kepuasan saya.

 

Kehidupan keluarga yang bercampur agama, bercampur makanan halal haram dan pelbagai perkara yang menjadi cabaran dalam hidup dalam beragama bagi anak sekecil usia di bawah 12 tahun itulah realiti yang perlu ditadah di sini. Kehidupan bercerai-berai ditinggalkan sang ibu atau ayah, hidup menagih kasih sayang insan lain. Ditinggalkan ibu kandung dan hidup bersama bapa pemabuk yang tidak bekerja.  Itulah kisah setiap hari. 


 Bagaimana saya mahu solat ustazah? Ibu bapa saya tidak solat.

Ustazah mak saya tidak membenarkan saya memakai tudung. Apa perlu saya buat?


Kehidupan beragama mereka penuh cabaran. Nasab keluarga kacau bilau. Anak angkat berbin dan berbintikan bapa angkat adalah situasi biasa di sini walaupun perkara itu diharamkan di dalam Islam. Saya sendiri kurang pasti bagaimana mereka boleh mendaftarkan nama anak angkat bernasabkan bapa angkat. Adakah kerana tiada peraturan jelas di negara kita yang melarang orang Islam menasababkan anak angkat dengan bapa angkat walaupun perkara itu jelas diharamkan.


Memang menitipkan etika dan kerohanian bukan sekadar hafalan atau skor di atas kertas peperiksaan tetapi ia adalah suatu yang subjektif kerana melibatkan sikap dan pengamalan. 


Namun, dalam kesukaran ini mengajarkan mereka yang masih belum mengenal Tuhan berkenalan dengan Tuhan mereka adalah detik yang indah. Mengajarkan mereka mengenal Tuhan melalui asma’Nya yang indah adalah suatu nikmat. Melihat mereka mampu mencecahkan dahi ke tikar sembahyang adalah suatu kepuasan. Membilang angka yang mengangkat tangan semakin ramai ketika ditanya tentang solat mereka adalah suatu rasa yang tidak terungkap. Mendengar mereka dapat membaca huruf, kalimah dan ayat –ayatNya dalam keadaan merangkak-rangkak hingga lancar sebelum meninggalkan alam sekolah rendah adalah suatu saat yang paling dinantikan oleh sang guru. Melihat mereka hidup dalam nilai beragama dan mampu menunjangkan rasa berTuhan dalam tindak tanduk mereka walaupun setelah tiada lagi di sisi guru adalah suatu nikmat yang tak terungkap.


Inilah harga yang perlu kami kejar untuk KPI mendidik murid dalam memiliki etika dan kerohanian tinggi. Bukan mudah dan memang tidak semudah mengejar KPI untuk mendapatkan skor ‘A’ dalam peperiksaan. Mungkin bukan ini menduduki tangga pertama dalam penilaian aspirasi murid. Tapi tanpa asas ini, bayangkan cabaran alaf 21 yang tidak sekadar cabarannya ilmunya tetapi cabaran menongkah arus modenasi. Adakah bakal terlahir kehidupan yang menolak etika dan kerohanian tanpa pedoman sehingga berkembangnya tabiat haiwani dan resam manusiawi terpinggir?



24 Syawal 1438H, 
Bintulu Sarawak.