Sunday, December 27, 2009
::maYat berbicara..::
Sebagai makhluk yang bersifat baharu.. sampai masanya kita akan kembali jua menemui Ilahi. Mungkin esok mungkin lusa mungkin tahun hadapan malah mungkin sebentar lagi. Bagaimanapun, mati bukanlah akhiran kepada hidup kerana apabila terpisah sahaja roh dari jasad.. bermula pula satu alam baru yang perlu ditempuh. Itulah alam barzakh yang bakal kita lalui kelak.
“Dan di belakang mereka itu barzakh sampai hari kebangkitan” (Al-Mukminun : Ayat100)
Barzakh meliputi kesemua perkuburan – didalam tanah di dalam api didalam perut binatang buas atau hancur di dalam air.
Apakah sebenarnya yang akan kita tempuhi di alam barzakh nanti? Itulah yang perlu diketahui kerana sesungguhnya perjalanan yang bakal dilalui selepas nyawa dicabut Izrail amat menggetarkan. Ia menjadi teramat indah jika kita hidup beramal soleh tapi menjadi teramat menakutkan jika menghabiskan hayat dengan maksiat serta kemungkaran.
Sebuah hadith menyebut : “apabila mayat dimasukkan ke dalam usungan dan dibawa ke kubur.. maka ia tidak berdiam diri sebaliknya berkata kata. Ucapannya didengar oleh segala makhluk kecuali manusia. Bagaimanapun.. ucapan itu berbeza beza antara yang soleh.. yang derhaka dan yang bergelumang dengan maksiat.
Kalau si mati seorang yang soleh.. dengan gembiranya ia berkata; “Segerakanlah olehmu membawa aku ke kubur!” Tidak sabar lagi ia menunggu masa untuk menemui Ilahi dan mendapat balasan nikmat dariNya. Sebaliknya jika mayat itu semasa hidupnya suka membuat mungkar.. dengan penuh ketakutan ia bertanya; “Ke manakah kamu semua membawa diriku ini?” Ketika itu, perasaan gerun terhadap balasan seksa dari Allah Azzawajalla sudah tidak dapat dibendung lagi.
Seperti yang dinyatakan oleh Rasullullah saw, alam kubur itu merupakan tahap pertama untuk menuju akhirat. Ia tempat yang amat indah.. tapi boleh juga menjadi tempat yang paling menggerunkan.
Apabila mayat telah dimasukkan ke dalam kubur.. maka tinggallah ia bersendirian tanpa teman.. tiada lampu.. tiada makanan dan minuman. Di saat itu barulah ia mengetahui sama ada bakal ke syurga atau neraka. Kalau ia calon syurga.. maka diperlihatkan kepadanya bayangan syurga dan demukianlah sebaliknya.
Bagi calon ahli syurga.. dibukakan pintu syurga untuknya bersama ucapan “Itulah tempat tinggalmu dan apa sahaja yang disediakan Allah di dalamnya.” Setiap detik dipampangkan kepadanya keindahan syurga. Sedikit pun mereka tidak bosan menatapnya walaupun bertahun tahun di dalam kubur menunggu tibanya kiamat.
Kuburnya juga akan diperluas dan diterangi cahaya. Kemudian rohnya dihimpunkan bersama roh roh para solehin seumpama seekor burung yang berada di sebatang pohon di syurga. Demikian dijelaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal.
Namun, orang orang yang kafir dan ingkar akan menerima keadaan yang berlainan. “Orang orang kafir itu disempitkan kuburnya sampai remuk tulang belulangnya. Demikian itulah kehidupan yang sempit.. penuh dengan kecelakaan dan kesengsaraan.” (Hadith riwayat At-Tarmizi dan Ibnu Hibban) Di samping itu.. si mati juga akan diazab dengan api yang marak menyala.. ular serta binatang buas.
Seksa kubur yang paling azab ialah yang meninggalkan solat. Dalam sebuah kitab ada menceritakan tentang seorang soleh yang mengebumikan mayat abangnya. Ketika menimbuskan mayat itu.. entah bagaimana dompetnya terjatuh dan tertimbus. Setelah pulang ke rumah barulah dia tersedar akan kehilangan dompetnya itu.
Lalu ia kembali ke kubur dan menggalinya semula. Setelah digali, dia terperanjat apabila melihat ada api menyala di dalam kubur abangnya. Lantas ditimbus semula kubur itu dan pulang ke rumah.
Dia menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya.. kemudian bertanya; “Wahai ibu, apakah yang telah dibuat oleh abangku hingga kuburnya terdapat api?” Ibunya bertanya kembali; “Mengapa kamu bertanya begitu?”
Selesai dia menceritakan kejadian tersebut.. ibunya menangis seraya berkata; “Abangmu itu selalu meringan ringankan sembahyang dan melambatkan waktunya.”
Kalau orang yang melambatkan solat akan mengalami hal seperti itu.. bayangkan bagaimana orang yang tidak bersolat sama sekali! Seksa kubur bukan sahaja berlaku kerana dosa besar.. malah dosa kecil sekalipun turut dihukum.
Kubur sesungguhnya menyimpan pelbagai rahsia. Lebih menginsafkan.. kadangkala ia dipertontonkan Allah kepada kita dengan pelbagai cara dan bermacam macam peristiwa. Ada yang menakutkan.. tetapi ada juga yang menyeronokkan.
Sebagai orang yang paling akrab dengan perkuburan.. setiap penggali kubur menyimpan rahsia mereka sendiri. Kebanyakkan mereka telah menyaksikan bermacam macam kejadian aneh yang tidak terjangkau oleh akal logik. Alangkah bertuahnya mereka dapat menyaksikan bukti bukti kebesaran janji Allah.
Bagaimanapun, apa yang disaksikan berlaku pada mayat dan kubur bukan semuanya seksaan Allah kepada jenazah. Ada kalanya perkara perkara aneh yang berlaku itu adalah untuk mengajaran kepada manusia yang masih hidup.
Dalam kitab Al-Safinah al-Makhirah Ila Al-Barzakh ada disebutkan bahawa apa sahaja yang berlaku ke atas mayat dan di dalam liang lahad adalah satu misteri. Ia bertujuan memberi iktibar kepada keluarga si mati serta manusia yang masih hidup. Terimalah ia sebagai tarbiah dan bukan dengan kegerunan serta syak wasangka.
Kitab rujukan : Meraung di Pintu Neraka - Haji Anwar Muzafar.
(w.n.afinaz)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment