Monday, January 30, 2012

tak fikir jauh...






Bismillahirrahmanirrahim

Anis terfikir untuk menulis pada malam ini, setelah mendapat idea petang tadi. Petang tadi sempat berjalan-jalan mengelilingi maktab (kononla). Sedang berjalan-jalan, tiba-tiba ada seorang sahabat bercerita tentang sesuatu dan Anis cukup tertarik dengan kata-kata dia:

Dulu saya kecik lagi , tak pk jauh lagi..”

Tiba-tiba jugak, Anis tersangat-sangat setuju. Walaupun sempat tergelak dengan ayat tu. Betul-betul macam ayat dalam cerita la my dear….

Bercerita tentang “dulu saya kecik lagi”, tak henti-henti ada penyesalan yang tak sudah,  yang terbit dari dalam diri. Beberapa angka tahun masuk ke kampus ini, melangkah untuk menjadi guru, membuka beg bekalan, baru  terperasan.

Allah! bekal aku kosong lagi! “.

Masakan mahu berjalan dalam alam ilmu nanti tanpa “ilmu” untuk disampaikan. Sangat-sangat terkilan dengan diri. Terasa tersangat-sangat JAHIL. (KASAR sangat ke perkataan ni?)

Masa tu saya kecik lagi, tak fikir jauh lagi…

Kalaulah saya fikir jauh, sudah tentu saya tidak hanya nampak matlamat jangka pendek. Iye! tidak dinafikan berada di sekolah yang sangat bagus dan masing-masing mahu mengejar “A”!  

Bagus! Hadis A, al-Quran A, Feqah A, Nahu A, Adab Nusus A pendek kata memang straight A’s!  Namun, beberapa tahun ke belakang ini, Anis mula tersedar, Allah… mana ilmu-ilmu aku? “A” dapat dikendong,  tercatat utuh dalam sijil, slip peperiksaan, namun, mana ilmunya???

Allah…sangat sedih terasa. Dek kerana saya kecik lagi, tak fikir jauh lagi waktu tu, apa yang saya lakukan hanyalah untuk mengejar matlamat akademik. Ustaz ustazah kata hafaz, Anis pun hafaz. Memang begitulah sejak sekolah rendah dan menengah. Walaupun ada ustaz dan ustazah menekankan kepentingan ilmu ni untuk masa hadapan, tapi semuanya hanya berlalu umpama mencurah air ke daun keladi.

SEKARANG! saya sangat-sangat terasa, bahawa sayalah orang yang paling rugi, berapa puluh hadis yang saya dah lupa! berapa banyak sirah yang saya ingat-ingat lupa, berapa banyak ilmu fiqh yang saya ingat sekadarnya! dan berapa berapa berapa berapa..

Allah…bekal saya masih kosong…”

Beberapa angka hari yang lepas, Anis terdetik untuk membaca blog seorang sahabat sekolah rendah dahulu katanya:

Tatkala Imam Bukhari ditanya apakah rahsia untuk mengekalkan ingatan yang kuat, maka jawabnya
"keinginan seorang lelaki dan sentiasa melihat yakni sentiasa mengulangkaji"
Berasa bersalah dengan hafazan yang dulu dihafal ketika di sekolah. Niat di hati mahu murajaah balik.Tapi dugaan dari syaitan terlalu kuat..Ya Allah kurniakan taufik kepadaku untuk kembali mengingati ayat-ayatMu!!!

Sungguh! terjentik hati ini. Walaupun di sini, Anis mampu untuk terus menghafaz ayat-ayatnya, namun cukup berkeinginan untuk terus melafazkan hadis selancar dahulu, ilmu semuanya di dada.


Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ass radiallahu anhuma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ‘ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ‘ilmu itu dengan mematikan ‘alim ‘ulama’, maka apabila sudah ditiadakan ‘alim ‘ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ‘ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

Mula belajar untuk ilmu, kerana Allah, untuk bekalan, senang melafazkan, ingat! hatimu, hatimu, bukan hanya dilidahmu… belajar untuk menjadi guru seikhlasnya! (walaupun ilmu pedagogi). BIAR KITA CEMERLANG DI SISI ALLAH!
JOM BELAJAR JADI HAMBA CEMERLANG DALAM URUSAN DUNIA DAN AKHIRAT! T_T

Nota      1 : Rasulullah s.a.w. mendoakan kepada Sayidina Ibn Abbas dengan lafaz:
اللهم فقهه فى الدين وعلمه التأويل
Maksudnya: “Ya Allah, ajarkanlah Ibn Abbas ini dalam urusan agama. Dan ajarkanlah dia Takwil.” (Hadith riwayat al-Bukhari. Sila lihat “Fath al-Bari” ms. 169, jld. 1)
Nota 2   : Banyak perkara yang dikesali di dunia yang tidak dapat berpatah kembali, penyesalan di akhirat..Allah…jauhkan aku dari golongan yang rugi itu…

Nota 3   : Kata pensyarah Anis, Ustazah Safinah, ada hikmah kita lupa sesetengah perkara, cuba bayangkan kalau kita ingat semua perkara? agak-agak apa yang akan terjadi?

Ditulis 29 Januari 2012,
Disambung pada 31 Januari 2012,
Fi M 302,
2.29 P.M

Sunday, January 22, 2012

cemburukah?




Bismillahirrahmanirrahim..


"Sungguh ku cemburu!
 engkau bakal melangkah ke alam perkahwinan..
bukan cemburu kerana engkau menemui cinta terlebih dahulu,
tetapi,
cemburu kerana kau bakal menyempurnakan separuh dari agamamu,
cemburu kerana setiap tindak baikmu terhadap pasanganmu bernilai ibadah,
cemburu kerana engkau berjaya menyempurnakan sunnah Nabi kita,’
cemburu kerana engkau bakal menjadi penyambung umat Nabi Muhammad"


Nota 1   : seorang sahabat berkongsi kata-kata Penulis, Pahrol Mohd Juoi, tentang CINTA: Jika tepat masa, ketika, keadaan dan SIAPA, cinta adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingnya.
Nota 2   :  credit to : adik Dr. Nur Farah Aisyah Nazim
Nota 3   : Wink2! (^_~)v... tahniah buat kamu....
Nota 4   : Jika ada yang bertanya bagaimana aku memandang keyakinan tentang JODOH, maka akan ku jawab, bagiku sama saja  kau menanyakan keyakinanku tentang KEMATIAN... 

dalam mood melakar cerpen terbaru,
Fi Baiti Sakinah,
22 Januari 2012,
10.26 p.m

okey tak?





Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, dengan kudrat dan idea yang dikurniakan oleh ALLAH, akhirnya dapat juga renovate blog ini.

taraaaaaaaaaaaa!

guane?

terasa macam menghirup udara baru tak kat blog ni? (ceh…perasan la hang ni :P).

 Papepun, demi mencari nafas baru, background, music dan header blog telah berjaya ditukarkan. Rasa lebih ceria dan budak-budak sedikit (kotla).

Semoga penulis blog ini lebih CERIA! dan kamu juga selaku pembaca.. ameen3x..

Anis sendiri tak tahu apa pendapat pembaca tentang versi baru ini, papepun, terimalah seadanya ye… ^^.


Nota 1   : Hijau itu indah!
Nota 2   : Setelah beberapa header disiapkan, akhirnya ini je yang mampu, jika diizinkan, mungkin bakal bertukar… idea! idea! datanglah kamu~
Nota 3   : Masih dalam proses renovate blog ni @_@


Fi baiti sakinah,
22 Januari 2012,
9.17 p.m.

Thursday, January 19, 2012

mimpikan aku




Bismillahirrahmanirrahim…


mohon petunjuk dalam esak doa,
hajat agar disampaikan,
cuba melepaskan,
Bukan mudah,
makin lama makin menguat,
mencengkam rasa,
belajar berkata dalam gelita,
sangat indah mengadu pada sang pencipta,
Ilahi,
kurniakanku kompas,
agar memandu dalam lemas,
mimpikan aku,
agar indah merasa hidup,
penuh bunga pengharapan,
agar kuat berkata,
aku adalah pilihanMu..




Nota     : seorang sahabat berkata "kadang-kadang rasa tak percaya apa yang dilakukan oleh diri      sendiri..ALLAHU RABBI... moga ada kekuatan untuk melakukan hal yang sama..


Hanya aku memahami,
19 Januari 2012,
Fi M302
11.39 p.m




Tuesday, January 17, 2012

Patut ke berdoa untuk sembuh?

Bismillahirrahmanirrahim...

Bila beberapa sahabat mendoakan untuk semoga makin sihat dan terus sembuh.. terdiam dan berfikir sekejap.. Allah….berat rasa untuk mengaminkan. Hanya mampu menutur berat.

“Amin…Insya ALLAH jika itu yang terbaik…”.

Beberapa ketika teringat ketika sesi tutorial pada tahun lepas. Ustaz Suhaimi a.k.a abi kelas Pai Semester 5, pernah menceritakan kisah Uwais Al-Qarni.

Satu persatu kalimah yang keluar dari bibir sang murabbi, didengar dan diamati. Setelah habis sesi tutorial, malam itu juga Anis mencari kisah Uwais di laman sesawang. Anis membaca kisah ni berkali-kali. Dan saat Ustaz Suhaimi menceritakan kisah ni, tanpa disedari, air mata mengalir… Allah… sangat-sangat menyentuh hati. Mengapakah Si Anis menangis? Ikuti kisah Uwais di bawah ini, (walaupun anda dah baca kisah ni berulang kali, sangat tak bosan membacanya lagi…percayalah).

Secara umumnya, Uwais asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

“Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji.

Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya “Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit).

Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ini gila. Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu diatas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot (muscle) tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Dibelakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke rumah dia di Yaman, Ibu dia berkata kepada dia “ Uwais, apa yang kamu berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”.
Uwais menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
 Ibunya bertanya lagi “Bagaimana pula dengan dosa kamu”.
Uwais menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga”.

Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”. Uwais kata “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menanbah “Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibu dia minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit”

Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling ditengkuknya.

Selepas tidak lama Uwais berdoa yang demikian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi Allah. Doa dia cukup makbul hatta penyakit sopak pun boleh sembuh.

Hati ini sangat terkesan dengan pengorbanan seorang anak dan keredhaan dan kesyukuran yang tinggi seorang hamba sehingga terbit dari bibirnya:
Saya keberatan untuk berdoa (agar disembuhkan penyakir sopak) kerana ini Allah yang jadikan. KALAU TIDAK REDHA DENGAN KEJADIAN ALLAH, MACAM SAYA TIDAK BERSYUKUR DENGAN ALLAH TA’ALA”.
Itu pun kerana TERPAKSA!

Hampir terkeluar dari lidah tidak bertulang ini untuk menjawab pada sahabat… jika Allah sembuhkan, pasti sangat-sangat rindu. Takkan tidak mahu ALLAH sayang lebih.

Teringat kata-kata seorang sahabat yang diuji dengan masalah jerawat dimukanya.
Kalau jerawat ni dah tak ada tentu nanti saya rindu..”

Anis hampir tergelak besar, tapi andai diselami, dalam maksudnya, boleh jadi dia sebenarnya bersyukur dan redha dengan kejadian dirinya. Dia ikhlas!

Bersyukur jugak dengan keadaan diri ini seadanya bila menemani susuk tubuh seorang sahabat yang diserang sakit SETIAP HARI dan tersenyum lebar dengan menyebut nama Allah tatkala tersedar…

Aku? jauh sekali jika dibandingkan dengan Uwais, sahabatku itu. Tapi aku nak jadi seperti itu….
Nota      1 : KALAU TIDAK REDHA DENGAN KEJADIAN ALLAH, MACAM SAYA TIDAK BERSYUKUR DENGAN ALLAH TA’ALA”….
Nota 2   : Jika selalu tidak sihat dan sakit, banyakkan sedekah                   .. "Ubatilah orang yang sakit di antara kalian dengan sedekah". (HR. Abu Dawud, dihasankan oleh al-Albani dalam Shahihul Jami).

Fi M302,
17 Januari 2012M,
23 Safar 1433H,
7.00 P.M

Sunday, January 15, 2012

150112


Bismillahirrahmanirrahim..

15 Januari 2012M / 21 Safar 1433H

Alhamdulillah ‘ala kulli hal..wa astaghfirullah ‘ala kulli zanbin…

sudah 22 umur si Anis ni.. semahunya hendaklah mengharungi setiap detik dengan penuh bererti (Insya ALLAH). Dengan angka 22 ini, anis sendiri tidak dapat mengagak bagaimana nilaian cik anis di sisi rabb, semoga nilainya hasanah dan berapa jua bakinya jua hasanah.

Doa sahabat-sahabat, didoakan semoga diterima ALLAH. Walaupun telah menerima hadiah sebelum tarikh ini lagi, hmmm satu-satu hadiah yang paling indah dari seorang sahabat..

Paling indah .. mimpi seorang sahabat melihat diri ini gembira sangat-sangat berlari-lari anak melangkah ke Syurga adalah hadiah yang sangat-sangat bererti (Ya ALLAH…layak ke aku ni? walaupun terasa amat-amat jauh diri ini daripadaMu… masih lagi Engkau mengurniakan harapan demi harapan yang sentiasa membuat hati berbunga-bunga) dan doa-doa sahabat.. "semoga Anis cepat masuk syurga...".. T_T allah...

Sesungguhnya…Allah memberikan kita Islam tanpa kita memintanya...

maka semoga Allah mengurniakan kita Syurga tatkala kita memintanya..

ameen..


Nota 1   : Mimpi syurga pasti tersangat indahkan sahabatku?
Nota 2   : Mimpi azab kubur tersangat mengerikan… sangat memberi pengajaran…moga tidak lupa untuk membaca doa perlindungan dari azab kubur setiap waktu solat.
Nota 3   : Anis, hari ini engkau semakin hampir menghadap rabb-MU… bagaimana perihal dirimu? masih koyakkah pakaian taqwamu?


Anis..Anis…sudah 22 tahun kamu bernafas sebagai hamba,
M 302,
15 Januari 2012,
10.40 p.m.

Wednesday, January 11, 2012

cakap pada diri





Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, setelah Anis berhenti berehat seketika dan bermusafir ke beberapa negeri, akhirnya pulang kembali ke daerah pusat kembara ilmu. Masih dengan diri yang sama dan pastinya banyak perkara yang dijadikan nota dalam memperbaiki diri. Iye, aku harus sentiasa upgrade diri.

Tahun hijrah sudah melangkah ke 1433H dan tahun miladiyyah pula melangkah ke angka 2012. Makin ekspress masa berjalan, agak-agak bila aku bakal bertemu Rabb? (W.A). Yang penting terus berusaha meningkatkan amalan diri, berusaha menggapai redha rabb.

Menyelak tirai kehidupan memang terpaksa melihat pelbagai cabaran yang terpapar. Sudah berapa angka yang kecundang dan tidak kurang pula melihat dunia dengan wajah suram, kelam dan serba berjerebu. Hidup tidak bermaya dan penuh sedih seakan tidak ada harapan lagi, kecewa dan tertekan.

Seorang sahabat pernah meluahkan rasa berkaitan dengan dirinya yang tidak mampu dalam menghadapi sesuatu masalah. Iye, Anis juga tidak terlepas dari menghadapi situasi begitu. Selalu juga Anis bercakap dengan diri sendiri. Mungkin ada yang selalu juga menggunakan kaedah ini dalam memberi semangat pada diri. Tidak kurang juga yang memandangkan “pelik” dengan tingkahlaku ini.

Bagi diri Anis sendiri, kaedah ini adalah sangat berkesan. Terkadang kita terlupa bahawa diri sendiri boleh membawa kesan yang positif dalam diri sendiri itu (terbelit ayat).

Ketika zaman sekolah menengah, hampir setiap hari diserang sakit kepala (migraine), ditambah dengan keadaan terhimpit-himpit di dalam bas Bandar, dari Bandar Kota Bharu, hendak pulang ke rumah.  Berdiri di muka pintu bas memang perkara biasa. Cuaca yang hampir setiap hari panas menyengat, keadaan yang sesak dan kepenatan dari melaksanakan tugasan sehingga hari petang memang sangat-sangat menjadi faktor kesihatan yang tidak baik. Dan bilamana begitu, kadangkala sangat tidak tahan, balik-balik, terus menangis di dalam bilik air. Hampir setiap kali memang begitu lantaran tidak tahan.

Begitu juga, tatkala sedang menjalani peperiksaan, sakit yang datang tanpa diundang memang sangat memeritkan sehingga hendak memegang pensel pun terketar-ketar.

Di situasi yang lain, tatkala datang ketika hari-hari family bergembira seperti sedang bercuti, sedang dalam program ilmu, malah hari-hari biasa dan lain-lain situasi memang menyebabkan motivasi diri lemah. Apa yang pasti bercakap dengan diri adalah cara yang paling berkesan.

Perasaan negative seperti merasakan diri selalu menyusahkan orang lain, menyebabkan aktiviti orang terbantut, terasa seperti orang sekeliling kadang-kadang tidak percaya bahawa diri tidak sihat dan tidak mampu membuat aktiviti dan lain-lain perasaan memang menitiskan air mata.

Entah, sejak bila, perasaan suka bercakap dengan diri, berjaya memotivasikan diri. Masakan Allah menjadikan sakit semata-mata mahu diri ini menyusahkan orang lain. Pasti banyak hikmahnya. Dan yang pasti, diri ini sangat kuat menghadapinya sampai satu saat memang mampu menyembunyikannya.

Saat peperiksaan menjelma juga, Anis sangat suka memotivasikan diri dengan memberi kata-kata semangat.

Anis! kamu boleh!”.

Jujur, Anis bukanlah seorang yang boleh berjaya dengan anugerah kebijaksanaan. Mudah memahami sesuatu dengan mudah. Semuanya perlukan usaha. Sering, satu-satu muka surat di baca berulang kali dan sering juga terlupa jika kurang membuat catatan dan sekadar membaca.

MANUSIA DAN CARA BERCAKAP DENGAN DIRI

Macam-macam telatah manusia. Ada yang menggenggam kedua-dua belah tangan kemudian matanya terpejam, kadang-kala dia bertepuk tangan dan menggenggam tangannya dengan bersemangat.  Mendengar samar-samar kata-kata yang diucapkan.  Rupanya dia bercakap dengan dirinya sendiri.  Dia berkata-kata seperti memberi semangat kepada dirinya untuk melaksanakan sesuatu.  Kemudian dia bertepuk tangan seolah-olah bergembira dan memejamkan mata; mungkin membayangkan kejayaan yang dikatakan tadi.

Mengikut ilmu sains kuasa minda, aktiviti ini adalah satu perkara yang dilakukan untuk menaikkan semangat dan menguatkan mental.  Dengan kata-kata semangat yang diberikan kepada diri sendiri, kita telah membentuk satu getaran perasaan yang sangat hebat.  Keadaan ini menghasilkan rasa dalam diri bahawa kita mampu untuk melakukannya.

Perbuatan bertepuk tangan juga akan menghasilkan getaran itu.  Apabila bertepuk tangan, memberi isyarat tentang kejayaan.  Maka selepas berkata-kata dengan diri sendiri dan bertepuk tangan, kita telah membentuk rasa berjaya.

Memejamkan mata boleh dikaitkan dengan aktiviti visualisasi.  Visualisasi atau gambaran mental adalah aktiviti otak yang dilakukan untuk menghasilkan gambaran kejayaan yang diinginkan.  Otak akan menghasilkan imej dan gambaran visual seperti berjaya menghasilkan sesuatu ujian.

Selalu kita perhatikan banyak orang bercakap seorang diri. Sebenarnya ini fenomena yang sihat atau seseorang itu mengalami penyakit jiwa yang kronik??  (waaa sudah tentu tak… :P) Adakah sama bercakap seorang diri dengan bercakap atau berkomunikasi dengan diri sendiri? hmmmm

Dalam konteks ini, diri yang dimaksudkan ialah hati (bahasa biasanya) atau qalbun. Berkaitan dengan hati ini, Rasullullah saw bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Apabila baik daging tersebut, maka baiklah seluruh anggotanya. Maka sekiranya buruk daging tersebut, maka buruklah seluruh anggotanya. Ketahuilah bahawa itulah HATI” (HR, Bukhari dan Muslim).

Secara fitrahnya, hati juga merupakan tempat ilham daripada malaikat dan tempat was-was daripada syaitan. Oleh itu, hati menjadi medan pertempuran antara akal dan hawa nafsu. Akal menyeru ke arah kebaikan, sebaliknya nafsu menyeru ke arah kejahatan yang dikenali sebagai penyakit hati. Penyakit hati yang paling ringan ialah keras hati, degil, tidak mahu menerima pengajaran dan kebenaran yang akhirnya membawa kepada kekufuran, nauzubillah.

Selain hati, manusia sebagai insan yang lebih mulia daripada makhluk lain juga dibekalkan dengan minda dan akal fikiran. Di manakah letaknya minda dan akal fikiran? Adakah terletak di otak atau di hati rohani tadi? Ada yang mengatakan minda terletak di otak dan ada yang mengatakan minda dikawal di hati (qalbun). Minda mempunyai tenaga tersembunyi yang membolehkannya berfungsi dengan baik. Sebagai benda hidup, ia memerlukan makanan yang seimbang dan senaman untuk terus sihat dan terhindar daripada penyakit. Makanan minda ialah ilmu yang bermanfaat dan senaman untuk minda ialah memikirkan sesuatu masalah dengan teliti untuk mendapatkan penyelesaian yang baik.

KUASA AJAIB MINDA
Kuasa minda ialah tenaga yang terdapat dalam diri manusia sejak lahir. Semua bangsa di dunia sejak zaman dulu mengiktiraf kehadiran kuasa minda ini. Masyarakat India mengenalinya sebagai Prana, orang China menyebut Chi, orang Jepun menyebut Ki dan bagi masyarakat di Nusantara menyebutnya sebagai tenaga dalaman.

Kita perlu melatih menguasai minda dan membuat saranan kepada minda bawah sedar bagi memprogramkan setiap saranan positif ke dalam diri kita. Selain itu juga, kita perlu melatih menguasai pernafasan bagi membentuk tenaga dalam yang sedia ada di dalam diri kita. Gabungan antara minda dan pernafasan yang teratur akan menghasilkan suatu kekuatan tenaga yang sungguh hebat pada diri seseorang. Apa gunanya kalau ada kekuatan tenaga yang hebat kalau disalurkan kepada perkara-perkara yang negatif? Oleh tu, minda yang positif sangat penting dalam kehidupan kita untuk menjadi seorang yang cemerlang.

BAGAIMANA CARA NAK MELATIH MINDA YANG POSITIF?
Ni semua dari pembacaan Anis dari beberapa web, sekadar perkongsian, sama ada benar atau tidak, wallahu a’lam.

Ada beberapa petua yang disarankan oleh para ilmuan dalam bidang psikologi, antaranya ialah dengan menjangkakan kejayaan kerana selalunya jangkaan menjadi kenyataan. Jangan buang masa menjangkakan kegagalan. Kalau kita menjangkakan kejayaan, minda kita akan terfokus untuk mencapai kejayaan itu dan secara tak langsung fikiran kita akan jadi positif.

Untuk menjadi seorang yang berjaya dan cemerlang, mesti gambarkan diri sebagai seorang yang telah Berjaya dan bercakap dengan diri (hati kecil) dengan ucapan yang positif, bukan dengan kata-kata negatif, walaupun maknanya sama…. contosnya…
- Mulai hari ini aku seorang yang rajin belajar.
- Mulai sekarang aku solat 5 waktu.
- Mulai hari ini aku bersenam.

Contoh kata-kata negatif yang secara tak langsung anda terfokus kepada perkara yg negatif:
- Mulai hari ini aku seorang yang tidak malas lagi.
- Mulai sekarang aku tak mahu tinggal solat lagi.
- Mulai hari ini aku tak mahu tinggalkan senaman.

Di sinilah peranan bercakap dengan diri sendiri untuk melatih diri kita ke arah yang lebih positif, bukannya yang negatif.  Moga-moga bercakap seorang diri tidak disalah tafsir sebagai tuttt . Jom! bagi motivasi pada diri!!...  Anis selalu praktis dan sangat berkesan!

Nota 1   :  artikel ni di tulis beberapa hari, buka tutup, buka tutup terfikir adakah patut dipublish… moga-moga ada manfaatnya… -Mulai hari ini aku harus sentiasa belajar mencintai Allah dan Rasul-NYA!
Nota 2   : Untuk sahabat Anis tersayang, M403 .. Insya ALLAH kamu boleh! selamat belajar memotivasikan diri


Memulakan semester baru,
M 302,
11 Januari 2012,
10.48 p.m.