Tuesday, January 17, 2012

Patut ke berdoa untuk sembuh?

Bismillahirrahmanirrahim...

Bila beberapa sahabat mendoakan untuk semoga makin sihat dan terus sembuh.. terdiam dan berfikir sekejap.. Allah….berat rasa untuk mengaminkan. Hanya mampu menutur berat.

“Amin…Insya ALLAH jika itu yang terbaik…”.

Beberapa ketika teringat ketika sesi tutorial pada tahun lepas. Ustaz Suhaimi a.k.a abi kelas Pai Semester 5, pernah menceritakan kisah Uwais Al-Qarni.

Satu persatu kalimah yang keluar dari bibir sang murabbi, didengar dan diamati. Setelah habis sesi tutorial, malam itu juga Anis mencari kisah Uwais di laman sesawang. Anis membaca kisah ni berkali-kali. Dan saat Ustaz Suhaimi menceritakan kisah ni, tanpa disedari, air mata mengalir… Allah… sangat-sangat menyentuh hati. Mengapakah Si Anis menangis? Ikuti kisah Uwais di bawah ini, (walaupun anda dah baca kisah ni berulang kali, sangat tak bosan membacanya lagi…percayalah).

Secara umumnya, Uwais asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

“Satu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji.

Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang diatasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur maka ibunya mendesak dan berkata kepada anaknya “Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji”.

Uwais mendapat suatu ilham, dia terfikir apa nak dibuat. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan dah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (Dia buat rumah untuk lembu itu di atas bukit).

Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan.

Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dia ini gila. Memang pelik, buatkan rumah untuk lembu diatas bukit, kemudian setiap hari usung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Tetapi sebenarnya niatnya baik. Kalau lembu kita buat begitu pagi sekali petang sekali daripada lembu yang beratnya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot (muscle) tangan dan badan Uwais menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit.

Selepas lapan bulan dia buat demikian telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Dibelakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke rumah dia di Yaman, Ibu dia berkata kepada dia “ Uwais, apa yang kamu berdoa sepanjang kamu berada di Mekah?”.
Uwais menjawab “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
 Ibunya bertanya lagi “Bagaimana pula dengan dosa kamu”.
Uwais menjawab “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga”.

Ibunya berkata lagi “Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini”. Uwais kata “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah ta’ala”. Ibunya menanbah “Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa”.

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibu dia minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa “Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit”

Allah swt. sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling ditengkuknya.

Selepas tidak lama Uwais berdoa yang demikian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya disisi Allah. Doa dia cukup makbul hatta penyakit sopak pun boleh sembuh.

Hati ini sangat terkesan dengan pengorbanan seorang anak dan keredhaan dan kesyukuran yang tinggi seorang hamba sehingga terbit dari bibirnya:
Saya keberatan untuk berdoa (agar disembuhkan penyakir sopak) kerana ini Allah yang jadikan. KALAU TIDAK REDHA DENGAN KEJADIAN ALLAH, MACAM SAYA TIDAK BERSYUKUR DENGAN ALLAH TA’ALA”.
Itu pun kerana TERPAKSA!

Hampir terkeluar dari lidah tidak bertulang ini untuk menjawab pada sahabat… jika Allah sembuhkan, pasti sangat-sangat rindu. Takkan tidak mahu ALLAH sayang lebih.

Teringat kata-kata seorang sahabat yang diuji dengan masalah jerawat dimukanya.
Kalau jerawat ni dah tak ada tentu nanti saya rindu..”

Anis hampir tergelak besar, tapi andai diselami, dalam maksudnya, boleh jadi dia sebenarnya bersyukur dan redha dengan kejadian dirinya. Dia ikhlas!

Bersyukur jugak dengan keadaan diri ini seadanya bila menemani susuk tubuh seorang sahabat yang diserang sakit SETIAP HARI dan tersenyum lebar dengan menyebut nama Allah tatkala tersedar…

Aku? jauh sekali jika dibandingkan dengan Uwais, sahabatku itu. Tapi aku nak jadi seperti itu….
Nota      1 : KALAU TIDAK REDHA DENGAN KEJADIAN ALLAH, MACAM SAYA TIDAK BERSYUKUR DENGAN ALLAH TA’ALA”….
Nota 2   : Jika selalu tidak sihat dan sakit, banyakkan sedekah                   .. "Ubatilah orang yang sakit di antara kalian dengan sedekah". (HR. Abu Dawud, dihasankan oleh al-Albani dalam Shahihul Jami).

Fi M302,
17 Januari 2012M,
23 Safar 1433H,
7.00 P.M

6 comments:

Bulan Syurga Firdausi said...

panjang sy x sempat bace hbs lg insyaAllah ade kelapangan sy hbs kn bace ye :)

nuRRul syafi_iZZan said...

amiin3..
hakikat penciptaanku hanyalah seorg hamba..

Anis said...

---> bulan syurga firdaus
ye ke, maaflah masih dlm proses bljr utk memendekkkan entry, terasa syg, setiap patah adalah ilmu, setiap ilmu adalah anugerah

Anis said...

-----> ye....hakikatnya.. belajar menjadi hamba y bersyukur, krg meminta pd y xperlu..

sharil razali said...

salam admin nak tau muzik dalam ni tajuk dia ap yer..?

sharil razali said...

Assalamualkum siapa tahu tajuk penuh muzik dalam..ini please..:)