Monday, April 30, 2012

A atau B?




Bismillahirrahmanirrahim….

Kesyukuran hanya tertutur buat sang pencipta diriku. Semoga Allah sentiasa menetapkan diri ini agar doaku tidak terputus untuk abah tersayang agar segera sembuh. Badan mahu sahaja melayang untuk pulang namun, Allah yang menentukan. Doa juga dipanjatkan buat beberapa sahabat tersayang yang terlantar sakit. Sakit yang “dikirimkan” oleh sang manusia yang berhati pelbagai itu dengan cara yang dibenci oleh Allah.  Mesej diterima, berita bukan hanya di sini, namun di sana-sana dan di mana-mana sahaja berita yang sampai melayukan hati. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan kita, juga semoga kesembuhan datang seiring dengan terhapusnya dosa-dosa sahabat serta diangkat martabat di sisi Allah. Sabar dengan secantik-secantik kesabaran. Lidah mudah menutur kata, tapi yang merasa hanya tersenyum mendengar. Dua keadaan yang berbeza, yang kuat menerima takdir Allah dengan redha dan ikhlas, tidak kurang yang mempersoalkan. Allah… sangat menggetarkan jiwa tatkala jiwa yang dibolak-balikkan dengan pelbagai suasana. Hanya Allah tempat memohon agar ditetapkan hati untuk diri ini dan semua manusia yang masih hidup atau yang telah meninggalkan dunia yang fana’.

Sekadar melepaskan perasaan yang ingin menulis sesuatu. Sukar untuk terus berada dalam sesuatu keadaan. Boleh tak saya ingin terus jadi insan yang baik? Itu adalah satu persoalan yang sering datang dalam benak fikiran saya, dari dahulu hingga sekarang. Apa yang terfikir, dalam sehari ada-ada sahaja perkara yang dikesali. Allah…kenapa aku melakukan hal yang demikian itu. Pernah terfikir untuk kembali ke masa yang lepas dan memperbaiki apa yang telah dilakukan. Tapi segera beristighfar, bimbang berkalau-kalau itu datangnya daripada syaitan. Berfikir kembali, masakan Allah sengaja membiarkan perlakuan yang “tersilap” tadi tanpa punya sesuatu yang ingin dijentik dan disentap buat hati yang sentiasa leka ini. Allah itu maha baik kan buat kita. Cuma kita yang menzalimi diri sendiri. Tuhan, tolong…tetapkan hati ini di atas jalan kebaikan.

Entah berapa angka manusia yang pernah bertemu mata dengan diri ini. Andai setiap satu terlekat satu kesalahan, berapa angka keampunan yang pernah diucapkan oleh bibir ini. Itu baru, jika satu kesalahan, jika berganda-ganda kesalahan dengan seorang insan didarabkan dengan jumlah insan-insan yang pernah kita jumpa? Teringat sebuah hadith yang menceritakan cukuplah dengan kita meminta keampunan buat kaum muslimin dan muslimat sebelum tidur  dan mereka pasti akan redha dengan kita. Mudah-mudahan insan-insan yang tidak mungkin berjumpa dengan diri ini bakal menghadiahkan kemaafan buat diri ini, andai yang silap itu berlaku tatkala diri ini masih terlalu jahil, sombong dengan manusia, angkuh, dan sikap-sikap yang memuakkan insan-insan lain. Tatkala diri itu menyebabkan ada hati insan yang tidak redha denganku, ada perasaan yang terasa terzalimi oleh sikap diriku, semoga dengan doa yang dipanjatkan, keampunan buat muslimin dan muslimat itu menjadikan mereka redha terhadapku. Allahumma Ameen.

Anis, semua orang hari-hari berfikir sama seperti awak….”

Seorang sahabat mencelah.

Ada masa, saya begitu bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri, ada masa, pasti ada khilaf yang tetap tidak terlepas. Ada masa terus menerus menjadi insan yang biasa-biasa yang merasakan tiada ruang untuk berubah. Ada masa tersedar balik. Itulah manusia, sentiasa berbolak balik. Yang penting pintalah kepadanya, agar ditetapkan hati….”

Dalam hati, ada satu cita-cita tersemat, sebelum Allah menjemputku, biarlah manusia redha denganku jua, bukan hanya Allah, biarlah aku sempat berubah dan mengubah. Biarlah aku tetap istiqamah… Ada satu hal yang aku ingin terus luncurkan dari lidah…

"Sesiapa yang terluka kerana kedhaifanku Ya Allah, Engkau ubatilah luka mereka. Aku tidak mampu mengubatinya,aku tahu aku hanya mampu memohon secebis kemaafan dengan sekeping hati yang penuh kekotoran ini, lalu aku berserah kepada-Mu Ya Allah.”

Diri ini terus mengulang-ulang, kerna satu hal yang tidak dapat aku nafikan. AKU SELALU, SERING, …TERLALU SERING membuat salah. Maafkan aku, mudah-mudah Allah redha, manusia juga redha, biarlah tulisan ini menjadi saksi, aku punya satu cita-cita yang terkadang tertunai dan terkadang tergadai dek kerana sikap diri yang tidak kuat. Hari ini A adalah diriku, esok mungkin aku menjadi B. Dan aku… terus menerus malu dengan diri sendiri.. malu dengan Allah…malu dengan manusia… bantu aku ya rabb…. aku ingin sangat rasa kemanisan dalam kebaikan dalam keadaan yang istiqamah.

Sekadar menulis,
Ingin dan berharap menjadi nyata.
M403,
1 Mei 2012.
12.22 a.m ,

Sunday, April 29, 2012

Jauh yang Dekat





Bismillahirrahmanirrahim…

Jauh yang dekat,
Dekat yang jauh

Dua yang berbeza,

Dekat bukan bermakna
benar-benar dekat,

Jauh tidak bererti
benar-benar jauh.

Terikat utuh,
terpatri yakin
jauhnya aku,
tapi dekat…
Dekat dengan doa
hamparan harapan ku sandarkan....
hanya pada Tuhan.

::Fallahu Khairan Hafiza, wahuwa arhamurrahimin…

Allah….. permudahkan insan ini di dunia, juga urusannya di akhirat.


Fikiran melayang, terbangkan aku ke sana.....

اشف.... انت الشافي، لا شفاء إلا شفاءك.....


M302,
29 April 2012.

Friday, April 27, 2012

Kisah "Apple Pie"


Bismillahirrahmanirrahim..

Jom main masak-masak lagi! Kali ni sempat rakam gambar, jadi bolehlah share, kebiasaannya bila dah didapur, memang tak sempat nak pegang kamera. Ni yang sempat di hasilkan time cuti yang lepas, baru sempat publish. Resepi asal rujuk buku masakan student UiTM, kebanyakan resepi mudah untuk dihasilkan. Papepun jom makan! Rasanya sangat best! Sebijik seperti Pie Apple Mc’d.  

 



BAHAN-BAHAN INTI :-)
3 biji epal hijau, kupas buang empulur, didadu sederhana
1/2 cawan kismis
3/4 camca teh serbuk kayu manis
4 camca besar gula perang @ soft brown sugar
1/4 camca teh garam
2 camca besar penuh mentega
1 1/2 camca besar teping jagung

BAHAN PASTRI :-)
300 gram tepung halus (tepung gandum pun ok)
115 gram mentega sejuk, didadu kecil
60 gram lemak sayur @ shortening, didadu
1/2 camca besar gula aising
1/3 camca teh garam halus
3 - 4 camca besar air dari peti sejuk

BAHAN LAIN :-)
1 kuning telur*
1/4 camca teh esen vanilla*
1 camca besar susu segar*(*disatukan, kacau rata)

CARA MEMBUATNYA :-)

1.            UNTUK INTI :- Panaskan mentega, goreng epal dan kismis hingga lembut. Tambah gula perang, serbuk kayu manis dan garam. Kacau rata dan masak hingga sebati dan pekat. Tambah tepung jagung, kacau rata dan masak hingga pekat dan sedikit kering. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa. Rasa dan jika ok, boleh sejukkan.
2.            UNTUK PASTRI :- Satukan tepung, gula aising dan garam, kacau rata. Masukkan mentega dan shortening, gaul ramas dengan hujung jari sehingga mendapat texture seakan2 serbuk roti. Masukkan air ais sedikit dahulu, gaul dan masuk sedikit lagi hingga bancuhan menjadi doh yang tidak melekat di mangkuk adunan dan tak payah letak air lagi. Bulat2kan doh, bungkus dengan plastik bersih dan dinginkan 20 minit.
3.            UNTUK ANYAMAN  :- Ambil doh, canai antara 2 lapisan plastik sehingga mendapat saiz lebih besar dari .Kemudian buka plastik dan terbalikkan doh tadi ke atas acuan, kemaskan. Cucuk2 permukaannya dengan garfu. Isi dengan inti, ratakan. Lebihan baki dicanai  dan dipotong panjang-panjang dan susun seperti menganyam tikar. Susun atas inti pai epal tadi. Kemaskan (yang ini boleh ikut kreativiti anda).
4.            Sapu dengan bancuhan kuning telur, berhati2 agar ia tidak meleleh dicelah acuan, ini akan menyukarkan ianya tanggal bila masak nanti, dan kemungkinan pastri akan pecah. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 30 - 35 minit atau hingga kuning keemasan. Sejukkan sebelum dipotong....





Sangat seronok, jika makan ketika masih panas :P
Selamat mencuba!

>>> Fi Baiti Sakinah.
Dengan bimbingan Chef berpengalaman lebih 20 tahun, Chef Yati ^_~
p/s: anyaman “tikar” masih sangat perlu diperbaiki… sob3



Tentang Sayang



Bismillahirrahmanirrahim..

Terasa titik riang di hati lantaran saat ini sempat menganyam kata-kata setelah lama hanya menyimpan untuk tatapan hati. Meninggalkan bumi Darul Makmur untuk tiga hari, tanpa disangka menyingkap pelbagai hikmah. Allah…sahabat-sahabat menuntut ilmu dengan ujian ketiadaan air berhari-hari. Namun, Allah tidak pilih diri ini untuk merasai ujian yang sedemikian rupa. Alhamdulillah, saat menjejakkan kaki kembali ke bumi Darul Makmur ini, rezki air sudah pun mengalir.

Kali ini, Anis ingin berkongsi tentang yang berbeza.

KISAH  1
Masih ingat rutin harian di rumah, memotong dan membersihkan ayam sebelum memasak. Kemudian ada dua bahagian yang pasti diasingkan iaitu hati dan kaki ayam. Itu pesan mak. Kata mak, ini untuk seorang teman ditempat kerjanya yang memang suka makan hati dan kaki ayam. Pada mulanya kurang hairan dengan situasi itu. Namun, hati ini cukup tersentuh apabila dikhabarkan kisah hidup teman mak itu.

Dia seorang isteri yang tersangat sabar pada penelitian mak, walaupun ada yang menganggap tindakannya kurang bijak, namun dia lebih memilih untuk sabar berbanding dengan menggadaikan rumah tangganya dengan sebuah perceraian. Dia punya seorang suami yang tidak mengasihinya. Dipenjarakan kerana lari ke seberang untuk berkahwin lain. Namun, dek kasih seorang isteri, dia yang sendiri yang dihimpit kesempitan hidup tetap mengumpul dan meminjam wang dari teman-teman untuk membebaskan suami tercinta.

Namun, sekembalinya dari penjara, bukan ucapan terima kasih yang menjadi hadiah buat sang isteri yang berjiwa setia, namun pukulan dan hentakan menjadi tanda “cinta”. Apabila ditanya berkaitan dirinya, dikhabarkan dirinya jatuh. Dia masih enggan membuka keaiban suami tercinta. Dia masih utuh bersabar. Malahan, mak mengetahui hal sebenar, apabila anaknya tidak tahan membuka cerita di dada.

Along, tak baik cerita keburukan ayah kepada orang lain. Buruk macam mana pun, dia tetap ayah along kan… mak tak suka along bercerita kepada orang lain.”

Dia masih segar menasihati anak tercinta. Hutang kereta dan lain-lain masih mengelilingi pinggang lantaran suami malas bekerja. Allah… bagaimana dia mempunyai kekuatan untuk terus bersabar dan tidak mahu bercerai? Mengapa dia memilih untuk tidak membuka keaiban suaminya? Dan pelbagai persoalan hanya dia yang tahu.

Berbeza dia dengan ramai orang. Kadang-kadang ramai yang menganggap tindakannya kurang bijak. Namun, masih tertulis di benak fikiran ini, mungkin ada sesuatu yang menjadikan dia memilih sabar untuk terus berhadapan dengan ujian.Namun, apa yang Anis faham, dia hanya mahu anaknya tetap menyemat dalam dada..

Ayahku selamanya ayahku. Apapun yang telah dilakukannya ia tetaplah ayahku. Apa pun yang bisa ku lakukan untuknya akan aku lakukan..dan aku memohon kepada Allah, pemilik urusan hati ini, agar aku tetap mencintai ayahku..agat selalu mengingat kebaikannya walaupun sedikit agar aku selalu mencintainya dan lupakan keburukannya….”

Benar, pasti si suami pernah menumpahkan walau setitis kasih buat si anak dan isteri. Dan setitis kasih itu tidak dapat dibayar walaupun sebesar apapun usaha.

Pesan si Ibu buat si anak…
“Hargailah ayahmu walau bagaimanapun dia kerna cinta dan kasihnya pasti tidak dapat dibayar walau dengan apa cara sekalipun, seburuk manapun dia bersabarlah kerna kesabaranmu itu juga bakal membawa kebaikan buat dirimu dengan membuahnya pahala untuk bekalan dirimu kelak.”

Seni CINTA itu berbeza dan amat sukar difahami, pasti suatu ketika dahulu suaminya pernah menumpahkan cinta dan sayang hingga dia merasakan perlu menghargainya dan menjadikan kesabaran sebagai lubuk pahala dan mungkin dia punya sedikit harapan bahawa suaminya bakal berubah dengan doa yang tidak henti-henti dipanjatkan kepada Allah yang Maha baik. Wallahu a’lam.

KISAH 2

Menanti di luar Dewan Bedah, mata melilau kanan dan kiri, doktor, jururawat, pembantu doktor, pembantu jururawat, atendan kesihatan keluar dan masuk Dewan Bedah. Melihat seorang demi seorang pesakit disorong masuk dan keluar ke Dewan Bedah. Diluar, kerusi yang panjang, diatur sepanjang dinding, kelihatan keluarga pesakit menunggu dan tetap menunggu walaupun dari pagi tadi dan sekarang masa sudah menjenguk 12.30 tengahari. Walaupun mereka dengan muka yang kepenatan, keletihan, namun tiada pun yang mengeluh kebosanan menunggu ahli keluarga mereka yang terlantar dalam Dewan Bedah terbabit. Sebelah Anis, seorang ibu, dalam lingkungan 50 an, tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Si Ibu sentiasa menunggu dengan kesabaran. Begitu juga wajah-wajah ibu-ibu dan bapa-bapa muda yang mengiringi si kecil yang  kesakitan. Memujuk anak mereka dengan kesabaran dan kasih sayang.

Mungkin mereka pernah mengeluh, mungkin juga ada diantara mereka mempunyai pelbagai perasaan tatkala diuji. Namun, itulah warna kehidupan manusia. Tidak surut dari diuji.  Para doktor dan jururawat masih segar dengan senyuman, walaupun berjam-jam lamanya menghadap pesakit dalam Dewan Bedah, kerja mereka cukup murni. Insan-insan beginilah yang bisa memotivasikan keluarga dan pesakit sendiri. Berbunga hati melihat para doktor wanita yang bertudung labuh hingga menutupi dada, ada yang bertudung bulat, sejuk hati memandang. Mudah-mudahan orang yang beragama ini bisa membina dan membawa pesakit mereka memahami agama, membawa pesakit kepada Allah.

Wad 2 *****
Dua katil bersebelahan, kelihatan seorang ibu, sekejap-sekejap menyuapkan bubur ke mulut anaknya. Sekejap-sekejap menghulurkan air dengan straw. Pemuda. Ya! Seorang pemuda yang masih kuat tubuhnya, masih tampan dan segak, dalam lingkungan 20 an, namun masih setia menerima layanan daripada ibu tersayang. Berbeza dia dengan diri yang menulis. Ya! kerana Allah telah pun menarik salah satu nikmat yang pernah diberikan iaitu nikmat PENGLIHATAN. Terlibat dengan kemalangan ditempat kerjanya, kilang air batu, matanya buta akibat berlaku kebocoran gas hingga terkena matanya dan akhirnya mata yang pernah diberikan keizinan untuk melihat telah kembali ditarik pinjaman tersebut.

Bezanya, mereka itu masih lagi dengan senyuman, si ibu masih seperti biasa dan si pemuda masih seperti biasa. Kadang-kadang mengurut-ngurut matanya, sakit mungkin. Tiada titisan air mata yang mengalir dari mata mereka sepanjang hampir seharian Anis di situ. Mungkin pernah bersedih, namun apabila redha dan ikhlas hadir, ia lebih manis. Hingga akan merasakan, memang tidak punya apa-apa melainkan segalanya adalah pinjaman. Teringat kepada seorang junior di MMP dahulu, diuji Allah, terlantar. Lumpuh setelah menjalani pembedahan tulang belakang. Semua nikmat kudrat tubuh badan itu ditarik kembali. Allah… bergenang air mata. 


Ketika ini, mungkin "ia" (nikmat-nikmat ini) adalah milik pinjaman untuk kita, tapi sesaat,seminit, sebentar lagi, belum tentu. Pernah, diri ini sendiri memujuk hati.

Aku adalah milikNYA! Jadi, terpulanglah bagi Dia, bagaimana Dia ingin memperlakukan aku, seperti aku dan barangan yang aku miliki. Namun hakikatnya tetap tiada satu pun milikKu, malah aku sentiasa mengharapkan kasih dan sayangNya dengan pelbagai pinjaman daripadaNya. Kerna seni Kasih SayangNya terlalu unik, hingga sukar aku fahami. Kadang-kala  sentiasa, aku tersilap dalam mentafsir. Apa yang aku pasti, Dia tidak akan menzalimi hambaNya…”

Semoga dia diberikan kekuatan olehNya untuk menghadapi “Dunia baru”, moga Dunia Baru itu menjadi dia jauh dari dosa-dosa yang disebabkan matanya. Semoga Dia semakin dekat denganMu.

Dalam diuji, Allah membuka 1001 pintu kebaikan, menggandakan lagi kebaikan dan kebajikan buat hamba yang dirinduinya itu. Dalam ujian, jika kita lulus dan berjaya menjawab semua soalan, maka gred kita pasti semakin cemerlang . Begitu juga dalam hidup, makin tinggi martabat kita di sisinya. Jika bukan kerana itu, pasti kaffarah dosa menjadi ganjaran. Tiada satu yang tersisa. Malah, dicelah-celahnya, Allah menghadirkan pelbagai hikmah, sepasang suami isteri semakin rapat hubungan, semakin saling memahami apabila anak mereka ditakdirkan terlantar di atas katil. Seorang ibu dapat mencurahkan kasih sayang berterusan kepada si anak yang sudah dewasa itu, jika sebelum ini si anak terlalu sibuk hingga mengabaikan ibu. Hatta si anak kembali menghargai si ibu. Para pekerja di rumah sakit itu, mungkin sahaja bisa membawa pesakit kepada Allah jika sebelum itu mereka tidak pernah pun mengenal erti tikar sembahyang pun. Dah pelbagai hikmah yang tak terjangkau dek akal. Hanya insan yang melalui bisa memahaminya.

P/s: Semoga Allah mengurniakan kesembuhan, meminjamkan kesabaran, meningkatkan darjatmu di sisiNya.. T_T… I’ll love u forever…ku mohon kasih dan cintaku kepada insan ini hanya keranaMu ya ALLAH

Sekadar menulis, menjenguk jendela,
24hb April 2012 (Rabu),
Hospital Universiti Sains Malaysia.

Thursday, April 12, 2012

kilauan yang menenangkan

Bismillahirrahmanirrahim

KILAUAN BINTANG YANG KU SUKA

Maha suci Allah yang menjadikan langit terhias indah dengan butiran bintang yang indah, yang sungguh menggamit perasaan.

“Subhanallah!!! Tengok tu… tengok bintang tu, besnya malam ni nampak bintang! “

“kalau bintang macam tu, buruj apa ye? adus…. lupa sudaa….”


Antara perkara yang paling best dilakukan apabila balik surau adalah berjalan dengan memandang ke atas sambil melihat bintang-bintang! sangat comel…

Semalam, melihat langit dengan warna menakutkan sangat menggetarkan jiwa! Allah… terdetik dalam jiwa, macam mana keadaan kiamat nanti, sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran sangat menakutkan! Debar sangat-sangat! Syukur dapat rasa perasaan takut tu T_T

Teringat pula pada wajah bersih kanak-kanak ribena apabila diceritakan tentang sesuatu. Terlopong dibuatnya. Membulat biji mata hitam. Adus~ sangat comel la sayang, buat muka macam tu…  :p

Malam ini, tengah menyidai pakaian di ampaian,  hati riang gembira, melihat langit kembali terhias rapi dengan bintang-bintang. Syukur bila ALLAH kembalikan sakinah yang dihiasan langit malam…

Alhamdulillah!

Walaupun banyak yang nak dikongsi, tapi biarlah Anis menyimpan terlebih dahulu, tunggu sampai masak, baru asyik kot untuk dikongsi!


KILAUAN CITA-CITA YANG TAK PERNAH KU SANGKA

Menjadi seorang pendidik memang sangat seronok, dan rasa malu dengan ALLAH…. kenapa ye? nanti insyaALLAH Anis ceritakan.

“nape ayat anis macam seronok sangat je praktikum?”

“kak!.....bla..bla…bla..bla….”

“Kak dengar Anis citer, Kak pon rasa seronok! beruntung kita jadi cikgu!”

Alhamdulillah, walaupun ini bukan apa yang Anis nak kejar, tapi ini apa yang Mak Abah nak Anis kejar, Allah pun berkehendakkan ini.  Sekejap sahaja sebulan yang menjenguk ini, belum puas meneguk ilmu menjadi seorang bakal guru. Walaupun penyeliaan terakhir dibatalkan tiba-tiba dalam 15 minit sebelum P&P.. huhu semua bahan dah sedia, LCD dah terpasang, tapi tiada apa yang perlu disedihkan. Ada hikmah tu!

Penyeliaan pertama…
Abah, Alhamdulillah dah selesai observe, tapi acik dapat sederhana je, tapi boleh usaha lagi kan?.. InsyaALLAH boleh diperbaiki…”

Abah menjawab dengan kata-kata yang membuatkan air mata ni laju mengalir…
“syukur..kami sentiasa doakan kejayaan anak-anak…amin…kuatkan semangat…iman dan sabar, selamat maju jaya dalam cita-citamu..amin”..

Ye,kuatkan semangat! IMAN dan SABAR… sangat mendalam…

Hari ni tiba-tiba observe batal, huhu, sebab lecturer ada hal, dia sempat observe kawan acik sorang je dulu…insya ALLAH esok ada lagi …”

“tak pa la…sabar menanti hari esok, kami sentiasa doakan, hanya ALLAH yang menentukan…”

InsyaALLAH abah, sabar menanti…banyak perkara yang dinasihatkan untuk sabar… insyaALLAH akan berusaha sabar dalam perkara tersebut… -_-“

kilauan cita-cita yang tak pernah ku damba benar-benar mengubat jiwa!

InsyaALLAH semoga kerjaya yang dibina mampu menjadi amal jariah bekal ke sana!

kalau kat manusia, biasa kita akan cakap apa bila kita terima hadiah?”  teringat dalam kelas tahun 1, bercerita bab solat…

Ustazah2!! kita kena ucap terima kasih kat diaaaaaaa.”  Kecoh sangat

tapi kalau kat ALLAH,dia bagi macam-macam nikmat, tangan, mata, kaki,hidung dan macam-macam lagi! semuanya percuuuu?????

“maaaaaaaaa.”  Laju menyambung ayat yang tak lengkap :p

“jadi, agak-agak apa yang perlu kita buat?”

“kita kena cakap, terima kasih ALLAH!!!!!”   tersenyum mendengar mereka mengulang dua tiga kali kalimah terima kasih ALLAH, terima kasih ALLAH!

Ya, ustazah pon nak cakap jugak…
Terima kasih ya ALLAH di atas kilauan bintang yang menenangkan jiwa pada malam yang penuh perasaan ini, terima kasih ya ALLAH di atas kilauan cita-cita yang menarik jiwaku, moga bisa menjadi amalku menuju ke syurga! InsyaALLAH, nak genggam erat-erat nasihat abah, ACIK! kuatkan semangat! IMAN dan SABAR.

Jom , nak sambung  tengok bintang lagi…sambil memuji ALLAH…subhanallah
rembulan, cahayanya menawan,
menerangi kegelapan malam,
bebintang sinar berkelipan,
menghiasi cahya rembulan.
Bulan dan bintang menjadi saksi,
kebesaran Ilahi.



M302,
12 April 2012,
10.32 malam.


Thursday, April 5, 2012

menatap wajah abyana












Bismillahirrahmanirrahim..

Life start from nothing to something, then becoming someone and finally to be NO ONE because the only one is ALLAH S.W.T... 

Catatan Kecil Praktikum

Bismillahirrahmanirrahim...





Didikan Solat buat si Kecil .. semoga jadi hamba yang soleh dan solehah ye sayangku ...





Sangat indah tatkala butir-butir ilmu dapat dikongsi rasa dengan insan-insan yang berjiwa suci.Ya! Jauh lebih suci daripada jiwaku walaupun mereka agak sering menguji kesebaranku, namun jauh disudut hati ini, diri ini malu dan terasa sangat jauh di sisi Rabb berbanding susuk kecil yang jauh lebih murni di sisi Rabb itu..

Hakikatnya, walaupun mereka sangat kecil, namun jiwa mereka sangat istimewa, punya rasa takut apabila berbicara soal Allah dan hari akhirat. Di hati mereka punya rasa bimbang apabila dikhabarkan bagaimana keadaan manusia di sana nanti. Ternyata jiwa yang bersih itu lebih mudah disentuh berbanding jiwa yang telah lama berkarat. –SK Tempoyang, Kuala Lipis