Monday, April 30, 2012

A atau B?




Bismillahirrahmanirrahim….

Kesyukuran hanya tertutur buat sang pencipta diriku. Semoga Allah sentiasa menetapkan diri ini agar doaku tidak terputus untuk abah tersayang agar segera sembuh. Badan mahu sahaja melayang untuk pulang namun, Allah yang menentukan. Doa juga dipanjatkan buat beberapa sahabat tersayang yang terlantar sakit. Sakit yang “dikirimkan” oleh sang manusia yang berhati pelbagai itu dengan cara yang dibenci oleh Allah.  Mesej diterima, berita bukan hanya di sini, namun di sana-sana dan di mana-mana sahaja berita yang sampai melayukan hati. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan kita, juga semoga kesembuhan datang seiring dengan terhapusnya dosa-dosa sahabat serta diangkat martabat di sisi Allah. Sabar dengan secantik-secantik kesabaran. Lidah mudah menutur kata, tapi yang merasa hanya tersenyum mendengar. Dua keadaan yang berbeza, yang kuat menerima takdir Allah dengan redha dan ikhlas, tidak kurang yang mempersoalkan. Allah… sangat menggetarkan jiwa tatkala jiwa yang dibolak-balikkan dengan pelbagai suasana. Hanya Allah tempat memohon agar ditetapkan hati untuk diri ini dan semua manusia yang masih hidup atau yang telah meninggalkan dunia yang fana’.

Sekadar melepaskan perasaan yang ingin menulis sesuatu. Sukar untuk terus berada dalam sesuatu keadaan. Boleh tak saya ingin terus jadi insan yang baik? Itu adalah satu persoalan yang sering datang dalam benak fikiran saya, dari dahulu hingga sekarang. Apa yang terfikir, dalam sehari ada-ada sahaja perkara yang dikesali. Allah…kenapa aku melakukan hal yang demikian itu. Pernah terfikir untuk kembali ke masa yang lepas dan memperbaiki apa yang telah dilakukan. Tapi segera beristighfar, bimbang berkalau-kalau itu datangnya daripada syaitan. Berfikir kembali, masakan Allah sengaja membiarkan perlakuan yang “tersilap” tadi tanpa punya sesuatu yang ingin dijentik dan disentap buat hati yang sentiasa leka ini. Allah itu maha baik kan buat kita. Cuma kita yang menzalimi diri sendiri. Tuhan, tolong…tetapkan hati ini di atas jalan kebaikan.

Entah berapa angka manusia yang pernah bertemu mata dengan diri ini. Andai setiap satu terlekat satu kesalahan, berapa angka keampunan yang pernah diucapkan oleh bibir ini. Itu baru, jika satu kesalahan, jika berganda-ganda kesalahan dengan seorang insan didarabkan dengan jumlah insan-insan yang pernah kita jumpa? Teringat sebuah hadith yang menceritakan cukuplah dengan kita meminta keampunan buat kaum muslimin dan muslimat sebelum tidur  dan mereka pasti akan redha dengan kita. Mudah-mudahan insan-insan yang tidak mungkin berjumpa dengan diri ini bakal menghadiahkan kemaafan buat diri ini, andai yang silap itu berlaku tatkala diri ini masih terlalu jahil, sombong dengan manusia, angkuh, dan sikap-sikap yang memuakkan insan-insan lain. Tatkala diri itu menyebabkan ada hati insan yang tidak redha denganku, ada perasaan yang terasa terzalimi oleh sikap diriku, semoga dengan doa yang dipanjatkan, keampunan buat muslimin dan muslimat itu menjadikan mereka redha terhadapku. Allahumma Ameen.

Anis, semua orang hari-hari berfikir sama seperti awak….”

Seorang sahabat mencelah.

Ada masa, saya begitu bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri, ada masa, pasti ada khilaf yang tetap tidak terlepas. Ada masa terus menerus menjadi insan yang biasa-biasa yang merasakan tiada ruang untuk berubah. Ada masa tersedar balik. Itulah manusia, sentiasa berbolak balik. Yang penting pintalah kepadanya, agar ditetapkan hati….”

Dalam hati, ada satu cita-cita tersemat, sebelum Allah menjemputku, biarlah manusia redha denganku jua, bukan hanya Allah, biarlah aku sempat berubah dan mengubah. Biarlah aku tetap istiqamah… Ada satu hal yang aku ingin terus luncurkan dari lidah…

"Sesiapa yang terluka kerana kedhaifanku Ya Allah, Engkau ubatilah luka mereka. Aku tidak mampu mengubatinya,aku tahu aku hanya mampu memohon secebis kemaafan dengan sekeping hati yang penuh kekotoran ini, lalu aku berserah kepada-Mu Ya Allah.”

Diri ini terus mengulang-ulang, kerna satu hal yang tidak dapat aku nafikan. AKU SELALU, SERING, …TERLALU SERING membuat salah. Maafkan aku, mudah-mudah Allah redha, manusia juga redha, biarlah tulisan ini menjadi saksi, aku punya satu cita-cita yang terkadang tertunai dan terkadang tergadai dek kerana sikap diri yang tidak kuat. Hari ini A adalah diriku, esok mungkin aku menjadi B. Dan aku… terus menerus malu dengan diri sendiri.. malu dengan Allah…malu dengan manusia… bantu aku ya rabb…. aku ingin sangat rasa kemanisan dalam kebaikan dalam keadaan yang istiqamah.

Sekadar menulis,
Ingin dan berharap menjadi nyata.
M403,
1 Mei 2012.
12.22 a.m ,

2 comments:

SyaheeDah said...

adakala Dia mmberi,
adakala juga Dia seperti tidak memberi..

tapi segala yang Dia beri..
pasti dan pasti..ada yg Dia iringkan brsama sbg hadiah buat kita.

"كل ابن آدم خطاء, وخير الخطائين التوابون"

mudah2an Allah mmberi ksmbuhan,amin.

bila 'itu' yg mnusia kirim,hati berbisik meletakkan kyakinan, ada sesuatu yg lbh indah akan Allah kirim buat mrk yg trus usaha,sbr dan redha.insyaAllah^_^

Anis said...

kesayanganku...terima kasih...