Tuesday, November 26, 2013

... contengan kata

Bismillahirrahmanirrahim
Setiap tulisan ku mulakan dengan basmallah,
agar hati dipandu oleh Allah.

Untuk dakwah yang ku cinta,
meraih kedekatan Sang Pencipta.


Aku memohon keampunan kepada ALLAH di atas segala dosa yang aku lakukan hingga kadang tidak tersampainya dakwah ini. Tatkala jariku ligat menaip, hati terus berusaha mengeluarkan apa jua yang tersisa untuk berbagi dengan manusia. Terkadang, cemburu dengan insan yang bisa menyampaikan ilmu setiap hari sama ada melalui lisan atau tulisan. ‘Ala kulli hal, tetap memanjatkan syukur, lantaran sedar ALLAH masih memberi sedikit kesempatan untuk terus menulis walau hanya sekadarnya.


            Sedar tak sedar, sudah beberapa masa tidak mengupdate blog ini. Sentiasa ada sesuatu yang ingin dikongsi. Namun, aturan Allah itu lebih indah dan mengatasi segala yang kita rasa. Masa terus berlalu, bersama introspeksi diri sebagai ‘abd (hamba) ALLAH adakah sedaya upayanya kita telah berusaha untuk menjadi yang terbaik. Selalu disibukkan dengan urusan dunia membuatkan semakin hari semakin tenggelam dalam kegawatan masa. Itulah yang sering dikeluhkan oleh sesetengah insan.



TAHUN 2013 

Menjejak angka 2013, masa agak padat dengan pelbagai perancangan kuliah dan peribadi serta untuk agama ini. Masih teragak-agak mengatur langkah. Namun terus digagah walau payah. Apa yang mustahil di mata manusia namun sebaliknya disisiNya. Praktikum 3 bulan sudah melepasi sempadan. Internship, dengan harapan muncul sebagai yang lebih baik. Azam masih dipasak. Namun, perlu dipadu dengan usaha. Terus menerus mengatur langkah hingga segalanya berjaya tanpa disangka. Satu kepuasan dengan  usaha diri yang serba kekurangan. Kajian Tindakan untuk tahun ini, memfokuskan berkaitan dengung dan bukan dengung dalam bacaan al-Quran. Maka satu formula yang sangat menarik (minat murid Anis) telah diilhamkan oleh Allah. Alhamdulillah, tiada kepuasan yang dirasai melainkan kegembiraan melihat bacaan al-Quran mereka bertambah baik dan feedback  yang sangat positif daripada mereka. Allahu, ustazah rasa nak peluk-peluk kamu semua! Terima kasih sebab memberi kerjasama kepada ustazah ye.

   

Antara bahan yang digunakan ketika kajian

AR yang telah siap dijilid



          Kajian fiqh juga tidak kurang mencabar. Benar, Allah sentiasa memberikan apa yang kita perlu. Tajuk berkaitan fiqh  kontemporari adalah takdir Allah untuk diri ini. Dengan izinNya juga, asbab kajian fiqh ini, maka dengan segala kudrat yang ada, drive laju-laju ke ibu negara dan library-library demi ilmu. (Alhamdulillah, memang rasa nak angkut library masuk bonet kereta :P ).


UJIAN ITU SENTIASA ADA

Disaat kemanisan telah menyerap masuk ke dalam kehidupan, rasa masin dan masam masih lagi terus mencari ruang. UjianNya, tatkala hanya dua hingga tiga hari (memang betul-betul 2 atau 3 hari!) Anis perlu menghantar kajian tindakan, Maha aturanNya, semua bahan kajian hilang! Ya, 100% hilang. Alhamdulillah, dengan izinNya, Dia menganugerahkan rasa setenang-tenangnya dalam diri ini. Setelah, hardisk didiagnosis oleh beberapa orang ‘doktor’ bahawa sememangnya tidak lagi dapat diselamatkan, hati terus sentap! Memang menitis air mata ini. Saat itu, sememangnya memujuk diri. Langkah diatur laju-laju. Serajin-rajinnya mengutip maklumat dari bahan-bahan hard-copy yang sebelum ini pernah telah disemak oleh Dr. Alhamdulillah, masih tersisa, dan terus meminta ihsan Dr. untuk mengambil kembali proposal kajian Anis yang lepas untuk ditaip balik. Allah maha menduga, saat kekalutan itu, satu panggilan menjengah suasana. Diberitakan, tok wan masuk ICU dan tenat dengan harapan 55%. Memang rasa sangat teruji. Namun, benarlah, ayat yang diulang baca dan dihayati, “sesiapa yang tertaqwa kepada Allah, maka Allah akan jadikan baginya jalan keluar.” Allah telah menyediakan jalan keluar yang terbaik bagi episod ini. Terima Kasih ya ALLAH!


MY ROOMATE

Tidak terungkap dek kata. Untuk Ima, sungguh banyak kelemahan dan kecacatan sepanjang kita berkongsi. Ima, terima kasih kerana menerima baik dan buruk Anis. Sememangnya ALLAH maha mengaturkan segalanya bukan? Memori saat kita bergurau senda, segala-galanya tetap indah dikenang. Sengaja tidak mahu mengungkapkan selamat tinggal, kerna yakin adanya pertemuan yang diaturkanNya. Insya ALLAH. Ima, kerana Allah, ada rasa sayang di hati ini.




Disebalik redup matamu,
tersimpan satu rahsia,
yang terbuku diruang hatimu,
disebalik senyumanmu,
tersirat simpulan,
deritanya hanya kau yang tahu.

Kau setia menanti
Kau setia mengharungi

Biarpun ribut badai melanda
Kau teguh berdiri
Walau deras angin menderu
Kau tetap di sisi

Ku doakan agar kau kan bahagia
Ku doakan agar tiada lagi derita
Moga Tuhan kan merahmati mu
Di syurga yang selayaknya.





SAHABAT, I LOVE U

Sungguh, rasa menghampiri penghujung pertemuan secara fizikal dengan sahabat-sahabat, lima tahun setengah di sini memang hampir saja tidak terasa. Sekejap saja. Asyik-asyik Anis dan sahabat-sahabat bertanya, “Eh, betul ke kita ni dah nak berpisah?” Allahu. Benar, secara adatnya dan aturan takdirnya. Namun, perancanganNya kelak, masih lagi rahsia. Terlalu singkat jika mahu diungkapkan dengan kata rasa di hati. Apa yang pasti deraian air mata selaju-lajunya mengalir. Hatta, di Jabatan bersama pensyarah, air mata kami masih mengalir laju, hingga rasa tersimpan di dada guru-guru kami, terpancar keluar. Sebakmu guru, merah wajahmu guru, ungkapan kesedihanmu guru, kami juga merasanya.

            Benar, saat demi saat terlalu pantas menyusur waktu, meninggalkan jejak-jejak semalam. Barangkali ada calitan memori yang pahit pada suatu masa dahulu namun indah tika dikenang. Yang indah lebih lagi membuahkan kerinduan. Saat perpisahan itu bertandang, wajah kan sugul penuh kepayahan. Lafaz kan tenat kepayahan. Sesungguhnya teman, diri ini mencintaimu, mengasihi dirimu seadanya. Air mata kita ini, air mata perpisahan ini. sejernih embun di dedaun, bak mutiar berkilauan, menyingkap rahsia keikhlasan yang terpendam. Setiap bait-bait doa yang sahabat-sahabat lafazkan, moga menjadi kenyataan. 






Aku inginkan persahabatan indah ini, bisa mjadi syafaat,di Mahkamah Mahsyar nanti, ketika semua umat manusia gusar mcari plindungan, Allah menyeru 7 golongan, antaranya dua pemuda, yang saling bkasih sayang KERANA ALLAH, begitu sabda junjungan.

SAHABATKU

Dahulu... hatiku pernah berkata:


"Tuhan... Aku belum nampak akan kebaikan di sebalik kepedihan ini dengan ilmuku yang terbatas. Tetapi aku yakin ya Allah, ilmu Mu maha luas, pasti ada kebaikan yang masih terselindung di sebalik ujian ini. Yang ketika ini tidak mampu aku fikirkan dan bayangkan..."

Alhamdulillah...alhamdulillah...hatiku mampu berkata, aku bahagia! Ku berdoa, biarlah kita bisa berpimpinan tangan... seiring sejalan ke syurga. Hanya ALLAH maha tahu betapa hati ini 





Andai ku simpul dan ku susun awan menjadi ayat-ayat  dilembaran dada langit mbiru itu... bakal sempurnakah ayatku nanti?





HADIAH DARIPADA ALLAH

Dicelah-celah kesibukan akhir tahun ini, tanpa disedari banyak karya terhasil. Kajian tindakan, kajian fiqh dan Alhamdulillah, dengan lafaz bismillah, Anis ingin memperkenalkan karya kecil Anis  bersama MUSTREAD SDN BHD, “Menjejak Cinta Allah & Rasul.” Selain itu, bersama DBP kompilasi cerpen bersama beberapa orang sahabat dan adik-adik IPG (belum lagi terbit). Alhamdulillah. Sejujurnya, sepanjang praktikum 3 bulan dan internship Anis cuba dan terus menerus memanfaatkan masa. Walaupun sangat kritikal. Alhamdulillah....



Dikesempatan ini, Anis ingin sekali melafazkan dedikasi khas untuk semua:

“Aku bersyukur kerna dikurniakan ibubapa sebaik mak dan abah, aku gembira kerna dikurniakan kakak sebaikmu, aku selalu berbangga dikurniakan abang setulus dirimu abe, aku selalu tersenyum bahagia kerana melihat telatahmu Ain, Asyraf dan adik. Aku berterima kasih kepada yang Esa kerna dipertemukan dengan guru-guru yang soleh dan solehah hingga aku semakin terasa kedekatan bersamaMu. Aku memandang kembali sekelilingku, ada sahabat yang senantiasa menerima baik dan burukku. Lalu aku bertanya dengan nikmat yang sebegini hebat, apa lagi yang harus aku dustakan.

            Di celah-celah kesibukan tahun akhir sebelum aku benar-benar bergelar guru, aku cuba merealisasikan impian yang terbuku. Tidak salah bermimpi seindah bulan, kerna ada Allah merealisasikan, asal tidak lupa usaha  diiring doa, ada semangat yang menyuntik rasa. Dengan Allah sebagai saksiku, aku menaip kata demi kata, moga karya ini menjadi bukti ketulusan cintaku, ya ALLAH, ikhlaskan hatiku. Aku dedikasikan karya ini untuk dakwah kepadaMu.

            Terima Ya Allah, terima kasih mak dan abah, terima kasih Kakak, Abe, Ain, Asyraf, Adik. Terima kasih guru-guruku, terima kasih sahabat-sahabatku dan terima kasih kepada insan yang membuka jalan dalam memaknakan ilmu yang ada.

Bohot Syukria!


Semoga karya ini dapat membangkitkan iman.
Kembalikan semangat di Terminal Musafir ini.
Sesungguhnya ada Allah dan orang-orang beriman yang selalu menemani di kala hati lelah.”

DaripadaMu kami datang, kepadaMulah kami kembali. Wassalam.
26 November 2013,
11.35 p.m.

2 comments:

Anonymous said...

rindu sama umi anis~ <3 ::kak mila :)

Anis said...

anis pun rindu kak mila... <3