Saturday, January 18, 2014

Kisah Sebenar : 4 Lelaki

Bismillahirrahmanirrahim


Selalu sahaja babak demi babak menerjah masuk ke dalam ruang sketsa kehidupan kita. Terkadang babaknya amat menyentuh emosi sehingga mampu mengalirkan aliran jernih dari hujung mata. Tidak kurang juga babak yang mampu menguntumkan senyuman yang bermakna. Apa yang terpenting cara kita memaknakan setiap babak yang muncul dalam diari seorang musafir ini. Benar, terkadang dengan akal dan ilmu yang terbatas ini, kita jarang memahami hikmah yang disampaikan olehNya.


     Benarlah,Maha Suci Allah yang tidak menjadikan pangkat sang hamba sebagai nilaian di sisiNya, Maha Suci Allah yang tidak menjadikan harta sebagai ukuran disisiNya, Maha Suci Allah yang tidak menjadikan paras rupa sebagai kayu ukur disisiNya, Maha Suci Allah kerana menjadikan KETAQWAAN sebagai nilaian untuk mendapat tempat di sisiNya, dicintai dan dikasihi serta diredhaiNya.




KISAH 1 : PENJUAL AISKRIM

Kayuhan basikal itu tidak terlalu laju. Sinar mentari yang terik pasti bahangnya cukup dirasai oleh si penjual aiskrim itu.

Kring...kring!

Bunyi loceng basikal itu pasti sangat ‘familiar’ buat sesiapa sahaja. Seperti biasa, salah seorang daripada ahli keluarga Anis akan segera berlari sambil memanggil si penjual aiskrim itu. Seorang pak cik si penjual aiskrim segera  memberhentikan basikalnya lantas mengambil pesanan daripada kami. Pak cik itu tenang sekali. Sungguh jiwa Anis tersentuh ketika itu, setiap dari perbuatannya satu demi satu diiringi dengan basmalah. Saat dia membuka penutup bekas aiskrim, saat dia mengambil ‘senduk’ untuk mencedok aiskrim, saat dia mengambil roti, saat setiap kali dia mencedok aiskrim semuanya diiringi dengan basmalah. Begitulah setiap kali Anis memerhatikan tingkah lakunya dalam berniaga. Tidak berkira, pemurah. Mungkin dari situlah adanya keberkatan. Hatta, kini dia mampu membeli motosikal bagi menggantikan basikalnya untuk mencari rezeki. Dengan basmalah yang masih basah dibibir terus menerus sambil mencari rezki dia telah berjaya membesarkan anak-anaknya dan menafkahi si isteri. 



KISAH 2 : PEKERJA HOTEL

Waktu itu kelam kabut dibuatnya. Abah sudah bising dek kelewatan. Dia tidak mahu terlewat dan mahu solat subuh di masjid dan terus ke tempat konvokesyen abang. Seperti biasa, abah merupakan insan yang paling alergik dengan traffic jam. Pada malam tadi, kami bermalam disebuah hotel bajet di Gombak. Saat kekalutan itu, dihadapan bilik ada sebuah ruang dobi dan menggosok baju berdinding kaca. Ruang dobi dan menggosok baju itu betul-betul dihadapan bilik kami. Saat itu, pasti masih ramai dihanyut mimpi namun tidak bagi seorang pemuda pekerja hotel ini. Sedang kami sedang kalut mengangkut barang-barang dari bilik ke kereta, dia masih tenang solat malamnya di sudut kecil dan sempit itu. Beberapa kali kami melalui ruang itu. Solatnya diteruskan sehingga berkemundangnya azan subuh.



KISAH 3 : PENIAGA NASI AIR

Warungnya kecil sahaja. Namun, masyaALLAH, pelanggannya terus menerus tanpa putus. Kata mak, rahsia keberkatannya ada dalam diri si peniaga itu. Saat kerjanya, dia sangat fokus dan pemurah serta tidak membiarkan kata sia-sia meluncur dari lidahnya. Kalamnya cukup dengan mengalunkan ayat-ayatNya. Begitulah si peniaga yang dekat hubungannya dengan sang kholiq. Lidahnya tidak kering daripada mengingatiNya.



KISAH 4 : PENJUAL CENDOL
Seorang pemuda terasa cukup dahaga. Ingin sekali dia membasahi kerongkongnya dengan air dek kepenatan membeli belah mencari barang keperluannya. Saat langkahnya menuju ke sebuah gerai kecil yang menjual cendol dan air kelapa, saat itu juga azan asar berkumandang dari arah masjid yang bertentangan dengan gerai tersebut. Namun, langkahnya masih lagi diteruskan dek dahaga yang masih dirasai.

“Assalamualaikum bang, nak air kelapa satu.” Ujar si pemuda.

“Maaf, dah tak jual dah. Dah azan, nak gi solat.” Si penjual cendol laju menutur kata.

“Bang, saya nak beli air satu je. Kejap je.”

Si penjual terus bertegas dengan pendiriannya. Dia terus meninggalkan gerai kecil dan pelanggannya  itu. langkahnya hanya satu, menuju rumah Allah tanpa risau hilang dunia dan rezeki dari hidupnya kerana dia yakin  Allah itu al-razzaq, Maha Memberi Rezki.



MasyaALLAH, jiwa-jiwa inilah yang wajar kita contohi. Jiwa-jiwa yang mencontohi belahan jiwa S.A.W yang senantiasa mengejar cinta Allah.  Kadang dek kerana jawatan, kerana pekerjaan, kerana usia, kerana rupa, kerana rumah kita lebih besar daripadanya, kerana kereta kita lebih mahal daripadanya, hati merasa ‘besar’ dan memandang si dia ‘kecil’ sekali. Merasa diri lebih baik dek kerana semua itu adalah satu penyakit kesombongan kepada sang khaliq. Sedang tanpa sedar iman kita sedang menipis dan bisa sahaja iman mereka pula makin menebal. Duhai diri, jangan biarkan dunia itu bermukim di daerah hatimu. Biarkan ia teristimewa untuk sang khaliq dan kekasihNya.

Kejarlah akhirat, pasti jalan di dunia ini akan dimudahkan untuk kita. Benar, maka rugilah siapa pun yang tidak pernah mempersiapkan perjumpaan dengan Tuhannya. Rugilah siapa pun yang tidak pernah tahu apa-apa tentang Tuhannya. Rugilah mereka yang tidak pernah menyedari kurniaan Allah dan nikmat daripadaNya yang tidak pernah berhenti.


Hidup ini terlalu singkat tanpa penghambaan dan pengabdian kepada Allah
              

SeJUJURnya, diri ini masih terus mencemburui insan-insan disekelilingku yang terlebih dahulu tenggelam dalam cinta kepada Allah yang Maha segalanya sedang hati ini masih lagi hanyut dalam kecintaan dunia. Moga ALLAH memegang hatiku  supaya setiap saat semakin terus mencintai dan merinduiNya dengan cara dan kehendakNya.


Fi baiti sakinah,
Ahad,
19 Januari 2013,
 12.36 a.m.


No comments: