Bismilahirrahmanirrahim
Mencari sedikit ruang untuk menulis. Bulan oktober
dan November pasti menjadi bulan-bulan yang paling sibuk dalam diari seorang
guru bukan? Dalam ruang kesibukan, apa khabar agaknya hubungan kita dengan
Tuhan. Apa khabar juga hubungan kita dengan manusia? Moga kedua-duanya dalam
jagaan yang baik. Lompong-lompong, terkoyak sana sini, ambillah masa untuk
perbaiki. Tiada yang sempurna, melainkan yang Maha Sempurna. Usaha memperbaiki
diri itulah jihad yang paling sukar dalam kehidupan seorang manusia. Kalau
sudah merasakan diri baik, berhati-hatilah, pasti ada ‘sesuatu’ yang perlu
diperbaiki dalam diri anda.
Kenapa
saya sering membicarakan topik memperbaiki diri? Kerana bagi saya inilah
perkara paling sukar dalam hidup saya. Tatkala saya menulis, tulisan ini
bukanlah untuk orang lain, melainkan untuk diri saya sendiri.
Tempoh dalam kebaikan
adalah suatu nikmat yang paling dalam, nikmat paling besar dalam hidup saya,
manakala tatkala kecundang dalam kemaksiatan adalah saat yang sangat merugikan
dan saat dalam penyesalan yang sangat mendalam. Mungkin kita amat berhajat agar
momen itu berulang kembali dan mengubahnya agar menjadi memori yang lebih baik. Namun,
percayalah Allah memberi peluang yang lebih baik untuk kita dengan bertaubat.
Berubah memang memerlukan
mujahadah yang sangat tinggi dan mendalam. Sebab itulah kita perlu ada kekuatan
dan pastikan kekuatan kita itu disebabkan yang kekal, iaitu aku berubah
keranaMu Allahku. Sekiranya kita berubah kerana manusia, perubahan itu tidak
akan kekal. Percayalah! Kerana apabila manusia itu pergi, kebaikan yang kita
pernah buat juga akan pergi perlahan-lahan meninggalkan kita. Kerana manusia
itu fana’ sedangkan Allah itu baqa’ (kekal). Kekuatan dalaman kerana Tuhan inilah
yang akan menjadi tunjang istiqamahnya kita dalam kebaikan. Tanpa kekuatan ini,
kita takkan kekal lama dalam perubahan.
1. LAZIMI
TAUBAT
Untuk berubah kita perlu
melazimi taubat dalam kehidupan harian kita. Melazami dan memperbaharui taubat
setiap hari. Apabila menyebut tentang taubat kita juga perlulah mempunyai
keazaman yang tinggi untuk meninggalkan kemaksiatan yang dilakukan. Yakinlah,
jika kita meninggalkan kemaksiatan kerana Allah, pasti Allah akan menggantikan
dengan sesuatu yang lebih baik. Jangan menangguhkan taubat, takut-takut dosa
sudah terlekat dan sebati dalam diri dan menjadi salah satu asbab kenapa sukar
untuk berubah. Seperti sebelum kita menanam tanaman yang baharu, kita perlulah
mencantas, memotong rumput-rumput dan lalang-lalang yang memenuhi tanah yang
akan kita usahakan. Setelah bersih tanah kita dari rumput-rumput dan
lalang-lalang, barulah kita mulakan usaha untuk menanam tanaman yang baharu.
Begitulah dengan diri kita, sebelum menanam kebaikan baharu dalam diri,
cantaslah dahulu lalang-lalang dosa yang lalu, agar kebaikan baharu yang ingin
ditanam, dapat tumbuh mekar tanpa penghalang.
2. MEMILIH KAWAN YANG BAIK
Memilih kawan yang baik bagi saya terlalu penting.
Kawan yang baik, dalam percakapan dan perbuatannya sentiasa ada Allah,
sehinggakan saat kita mahu menuturkan perkataan dan perbuatan yang tidak baik,
kita mempunyai rasa segan dengan kawan kita itu. Pernah ada pengalaman?
Sebab itulah sentiasa disebut, kawan yang baik akan
mengajak ke arah kebaikan, sedangkan kawan yang tidak baik akan menarik ke arah
kemaksiatan. Dalam kehidupan kita sendiri, saat kita sedang bekerja, tiba-tiba
datang kawan-kawan yang mengumpat majikan atau rakan sekerja. Sukar rasanya
untuk kita lari dari dosa besar mendengar umpatan. Tatkala kita sedang bekerja
untuk beribadah, sukar untuk kita lari dari dosa-dosa yang ada disekeliling,
melainkan dengan berusaha memilih kawan yang baik atau berusahalah menjadi
kawan yang baik itu. Di dalam al-Quran, Allah telah memberi peringatan kepada
kita untuk memilih kawan yang baik :
“Dan
ingatlah, hari di mana orang zalim menggigit kedua tangannya seraya berkata; “
Alangkah baiknya sekiranya dulu aku mengambil jalan bersama-sama rasul. Kecelakaan
yang besarlah ke atasku, sekiranya aku dahulu tidak menjadikan si fulan itu
sebagai teman akrabku. Sesungguhnya, dia telah menyesatkanku dari alquran!”
(Surah Al-furqan:27-29)
Kata Ulama’, “Taubat itu adalah penyesalan.
Penyesalan itu ialah penyesalan dengan hati, keazaman untuk meninggalkan
perkara maksiat, beristighfar dengan lidah, meninggalkan dengan jasad dan
menjauhkan diri dari teman yang jahat.”
3. DOA
Sentiasa mengamalkan doa-doa yang memohon kepada
Allah agar ditetapkan dalam kebaikan dan dijauhkan dosa. Berdoalah agar Allah
menganugerahkan cinta yang sedalam-dalamnya kepadaNya. Dengan kecintaan
mendalam, sudah tentu kita akan malu untuk berpaling dari kecintaan kita.
Ya, dunia ini memang penuh cabaran dan terlalu banyak
godaannya. Iman kita tidak selalu kuat. Hanya kepada Allah tempat kita memohon.
Doalah sungguh-sungguh. Dari lubuk hati yang paling dalam. Dengan rasa yang
mendalam, “Ya Allah pandanglah aku dengan rahmat dan kasih sayangMu, Engkaulah Maha Mengetahui siapa sesungguhnya
aku. Tiada yang kuasa merubah aku melainkan Engkau mengizinkan. UntukMu ku sanggup tempuh segala. Pimpinlah aku ke jalan bahagia selamanya."
Anis Humaira,
29.10.2017 (11.29 pagi).
Sang hamba,
Jatuh ke lembah kemaksiatan
berkali-kali,
Kemudian bangun,
untuk jatuh cinta dengan Allahku
lagi.
Moga selamat dunia akhirat.