Saturday, October 28, 2017

KEAZAMAN UNTUK BERUBAH


Bismilahirrahmanirrahim


Mencari sedikit ruang untuk menulis. Bulan oktober dan November pasti menjadi bulan-bulan yang paling sibuk dalam diari seorang guru bukan? Dalam ruang kesibukan, apa khabar agaknya hubungan kita dengan Tuhan. Apa khabar juga hubungan kita dengan manusia? Moga kedua-duanya dalam jagaan yang baik. Lompong-lompong, terkoyak sana sini, ambillah masa untuk perbaiki. Tiada yang sempurna, melainkan yang Maha Sempurna. Usaha memperbaiki diri itulah jihad yang paling sukar dalam kehidupan seorang manusia. Kalau sudah merasakan diri baik, berhati-hatilah, pasti ada ‘sesuatu’ yang perlu diperbaiki dalam diri anda. 


            Kenapa saya sering membicarakan topik memperbaiki diri? Kerana bagi saya inilah perkara paling sukar dalam hidup saya. Tatkala saya menulis, tulisan ini bukanlah untuk orang lain, melainkan untuk diri saya sendiri. 


Tempoh dalam kebaikan adalah suatu nikmat yang paling dalam, nikmat paling besar dalam hidup saya, manakala tatkala kecundang dalam kemaksiatan adalah saat yang sangat merugikan dan saat dalam penyesalan yang sangat mendalam. Mungkin kita amat berhajat agar momen itu berulang kembali dan mengubahnya agar menjadi memori yang lebih baik. Namun, percayalah Allah memberi peluang yang lebih baik untuk kita dengan bertaubat.


Berubah memang memerlukan mujahadah yang sangat tinggi dan mendalam. Sebab itulah kita perlu ada kekuatan dan pastikan kekuatan kita itu disebabkan yang kekal, iaitu aku berubah keranaMu Allahku. Sekiranya kita berubah kerana manusia, perubahan itu tidak akan kekal. Percayalah! Kerana apabila manusia itu pergi, kebaikan yang kita pernah buat juga akan pergi perlahan-lahan meninggalkan kita. Kerana manusia itu fana’ sedangkan Allah itu baqa’ (kekal). Kekuatan dalaman kerana Tuhan inilah yang akan menjadi tunjang istiqamahnya kita dalam kebaikan. Tanpa kekuatan ini, kita takkan kekal lama dalam perubahan. 



1.    LAZIMI TAUBAT

Untuk berubah kita perlu melazimi taubat dalam kehidupan harian kita. Melazami dan memperbaharui taubat setiap hari. Apabila menyebut tentang taubat kita juga perlulah mempunyai keazaman yang tinggi untuk meninggalkan kemaksiatan yang dilakukan. Yakinlah, jika kita meninggalkan kemaksiatan kerana Allah, pasti Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jangan menangguhkan taubat, takut-takut dosa sudah terlekat dan sebati dalam diri dan menjadi salah satu asbab kenapa sukar untuk berubah. Seperti sebelum kita menanam tanaman yang baharu, kita perlulah mencantas, memotong rumput-rumput dan lalang-lalang yang memenuhi tanah yang akan kita usahakan. Setelah bersih tanah kita dari rumput-rumput dan lalang-lalang, barulah kita mulakan usaha untuk menanam tanaman yang baharu. Begitulah dengan diri kita, sebelum menanam kebaikan baharu dalam diri, cantaslah dahulu lalang-lalang dosa yang lalu, agar kebaikan baharu yang ingin ditanam, dapat tumbuh mekar tanpa penghalang.



2.     MEMILIH KAWAN YANG BAIK

Memilih kawan yang baik bagi saya terlalu penting. Kawan yang baik, dalam percakapan dan perbuatannya sentiasa ada Allah, sehinggakan saat kita mahu menuturkan perkataan dan perbuatan yang tidak baik, kita mempunyai rasa segan dengan kawan kita itu. Pernah ada pengalaman?

Sebab itulah sentiasa disebut, kawan yang baik akan mengajak ke arah kebaikan, sedangkan kawan yang tidak baik akan menarik ke arah kemaksiatan. Dalam kehidupan kita sendiri, saat kita sedang bekerja, tiba-tiba datang kawan-kawan yang mengumpat majikan atau rakan sekerja. Sukar rasanya untuk kita lari dari dosa besar mendengar umpatan. Tatkala kita sedang bekerja untuk beribadah, sukar untuk kita lari dari dosa-dosa yang ada disekeliling, melainkan dengan berusaha memilih kawan yang baik atau berusahalah menjadi kawan yang baik itu. Di dalam al-Quran, Allah telah memberi peringatan kepada kita untuk memilih kawan yang baik :

Dan ingatlah, hari di mana orang zalim menggigit kedua tangannya seraya berkata; “ Alangkah baiknya sekiranya dulu aku mengambil jalan bersama-sama rasul. Kecelakaan yang besarlah ke atasku, sekiranya aku dahulu tidak menjadikan si fulan itu sebagai teman akrabku. Sesungguhnya, dia telah menyesatkanku dari alquran!”
    (Surah Al-furqan:27-29)

Kata Ulama’, “Taubat itu adalah penyesalan. Penyesalan itu ialah penyesalan dengan hati, keazaman untuk meninggalkan perkara maksiat, beristighfar dengan lidah, meninggalkan dengan jasad dan menjauhkan diri dari teman yang jahat.”



3.    DOA

Sentiasa mengamalkan doa-doa yang memohon kepada Allah agar ditetapkan dalam kebaikan dan dijauhkan dosa. Berdoalah agar Allah menganugerahkan cinta yang sedalam-dalamnya kepadaNya. Dengan kecintaan mendalam, sudah tentu kita akan malu untuk berpaling dari kecintaan kita.



Ya, dunia ini memang penuh cabaran dan terlalu banyak godaannya. Iman kita tidak selalu kuat. Hanya kepada Allah tempat kita memohon. Doalah sungguh-sungguh. Dari lubuk hati yang paling dalam. Dengan rasa yang mendalam, “Ya Allah pandanglah aku dengan rahmat dan kasih sayangMu,  Engkaulah Maha Mengetahui siapa sesungguhnya aku. Tiada yang kuasa merubah aku melainkan Engkau mengizinkan. UntukMu ku sanggup tempuh segala.  Pimpinlah aku ke jalan bahagia selamanya."



Anis Humaira,
29.10.2017 (11.29 pagi).
Sang hamba,
Jatuh ke lembah kemaksiatan berkali-kali,
Kemudian bangun,
untuk jatuh cinta dengan Allahku lagi.
Moga selamat dunia akhirat.

No comments: