Saturday, March 31, 2018

TEKS BERCERITA KISAH AL-QURAN MTQ 2016: KISAH ASHABUL SABT



اعوذ بالله من الشيطان الرجيم. بسم الله الرحمن الرحيم

(Bacaan bertarannum)

بسم الله والحمدلله ! السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Terima Kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang dihormati barisan para hakim yang adil lagi saksama, yang saya muliakan guru-guru, kawan-kawan dan para hadirin yang dikasihi Allah sekalian.

Kisah Ashabul Sabti, itulah tajuk cerita saya pada hari ini.

”Pernah dengar kisah ini?”

”Ha? Kisah Ashabul Kahfi?”

”Bukan... Ashabul Sabti!”

”Sab...ti.”

Masya Allah, penuh persoalan diwajah kawan-kawan. Hmmm, jom dengar kisah al-Quran ini.

Kawan-kawan,

Dikisahkan dalam al-Quran, terdapat sebuah kaum berbangsa Yahudi yang tinggal di Kota Ailah berhampiran Laut Merah pada zaman Nabi Daud alaihi salam. Mereka sering menangkap ikan di Laut Merah tersebut. Hingga suatu hari, Allah telah memerintahkan mereka agar setiap hari Sabtu, mereka hendaklah beribadah kepada Allah SWT dan meninggalkan segala urusan dunia. Namun, mereka telah melanggar perintah Allah SWT.
Allah SWT menceritakan di dalam al-Quran tentang keingkaran mereka!

”Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletak di dekat laut ketika mereka melanggar aturan pada hari Sabtu.....”
(Al-A’raf :163)
 (Alunan azan)
Hayya ‘alas solah! Hayya ‘alas solah!

(Nasyid: Fitri Haris)
Suara azan di langit
Tinggi mengagungkanmu
Puji juga memuja
Allahu Akbar!

Oh azan mendayu
Ingatkan lima waktu
Panggilan menyembahmu
Tuhan yang satu.

Lihatlah pada hari ini! Setiap kali azan solat Jumaat bergema, betapa ramai kaum muslimin yang masih ingkar perintah Allah untuk menunaikan solat Jumaat dan terus berjual beli dan melakukan pekerjaan yang lain ketika waktu solat Jumaat. Kawan-kawan, kita hendaklah menghentikan segala urusan pada waktu yang tidak dibenarkan oleh Allah dan jangan sesekali kita mengingkarinya seperti Ashabul Sabti.

  Kawan-kawan,
Setiap hari Sabtu banyak ikan terdapat di dua buah batu putih di pesisir pantai negeri Ailah. Namun, hari-hari yang lain tidak ada seekor ikan timbul. Umat Nabi Daud ini tidak tahan melihat ikan yang banyak pada hari Sabtu.

Godaan syaitan berhasil menguasai akal fikiran para Yahudi. Mereka merancang memasang perangkap di tepi laut. 

“Bukankah kita hanya dilarang untuk menangkap ikan pada hari Sabtu?” Seorang warga kota bertanya.
“Hmmm, betul,betul,betul. Kalau begitu, jom kita pasang perangkap pada hari Jumaat. Pada hari Ahad, kita dapat mengambil dan memakannya.”

“Ha…ha…ha….”

Ikan semakin banyak dan tetapi semakin ramai dalam kalangan mereka yang kufur kepada Allah SWT.

Allah berfirman lagi dalam Surah al-A’raf ayat 163

Œ
”....di waktu datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di sekitar) mereka terapung-apung di permukaan air, dan di hari-hari yang bukan Sabtu, ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka.” 

Lihatlah bagaimana Allah SWT menguji orang-orang fasik dengan limpahan rezeki sehingga mereka terus melupakan Allah. Pada hari ini, betapa ramai orang yang kaya dan terus kaya dengan limpahan rezeki tetapi mereka lupa kepada Allah, lupa mengerjakan  solat, lupa mengeluarkan zakat kerana hanyut dalam kekayaan. 

(Sajak)
Mana...mana...mana
Mana milik kita...
Tidak ada apa
Hanyalah milikNya
Rezeki yang ada
Limpahan dariNya
Rezeki yang ada
Limpahan dariNya
Yang ada hanyalah milikNya.

Kawan-kawan, ingatlah bahawa rezeki yang melimpah itu tidak semestinya adalah nikmat tetapi ia juga adalah ujian daripada Allah sebagaimana Allah menguji Ashabul Sabti.

(Seloka)
Rezeki diberi mencurah-curah,
Diberi nasihat tidak diendah,
Hari dan hari berlalu sudah,
Terus menerus melupakan Allah.

Sebahagian daripada mereka yang beriman memberikan peringatan kepada golongan yang kufur ini namun nasihat mereka tidak diendahkan. Mereka yang kufur mempersenda-sendakan syariat Allah SWT. 
 
Mereka yang beriman telah menjauhkan diri dari mereka yang kufur agar tidak ditimpa hukuman dari Allah SWT. Kata-kata orang beriman ini telah ditulis di dalam al-Quran dalam surah al-A’raf ayat 164:

  
”Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang Amat keras?" Mereka menjawab: "Agar Kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.”

Pada masa kini terdapat ramai pendakwah dan pelbagai rancangan agama di rangkaian televisyen seperti Pencetus Ummah, Daie, Adik-adikku dan sebagainya yang mengajak kita ke arah kebaikan. Kawan-kawan jangan sesekali kita mempersendakan ajaran Islam seperti Ashabul Sabti.

 Kawan-kawan,

Orang-orang beriman telah mengutuk perbuatan kaum Yahudi yang kufur. Pada pagi keesokan harinya, orang-orang beriman mengetuk-ngetuk pintu perkampungan mereka dan memanggil mereka. Tetapi tiada jawapan. Mereka mengambil tangga dan memanjat tembok perkampungan kaum yang kufur. Mereka terkejut! Apabila melihat yang tinggal dalam perkampungan tersebut hanya kera-kera! Menangislah kera-kera tersebut yang merupakan orang-orang yang kufur menyesal di atas keingkaran mereka. 


 Dan Sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar diantaramu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".
(al-Baqarah: 65)
Masihkah kawan-kawan ingat, peristiwa jerebu, gempa bumi dan banjir besar di Malaysia pada tahun lepas? Semua itu adalah peringatan daripada Allah supaya kita tidak mengulangi keingkaran seperti Ashabul Sabti dan kaum-kaum yang terdahulu yang telah ditimpa pelbagai azab.

Sesungguhnya orang-orang yang tidak mentaati perintah Allah dan tamak adalah mereka yang rugi.

(Nasyid: Rentak Nasyid Nabi Nuh)
Begitulah kisah ashabul sabti,
Ingkari Allah…begitu sekali,
Akhirnya mereka… menyesali,
Menjadi kera hina disumpah Ilahi.
Akhirnya mereka… menyesali,
Menjadi kera hina disumpah Ilahi.

Kisah Ashabul Sabti!
Sekian. 

وبالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته!

Teks disediakan oleh : Ustazah Nurul Anis (SK Kidurong, Bintulu)
Rujukan                        : Tafsir Ibnu Kathir (Surah al-A’raf ayat 163-166.)

------------------------------------------------------------------------------------------------------

#Perkongsian Teks Bercerita wakil SK Kidurong pada tahun 2016. Boleh komen di bawah sekiranya ingin copy, dan jangan lupa untuk kreditkan di atas nama saya. Terima Kasih Moga bermanfaat.

12 comments:

fatin izzati syazwani said...

saya minta test ni utk rujukan ye.. terima kasih

Humaira said...

ok. moga bermanfaat 😃

Humaira said...

ok. moga bermanfaat 😃

Anonymous said...

Alhamdullilah.. teks sangat tersusun..menarik. saya minta izin copy ya.TK.

Anonymous said...

Saya minta izin copy ya.. Terima kasih

Anonymous said...

saya minta izin copy,,terima kasih sgt sungguh utk saya dan anak didik saya

Anonymous said...

saya minta izin copy..terima kasih

Siti said...

mohon izin untuk copy, terima kasih

Anonymous said...

Minta izin copy ya. Jazakillah Khairan kathiran.

Anonymous said...

Assalamualaikum, saya minta izin utk copy ya .. terima kasih 🌷

masni said...

assalamualaikum w.w
saya mohon izin copy ya, terima kasih banyak

Anonymous said...

Assalamua'laikum usz. Mohon share. Syukron