Tuesday, August 14, 2018

Solatmu



Kamu dah solat Zohor?"

"Dah Ustazah." Jawab seorang murid.

Saya tenung mukanya sambil menarik nafas. Saya kembali senyum. .
.
"Betul, kamu dah solat?"

"Ya, ustazah."

"Kamu sebenarnya belum solat zohor kan?"

"Dah ustazah," Jawab murid tersebut dengan suara yang yakin.

"Macam mana kamu solat zohor, kat surau tadi tak ada air."

"Aduiii, kantoi."




                                                                 
Itu antara dialog beberapa bulan yang lepas. Saya kira dialog biasa murid-murid dalam tempoh latihan belajar untuk menunaikan solat. Selesai kelas Tasmik sekitar jam 1.20 petang setiap hari Isnin hingga Rabu, menjadi rutin saya berjalan dari kelas ke kelas. Mencari murid-murid tahun 6 yang masih belum menunaikan solat Zohor. Ini kerana, kebanyakan mereka tidak pulang selepas tamat sesi persekolahan jam 12.20 tengah hari kerana akan mengikuti kelas tambahan pada jam 2.00 petang.


Pelbagai reaksi mereka berikan kepada saya. Kadang-kadang sanggup menyorok di bawah meja, tapi takkan pernah berjaya untuk lari daripada saya. (Haha, gelak jahat). Kadang-kadang mencipta pelbagai alasan untuk tidak solat. Tapi naluri seorang guru yang ada dalam diri saya, seolah-olah dapat mengenal yang mana benar, yang mana palsu dalam percakapan mereka.


Sekarang, apabila mereka melihat saya melangkah dari kelas ke kelas. Mereka sendiri tahu kenapa. Bahkan, paling terharu apabila murid-murid bukan Islam pun akan sama-sama menolong saya membanteras kawan-kawan mereka yang tidak solat. "Dia belum solat lagi cikgu," seorang murid bukan Islam memberitahu ketika saya menjenguk ke kelas mereka.


Apa yang ustazah inginkan adalah kalian bukan hanya menjadi orang yang berusaha untuk dunia tetapi berusaha juga menjaga hubungan dengan Tuhan. Baru saya faham, jika dahulu kami sebagai murid takut dengan guru yang kononnya tahu i'rab muridnya. Bila dah jadi guru, sebenarnya naluri seorang guru itulah yang seolah-olah dapat membaca apa yang tersimpan dalam fikiran dan hati murid.


Haip, duk asyik membaca blog ni, korang dah solat ke belum? Jangan tipu, Ustazah dapat baca fikiran korang tau! 


Bintulu,
14 Ogos 2018



Hadiah Hari Guru


"Ustazah...nah!"


Tersipu-sipu si Syahmi berdiri ditepi meja sambil menghulurkan sebotol besar air bikarbonat. 





"Untuk ustazah?," saya bertanya untuk kepastian.


Syahmi mengangguk kepala dua tiga kali sambil tersenyum.


"Wahh, terima Kasih, Syahmi!" Tersipu-sipu dia berjalan keluar dari Bilik Guru. Ini kisah Hari Guru, bulan Mei lepas. Kali pertama dapat hadiah air bikarbonat. Rasa janggal juga pada awalnya mungkin kerana kurang gemar. Mungkin kerana itu juga, sudah tiga bulan botol ini masih belum terusik.

Tahun pertama di Bintulu, memang terkejut juga dengan budaya masyarakat di sini yang tidak dapat berpisah dengan air bikarbonat. Murid-murid di sini majoriti memang sangat gemarkan air bikarbonat, bukan botol yang kecil tetapi dalam saiz yang besar sebagai bekalan minuman ke sekolah atau kelas tambahan setiap hari. Selaku guru, berbuih mulut jugalah berpesan kepada mereka bahawa kandungan gula yang tinggi dalam air ini. Tapi, tersangatlah sukar mengubah tabiat ini kerana ia adalah budaya biasa di Sarawak.


Ya, budaya biasa terutama apabila musim perayaan. Kalau beraya di sini, jangan terkejut kerana minuman bikarbonat adalah minuman WAJIB di setiap rumah ketika musim perayaan sepanjang sebulan syawal. Jadi tidak hairanlah bagi saya jika murid-murid sukar mengubah tabiat ini kerana sememangnya sebati dalam budaya masyarakat di sini. Tapi, kalau pergi beraya, tidak ada masalah untuk meminta AIR KOSONG yang sihat. In shaa Allah, orang-orang Sarawak yang baik hati pasti akan melayani tetamu dengan penuh keramahan.



Dan hari ini, selamatlah air ini masuk ke dalam peti ais, dengan harapan teman-teman serumah dapat habiskan sebagai menghargai pemberian si Syahmi. Sekali-sekala minum air bikarbonat tak pe kan? Hehe

 Bintulu,
12 Ogos 2018

Lebih banyak kisah #diariustazahborneo di instagram 



Thursday, August 9, 2018

Ihsan kepada binatang




Bismillahirrahmanirrahim

Pandangan mata saya tertarik pada sebuah bekas di atas meja murid ini. Ya, bekas makanan kucing. Bila ditanya pada murid, rupa-rupanya guru kelas mereka yang menyediakan bekalan tersebut untuk diberikan kepada tetamu istimewa yang bertandang ke kelas mereka. Satu penerapan akhlak dan moral yang sangat baik kepada murid-murid untuk menyantuni haiwan yang juga makhluk Allah.

Teringat kepada seorang sahabat saya yang sentiasa membawa plastik makanan kucing di dalam tas tangannya ke mana-mana sahaja beliau pergi dan akan menyantuni haiwan tersebut. Terharu saya melihat bagaimana tingginya kasih sayang beliau ketika memberi makan dan membelai haiwan tersebut.

Begitu juga dengan inspirasi kisah pasangan pak cik dan mak cik yang sudah tua dan masih belum mempunyai zuriat di kawasan perumahan sayà, tetapi setiap hari istiqamah memberi makan kepada anjing-anjing di hadapan rumahnya. Malahan, pernah suatu hari ketika hujan lebat, saya berselisih dengan pak cik tua ini, beliau sanggup basah kuyup berlari keluar dari kereta demi menyelamatkan seekor anjing yang terjatuh ke dalam longkang. Ya, beliau seorang muslim, sama seperti kita.

Untuk melakukan kebaikan tidak sukar, kerana peluang untuk melakukan kebaikan sentiasa ada di depan mata. Jika kita mampu melakukan sedikit kebaikan tetapi berkekalan walaupun dengan hanya mengisi perut seekor kucing yang lapar. Lakukanlah, mungkin kebaikan yang kecil itu akan membantu kita di sana dan menjadi asbab diampunkan dosa sebagaimana kisah seorang lelaki dan seorang pelacur wanita yang diampunkan dosa mereka oleh Allah SWT kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan.

 
Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda :
“Ketika seorang laki-laki sedang berjalan, dia merasakan kehausan yang sangat, lalu dia turun ke telaga dan minum. Ketika dia keluar (naik dari telaga), ternyata ada seekor anjing sedang menjelirkan lidahnya menjilat tanah basah kerana kehausan. Dia berkata, ‘Anjing ini kehausan seperti diriku.’ Maka dia mengisi kasutnya dan memegang dengan mulutnya, kemudian dia naik dan memberi minum anjing itu. Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuninya.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kita boleh meraih pahala dari binatang?” Beliau menjawab, “Pada setiap hati yang basah terdapat pahala.” [HR Bukhari no 2363 dan Muslim no 2244]


Dari Abu Hurairah ra dari Nabi saw bersabda :
“Seorang wanita pelacur melihat seekor anjing yang mengelilingi perigi pada hari yang panas terik. Anjing itu menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Lalu wanita itu menimba air dari perigi dengan kasutnya, maka dia diampuni.” [HR Muslim no 2245]


Janganlah kita meremehkan sesuatu kebaikan. Kerana boleh jadi, diampunkan dosa seseorang itu dengan asbab berbuat ihsan kepada haiwan. Moga-moga menjadi motivasi kepada kita untuk sentiasa ikhlas dan berusaha untuk berbuat ihsan kepada haiwan.

Bintulu,
9 Ogos 2018 (Khamis)