Thursday, February 14, 2019

Cinta kepada kalamNya

Bismillahirrahmanirrahim

Suatu ketika dahulu, saya pernah mendengar satu rakaman tazkirah oleh Ustazah Dr. Norhafizah Musa dan pada ketika itu hati saya telah terpaut pada sebuah doa yang cukup indah yang telah dikongsikan oleh beliau. Doa ini saya akan cuba untuk membacanya sebelum mula membaca al-Quran. Dalam tazkirah tersebut, ustazah telah menceritakan bahawa beliau telah mencatatkan doa ini di muka hadapan al-Qurannya ketika belajar dahulu dan diamalkan oleh ustazah sepanjang pengajian. Namun, al-Quran itu kemudiannya hilang tanpa ustazah sedari (ini kerana al-Quran ustazah bukan hanya sebuah). Hanya selepas 15 tahun, ustazah terjumpa kembali al-Quran itu, lalu membaca kembali catatan doa tersebut. Setelah lebih 15 tahun tidak membaca doa tersebut, saat ustazah membaca doa tersebut, ustazah telah menangis semahu-mahunya. Lalu doa tersebut telah ustazah catatkan pada al-Quran anak-anak ustazah dengan pesanan dan harapan agar dapat sama-sama meneruskan amalan itu. Doa ini juga telah saya titipkan kepada anak murid agar sama-sama mengamalkan, kerana bagi saya, setiap baitnya adalah sangat indah.




Tarikh hari ini sebenarnya, adalah tarikh seorang junior  di sekolah rendah dahulu dan junior di Maahad Muhammadi Perempuan, Ustazah Khairunnisa binti Azmi telah dijemput Allah kembali kepada cinta yang Maha Kekal. Seorang penghafaz al-Quran, meninggal saat ingin mengajarkan ilmu dan ketika sedang mengandungkan anak ketiga beliau (usia kandungan 5 bulan). Ramai yang cemburu dengan kematian beliau. Seorang yang tinggi peribadi dan pencinta al-Quran. Moga Allah mengampuni dosamu, merahmati dan mempermudahkan urusanmu di sana. Selamat kembali kepada cinta abadimu, duhai bidadari Syurga. Moga Allah satukan kembali di Syurga nanti bersama suamimu dan dua orang anak-anak yang mencintaimu, Uwais dan Aisyah. 

Moga cinta kita juga kepada Al-Quran, tidak akan pudar. Malah, makin berkilau. Makin utuh. Hingga saat kita bertemu denganNya.

Saat aku kembali mencari cintaMu,
14 Februari 2019,
Bintulu, Sarawak.

No comments: