Beginilah mak dan abah saya. Sanggup memandu ke negeri sebelah dalam usia 59 tahun demi menziarahi mak sahabat saya. Saya khabarkan berita tengahari tadi dan mereka terus memecut ke sana. Sedang saya sendiri masih di borneo. Ini kerana mereka tahu dan kenal dengan setiap sahabat baik saya. Begitu sahabat baik setiap daripada adik-beradik kami. Mereka juga mengenali siapa ibu dan ayah sahabat-sahabat saya. Tidak hanya mengenali, malah menyantuni setiap sahabat saya dan ibu bapa mereka. Ibu bapa sahabat-sahabat saya juga sangat menyantuni dan melayani saya seperti anak mereka sendiri. Saya yang jauh, jika menceritakan ada ibu atau ayah sahabat sakit, terus mereka bergegas melawat di hospital. Begitu juga, saat salah seorang bonda sahabat saya dijemput pulang sang ilahi, ketika saya dan sahabat menduduki peperiksaan di IPG, saya hanya mampu mengirimkan mak dan abah menjadi pengganti untuk menziarahi dan menunaikan hak sesama muslim untuk kali terakhirnya. Mak dan abah saya juga tidak lokek dalam membantu sahabat-sahabat saya.
Kerna itulah, saya jatuh cinta berkali-kali dengan mereka. Kerna kasih sayang mereka tidak terbatas untuk anak-anak mereka tetapi untuk sesiapa sahaja yang menyayangi dan disayangi anak mereka.
Bagi saya dan sahabat-sahabat pula, persahabatan kami bukan sekadar mengenal nama atau sekadar untuk berteman, tetapi kami punya misi untuk menjadi jiran di Syurga. Walaupun kami telah jauh merantau dan bekerja di negeri berbeza, namun kami masih berusaha menjaga persahabatan kami. Moga Allah pelihara persahabatan kita. Hai jiran-jiranku di Syurga. Aku menyayangi kalian kerna Allah ❤
Dari Abu Karimah Al Miqdad bin Ma’dikariba dari Nabi SAW,beliau bersabda : Apabila seseorang mencintai saudaranya,hendaklah ia memberitahu bahwa ia mencintainya. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Terima kasih mak dan abah kerna selalu menyantuni orang yang aku sayang. Allah, jagakan mereka untukku. Jika suatu hari nanti ada rezeki untuk menjadi ibu, jadikan aku sebaik mereka.
Benarlah, cinta itu hadir tanpa syarat,
Bintulu,
11 Februari 2019.
No comments:
Post a Comment