Thursday, March 14, 2019

KISAH SPM SAYA (2007)






Gambar kenangan di Kelas 5 Perdagangan 1, di Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Sebuah sekolah yang terkenal dengan produk pelajar cemerlangnya. Selepas PMR banyak keputusan yang saya ambil tidak sama dengan kehendak pelajar lain. Jika orang lain dalam sekolah yang mengejar kecemerlangan ini, berpusu-pusu membuat rayuan ke kelas sains tulen, tetapi berbeza dengan saya. Ditawarkan kelas aliran sains tulen tetapi saya tahu jiwa saya bukan di situ. Lalu, saya mengambil keputusan untuk masuk ke Kelas aliran akaun. Pada waktu itu, saya masih ingat, ada seorang guru bertanya dan mempersoalkan keputusan saya. Tetapi saya tetap bertegas dengan keputusan yang saya tekadkan. Saya tidak keseorangan, ada juga seorang sahabat saya, yang membuat keputusan yang sama. Akhirnya kami dengan gembiranya belajar bersama dalam kelas aliran akaun. Sahabat saya tersebut adalah salah seorang 'pesaing sihat' saya dalam kelas ini. Sejujurnya, seronok belajar di kelas 4 Akaun 1, dengan rakan-rakan dan guru yang sangat baik.


Namun, setelah setahun berada di kelas akaun dan walaupun keputusan saya dalam Sijil Menengah Ugama (sejenis peperiksaan tingkatan 4 di sekolah bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan) ketika itu cemerlang,  tetapi saya dapat merasakan seolah-olah jiwa saya belum sepenuhnya berada di situ. Ketika awal tingkatan 5, saya sekali lagi mengambil keputusan untuk menukar aliran. Sudah tentu ketika itu ramai yang mempersoalkan tindakan saya terutama berkaitan persoalan bagaimana peluang pekerjaan pada masa depan nanti dalam aliran ini? Ya, saya faham kegusaran hati mereka tetapi saya tetap menegakkan keinginan diri dan ingin membuktikan bahawa tidak semestinya jika saya tidak memilih aliran sains tulen atau aliran yang dikejar oleh kebanyakan orang, saya tidak akan berjaya. Akhirnya keputusan SPM Ketika itu adalah buktinya. Tetapi agak kelakar juga, ketika diumumkan pelajar terbaik aliran perdagangan, saya tidak naik ke atas pentas ketika dipanggil, mungkin disebabkan sikap introvert yang tidak suka muncul di khalayak ramai. Mungkin kerana sikap introvert juga, saya tidak mempunyai ramai kawan yang rapat kerana lebih suka menyendiri di dalam kelas.  



Alhamdulillah, saya juga berjaya membuktikan dengan keputusan SPM dari aliran itu, saya berjaya mendapat tawaran ke UIA dan IPG. Ketika melanjutkan pelajaran di IPG, saya juga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama walaupun kisah saya bermula dengan aliran yang 'tidak glamour' itu.



Adik-adik, di mana pun kita berada, kita masih boleh berjaya. Aliran tidak menentukan kejayaan tetapi diri sendirilah penentu kejayaan. Kuatkan semangat, pertahankan keinginan hati kita, selagi perkara tersebut tidak menyalahi syariat. Kejarlah cita-citamu. Saya gembira dengan landasan hidup yang saya pilih. Kerana Allah telah ciptakan kehidupan ini dengan pilihan di tangan kita, kita berhak untuk memilih jalan bahagia yang selari dengan kehendak hati. Selamat terbang bersama cita-citamu adik-adik SPM 2018. Jalanmu masih jauh, jalanku juga masih belum berakhir.


Bintulu,
14 Mac 2019.
8.29 Malam.

Monday, March 11, 2019

TEKS BERCERITA KISAH AL-QURAN MTQ 2019: RAJA NAMRUD YANG SOMBONG



بسم الله والحمدلله ! السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Terima kasih kepada pengerusi majlis. Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, rakan-rakan dan seterusnya sidang hadirin yang dirahmati Allah.

Hijau berkilauan permata zamrud,
Terselit di jari jadi tatapan,
Dengarkan kisah keangkuhan Raja Namrud,
Jadikan iktibar, panduan kehidupan.                          (Pantun)

Pengenalan
Salam

Salutasi




Tajuk Cerita
Kawan-kawan,

Raja Namrud ialah pemerintah kerajaan Babylon. Dia seorang yang gagah, namun tidak beriman kepada Allah dan mengiktiraf dirinya sebagai Tuhan. Di saat penduduk Babylon tenggelam dalam kesyirikan, Allah mengutus nabi Ibrahim bagi menyeru mereka kembali mentauhidkan Allah. Pada suatu hari, berlakulah perdebatan antara nabi Ibrahim dan Raja Namrud:

“Hanya Tuhanku yang memberi dan mengambil semula nyawa”, tegas nabi Ibrahim. Namrud menjawab dengan sombong “Aku juga boleh membunuh manusia dan menghidupkan”. “Tapi, bolehkah kamu menjadikan matahari terbit dari timur?” balas nabi Ibrahim. Mendengar akan itu, Namrud terdiam kerana dia tahu tiada manusia yang berkuasa seperti itu.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 258 ada dinyatakan:

Maksudnya: Tidakkah Engkau memikirkan (Wahai Muhammad) tentang orang Yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya.

Begitulah Raja Namrud yang sesat malah menyesatkan orang lain. Pada masa kini juga terdapat ajaran sesat yang cuba memesongkan akidah orang Islam seperti ajaran Syiah dan Tuhan Harun.

Ingatlah rakan-rakan,
Menyekutukan Allah merupakan dosa besar.





Isi 1













Ayat Al-Quran





 Isu Semasa

 

Pengajaran
Kawan-kawan,

Pada suatu malam, penduduk Kota Babylon keluar beramai-ramai untuk meraikan hari raya bagi tuhan mereka. “Hmmm, inilah peluangku untuk mengajar kaumku bahawa berhala bukannya Tuhan”, nekad Nabi Ibrahim. Lalu, Nabi Ibrahim menghancurkan semua berhala. Ktak! Ktak! Ktak! (bunyi kapak). Tinggallah sebuah berhala yang paling besar. Lalu, kapak yang digunakannya digantungkan pada leher patung besar tersebut. Hal ini diceritakan dalam surah Al-Anbiya’ ayat 58:

Maksudnya: Lalu dia memecahkan semuanya kecuali sebuah berhala mereka Yang besar , supaya mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya.

Sikap keberanian nabi Ibrahim perlu diamalkan di dalam kehidupan kita. Apatah lagi di era globalisasi ini, menuntut agar kita sentiasa bersiap sedia menghadapi anasir-anasir yang ingin menghancurkan Islam. Contohnya pergerakan Zionis yang diasaskan oleh Israel.

Oleh itu, sebagai umat Islam, kita disarankan agar menggunakan fikiran yang waras untuk membezakan kebaikan dan keburukan.



Isi 2








 
Ayat al-Quran




Isu semasa



Pengajaran
Kawan-kawan,

Suasana menjadi semakin genting,
Nabi Ibrahim ditangkap penuh zalim,
Dipersalahkan memusnahkan berhala,
Raja Namrud berang, penuh kemarahan! (Sajak)

“Kamu tahu! Kamu tahu… bahawa patung itu tidak boleh berjalan atau berbuat apa-apa”, kata Raja Namrud. “Jadi kalau begitu, kenapa kamu menyembahnya?” balas Nabi Ibrahim. Raja Namrud menjadi sangat marah. Lalu, menjatuhkan hukuman dibakar hidup-hidup kepada Nabi Ibrahim di kawasan lapang. Namun, Allah telah menyelamatkan Nabi Ibrahim tanpa dimakan oleh api, bahkan dia boleh berjalan ke sana-sini dalam api tersebut. Firman Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 69:

Maksudnya: "Hai api, Jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".

Masihkah rakan-rakan ingat? Ketika Tsunami melanda Indonesia tahun lalu, terdapat beberapa kejadian yang menunjukkan tentang kekuasaan Allah. Contohnya Masjid di Palu tidak terjejas walaupun dilanda Tsunami. Masya Allah!

Ingatlah rakan-rakan,
Kita hendaklah percaya bahawa setiap nabi dikurniakan mukjizat dan orang yang beriman seperti Nabi akan dibantu oleh Allah.









Isi 3






Ayat al-Quran





Isu semasa



Pengajaran
Kawan-kawan,

Raja Namrud mencabar Nabi Ibrahim dengan angkuh. “Sekiranya Tuhanmu mempunyai Malaikat, maka hantarlah kepada aku. Mari kita berperang! Hahaha”, katanya kepada Nabi Ibrahim. Justeru itu, Nabi Ibrahim memohon bantuan daripada Allah. Tentera Raja Namrud ketakutan apabila ruang angkasa berubah menjadi gelap kerana dipenuhi dengan jutaan nyamuk. Akhirnya, mereka mati akibat digigit oleh nyamuk-nyamuk tersebut.

Namun, Allah memberi masa 3 hari kepada Raja Namrud untuk bertaubat dengan menangguhkan kematiannya. Tapi, peluang itu sia-sia sahaja kerana dia enggan bertaubat. Lantas Allah memerintahkan seekor nyamuk masuk melalui lubang hidung Raja Namrud dan memakan otaknya. Matilah Raja Namrud dek seekor nyamuk.

Firman Allah dalam surah Al-Muddassir ayat 31:
Maksudnya: Dan tiada Yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sahaja.

Masha Allah, memang benarlah Allah itu Maha Berkuasa, dengan hanya seekor nyamuk kecil dapat menewaskan Namrud yang gagah perkasa. Begitu juga yang berlaku pada masa kini, wabak denggi yang dibawa oleh nyamuk aedes telah meragut banyak nyawa.

Jelaslah, setiap ciptaan Allah mempunyai kelebihan tersendiri. Oleh itu, kita tidak boleh sombong dengan kelebihan yang dianugerahkan kepada kita.





Isi 4












Ayat al-Quran






 Isu Semasa




Pengajaran

Demikianlah kisah Nabi Ibrahim menentang Raja Namrud.

Wahai rakan dan juga Taulan,
Raja Namrud bukan ikutan,
Zalim dan sombong kepada Tuhan,
Dimurkai Tuhan.                                             (Lagu)

Sekian.
وبالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته!
Teks disediakan oleh :
Ustazah Nurul Anis

#Perkongsian Teks Bercerita wakil SK Kidurong, Bintulu pada tahun 2019. Boleh komen di bawah sekiranya ingin copy, dan jangan lupa untuk kreditkan di atas nama saya. Terima Kasih Moga bermanfaat.


Penutup