Gambar kenangan di Kelas 5 Perdagangan 1, di
Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Sebuah sekolah yang terkenal dengan
produk pelajar cemerlangnya. Selepas PMR banyak keputusan yang saya ambil tidak
sama dengan kehendak pelajar lain. Jika orang lain dalam sekolah yang mengejar
kecemerlangan ini, berpusu-pusu membuat rayuan ke kelas sains tulen, tetapi berbeza
dengan saya. Ditawarkan kelas aliran sains tulen tetapi saya tahu jiwa saya
bukan di situ. Lalu, saya mengambil keputusan untuk masuk ke Kelas aliran
akaun. Pada waktu itu, saya masih ingat, ada seorang guru bertanya dan
mempersoalkan keputusan saya. Tetapi saya tetap bertegas dengan keputusan yang
saya tekadkan. Saya tidak keseorangan, ada juga seorang sahabat saya, yang membuat keputusan yang sama. Akhirnya kami dengan gembiranya belajar
bersama dalam kelas aliran akaun. Sahabat saya tersebut adalah salah seorang 'pesaing sihat'
saya dalam kelas ini. Sejujurnya, seronok belajar di kelas 4 Akaun 1, dengan
rakan-rakan dan guru yang sangat baik.
Namun, setelah setahun berada di kelas akaun
dan walaupun keputusan saya dalam Sijil Menengah Ugama (sejenis peperiksaan tingkatan 4 di sekolah bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan) ketika itu
cemerlang, tetapi saya dapat merasakan seolah-olah
jiwa saya belum sepenuhnya berada di situ. Ketika awal tingkatan 5, saya sekali
lagi mengambil keputusan untuk menukar aliran. Sudah tentu ketika itu ramai yang
mempersoalkan tindakan saya terutama berkaitan persoalan bagaimana peluang
pekerjaan pada masa depan nanti dalam aliran ini? Ya, saya faham kegusaran hati mereka tetapi saya tetap menegakkan
keinginan diri dan ingin membuktikan bahawa tidak semestinya jika saya tidak
memilih aliran sains tulen atau aliran yang dikejar oleh kebanyakan orang, saya
tidak akan berjaya. Akhirnya keputusan SPM Ketika itu adalah buktinya. Tetapi
agak kelakar juga, ketika diumumkan pelajar terbaik aliran perdagangan, saya tidak naik ke atas pentas ketika dipanggil, mungkin disebabkan sikap introvert yang tidak suka muncul di khalayak ramai. Mungkin
kerana sikap introvert juga, saya tidak mempunyai ramai kawan yang rapat kerana lebih suka
menyendiri di dalam kelas.
Alhamdulillah, saya juga berjaya membuktikan dengan keputusan SPM dari aliran itu, saya berjaya mendapat
tawaran ke UIA dan IPG. Ketika melanjutkan pelajaran di IPG, saya juga berjaya mendapat
Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama walaupun kisah saya bermula dengan aliran yang 'tidak glamour' itu.
Adik-adik, di mana pun kita berada, kita masih
boleh berjaya. Aliran tidak menentukan kejayaan tetapi diri sendirilah penentu
kejayaan. Kuatkan semangat, pertahankan keinginan hati kita, selagi perkara
tersebut tidak menyalahi syariat. Kejarlah cita-citamu. Saya gembira dengan
landasan hidup yang saya pilih. Kerana Allah telah ciptakan kehidupan ini
dengan pilihan di tangan kita, kita berhak untuk memilih jalan bahagia yang
selari dengan kehendak hati. Selamat terbang bersama cita-citamu adik-adik SPM
2018. Jalanmu masih jauh, jalanku juga masih belum berakhir.
Bintulu,
14 Mac
2019.
8.29
Malam.
No comments:
Post a Comment