Sunday, June 23, 2019

Bukan keluhan tapi perkongsian



Alhamdulillah, hari ini sempat grab 'promo' AA untuk tiket perayaan Eidul Adha nanti setelah berhari-hari membuat perbandingan harga dan merenung harga pada skrin telefon pintar. Rasanya semua guru di Borneo melepasi fasa yang sama. Merenung dengan mengharapkan harga makin turun. Tiba-tiba harga makin mahal dan waktu tu mulalah gelabah nak membeli. Harga? Pejamkan mata jelah. Dah habis murah tu. Total tiket sahaja untuk Eidulfitri dan Eiduladha menjangkau hampir RM3500 untuk seorang individu. Ya, hampir habis sebulan gaji. Inilah antara sebab guru-guru semenanjung ini 'tidak tahan' mengajar di borneo, penat untuk mengatur kewangan.

Pada tahun 2014, saya masih mampu terbang bersama Malaysia Airlines dengan kadar RM200+ sehala dari BTU-KBR, pergi balik kurang dari RM500. Tapi kini, harga tersebut tinggal kenangan. Habis 1K ke atas itu perkara biasa setiap kali pulang untuk menatap wajah ibu dan ayah. Itu untuk harga tiket sahaja, tidak termasuk teksi ke airport dan kos-kos lain. Harga tiket boleh mencanak naik 2K dan lebih untuk seorang individu bila tiba hari raya dan musim cuti persekolahan. Hari biasa, elok je harga tiket tu murah 😂 

Apatah lagi, kami yang terbang dari bandar 'minyak' (antara 10 bandar termahal kos sara hidup di Malaysia dan termahal di Sarawak) yang mempunyai 3 penerbangan sehari sahaja ke Kuala Lumpur. Terhad. Ya, biasalah, syarikat penerbangan dengan permainan bisnes mereka. Kita selaku pelanggan terpaksa akur kerana sudah tidak ada jalan lain. Takkan nak mendayung sampan merentasi Laut China Selatan 😂. Kerana itu juga rakan-rakan yang berkeluarga ada yang menahan keinginan pulang kerana menantikan ehsan waran tambang percuma setahun sekali.

Alhamdulillah, kami seronok di sini, sangat seronok berbakti di tempat orang, mengenal budaya dan orang-orangnya. Seronok! Tetapi kesakitan membayar harga tiket yang mahal kadang kala menghilangkan keseronokan berbakti di sini. Kata bapak menteri, guru agama dari Kelantan dan Terengganu harus bersabar dan jangan pulang dahulu ke Semenanjung dan terus mengajar di Sabah dan Sarawak sebagai medan dakwah dan medan menabur bakti. Memang benar, selagi ada ruang dan peluang hingga noktah ditetapkan Tuhan, kami tetap bertahan berbakti di sini. Tetapi sejauh mana kesabaran para guru itu berbaloi dalam menyelesaikan masalah tiket penerbangan yang mahal ini? Tiada kan. Guru masih lagi perlu membakar dirinya seperti lilin. Hanya dia yang berkorban. Bahkan, kini tiada lagi istilah beli awal tiket untuk dapat harga lebih murah kerana seawal tahun lepas harga tiket tetap sama. Jika harganya boleh dirunding dan tetap seperti tiket bas dan kami mampu pulang bila-bila masa yang kami kehendaki untuk bertemu orang tua kami, sudah tentu guru-guru akan 'diam' dan tidak membahaskan soal keperitan ini.





Bila dalam keadaan tertekan, berdepan masalah kewangan inilah, maka guru-guru akan mula bising dan masyarakat pula dalam keadaan tidak meletakkan diri mereka dalam kasut guru seolah-olah muak dengan keluhan demi keluhan. Kerana ini juga, tidak pelik untuk saya katakan, ada rakan-rakan guru berhutang kad kredit demi membeli tiket. 

Oleh itu, anak-anak borneo hargailah guru-guru kamu, yang datang jauh beribu kilometer merentasi laut china selatan demi menyebarkan ilmu untuk kalian. Perit meninggalkan orang kesayangan dan perit menguruskan kewangan. Suatu saat pabila kalian dewasa, terbanglah berbakti seperti kami dengan lebih ikhlas 😊

Ya Allah, jadikanlah guru-guru borneo ini kaya raya 😂 supaya kami tak lagi rasa terbeban. Amin...

Dulu setia bersama MAS, kini bersama Air Asia ✈️😂 #diariustazahborneo

Bintulu,
230619.

Thursday, June 20, 2019

Terima kasih atas kebahagiaan




Kerna aturan Allah tidak pernah silap, 
Dia mengaturkan pertemuan kita tanpa aku menduga.

Saat aku dilemparkan sebatang kara, Allah menyambutku dengan memberikanku saudara.

Mungkin Allah menjauhkan saudara sedarah sedaging,
Tapi dia mendekatkan saudara seiman seakidah.

Syukur,
Hari-hari kita membicarakan perihal yang sama, 
Hari-hari juga ada ketawa berdekeh-dekeh antara kita,
Mungkin begini cara Allah menghiburkan kita.

Mungkin kadang kita juga ada rasa penat dan lelah, 
Ada rasa sakit dan pedih,
Tetapi ingatlah saat itu...
Bukan kau,
Bukan aku yang salah,
Tetapi kurangnya pada iman kita,
Iman yang semakin bercompang camping,
Menduga akhlak dalam berteman.

Kerna Allah tidak pernah silap dalam aturannya, setelah mempertemukan kita, Allah mengaturkan sebuah perpisahan pula. 

Selamat kembali kepada keluargamu. Terima kasih untuk segalanya. Lebih lima tahun tinggal sebumbung kita mengenal tawa dan duka, baik dan buruk kita biarlah tersimpan menjadi memori terindah. Doakan kami terus bertahan di sini hingga saat yang dizinkan Tuhan. Maaf di atas segala kekurangan. Selamat Jalan duhai sahabat. Selamat berbakti pada cinta hati dan anak bangsa di sana. 

Bintulu,
Khamis 
20 Jun 2019.

Monday, June 17, 2019

Kebaikan yang mudah


Bismillahirrahmanirrahim 
 

Dalam hidup ini, kalau boleh kita ingin selesaikan semua masalah orang disekeliling kita. Namun, dalam masa yang sama kita sedar keterbatasan daya yang ada pada diri kita. Hingga pernah kita rasa kesedihan jauh di sudut hati kerana tidak mampu menghadirkan bantuan kepada orang disekeliling yang memerlukan. Apatah lagi, jika orang tersebut adalah kesayangan kita. Namun, di sinilah titik kembalinya kita kepada sang pencipta. Ketika tiada daya untuk membantu, hakikatnya sentiasa ada ruang untuk kita berdoa. Kerna kita masih ada Tuhan yang memiliki segalanya yang pasti akan mampu membantu orang tersebut. Setiap kebaikan itu adalah sedekah. Mungkin kita tak mampu membantu dengan kuasa, tenaga, masa, kasih sayang ataupun apa sahaja. Tapi kita sebenarnya masih mampu merintih kepada Allah yang punya segalaNya untuk memenuhi apa sahaja yang diperlukan oleh orang disekeliling kita.


Melihat orang ditimpa kesusahan di jalanan. Mungkin kita tak mampu meringankan beban mereka, tapi kita mampu berdoa. Ya Allah ringankan kesusahan pak cik tadi. Ya Allah, bantulah orang ini. Jadikanlah ia sebagai satu rutin setiap kali melihat kesusahan orang lain di mana-mana sahaja dengan menolongnya dengan sebuah doa. Pernah tak terfikir bahawa kadang kita ditimpa kesusahan, tiba-tiba datang bantuan dari jalan tak disangka mungkin asbab doa-doa orang yang tak pun kita kenal. Maka, tak rugi untuk mendoakan orang lain. Jika tercari-cari apakah kebaikan yang boleh aku lakukan pada hari ini, maka ciptalah peluang untuk mendoakan sesiapa disekelilingmu hatta hanya doa pada seekor kucing yang datang menggeselkan badannya padamu meminta makanan sedangkan kamu tidak mempunyai apa-apa, maka doakanlah agar kucing tersebut dipertemukan insan berhati mulia untuk membantunya. Kerna yakinlah bahawa setiap doa yang baik itu pasti akan kembali kepada dirimu.



Dan suatu hari nanti, jika diizinkan Allah apabila di Syurga, aku ingin Allah tunjukkan kepadaku siapakah insan-insan mulia yang pernah mendoakan aku dengan ikhlas sepanjang hidupku dahulu.



Selasa,
18 Jun 2019,
7.27 pagi,
Bintulu.

Doa Mak




 "Bestnya ada doa mak."


Ujar sahabat baik saya. Saya masih ingat, Ummi kesayangannya telah dijemput ilahi ketika musim peperiksaan di zaman kampus. Saya terkedu. Sememangnya saya akui segala kebaikan yang melimpahi hidup saya pada hari ini adalah datangnya dari kebaikan doa insan-insan di sekeliling saya dan yang paling pasti adalah daripada doa mak.


 Namun, saya juga telah menjadi saksi, bagaimana sahabat saya itu berjaya menjadi anak solehah yang telah menyantuni umminya ketika masih hidup  setiap hari hingga hari-hari akhir umminya tanpa gagal. Dan saya akui masih jauuuuh untuk menjadi anak yang baik seperti dirinya.


Terima kasih mak, di atas doa-doa kepada anak mak ini, walaupun anakmu ini bukanlah anak yang cukup baik dalam menyantuni mak. Sayang mak, syurgaku. Teruslah berdoa untuk anakmu ini. 💓

Friday, June 14, 2019

Pekat malam


Sungguhpun malam itu kelam,
Tetap kusetia melakar cerita,
Kerna aksara kan buta ditelan gelapnya.
Adapun malam bisa menenggelamkan,
tapi takkan pernah mampu menghalang cahaya dari terus menerangi setiap kisahku.


14.06.2019,
Bintulu

Friday, June 7, 2019

Eidul Fitri Mubarak 1440H


Selamat Hari Raya Kepada semua guru, pensyarah, saudara mara, sahabat, rakan, anak didik dan para pembaca blog.

تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال
كل عام وأنتم بخير

Semoga Allah menerima amalan soleh kita semua dan semoga sepanjang tahun kita dalam kebaikan. Terima kasih di atas sokongan sepanjang saya berkongsi rasa di blog ini dan mohon maaf sekiranya terdapat salah silap di dalam penulisan saya.

1 Syawal 1440H,
Kota Bharu, Kelantan.