Saturday, September 8, 2012

Mereka sangat Unik


Bismillahirrahmanirrahim


Menatap wajah murid-murid timbul dua perasaan yang silih berganti.  Kadang-kadang sangat geram akan kecomelan “asli” dan perangai mereka. Terkadang muka merah menahan panas dek kenakalan yang teramat dan pernah “meletup” juga.  ‘Ala kulli hal, macam yang pernah Anis tulis sebelum ini, hakikatnya mereka tetap masih suci dari dosa. Mereka lebih mulia daripada diri ini sendiri. Apa jua nasihat, mudah meresap. Tinggal bagaimana sahaja cara sang guru menyampaikan. Teringat kata-kata seorang insan yang cukup dekat dengan ALLAH, hingga terkesan kata-katanya di hati, Ustaz Fakhrurrazi, andai kata kita mahu memarahi anak murid kita, tanya dulu diri, lihat dulu, adakah kita nampak di celah-celah anak murid kita itu Allah dan Rasulnya. Bimakna, adakah niat kita memarahi mereka kerana Allah dan RasulNya. Kalau nak marah anak murid terus ingat Nabi. Barulah timbul marah dalam kasih sayang. Satu persoalan yang Anis kira, Anis sendiri perlu menyoal jauh ke dalam diri. Allahu, sangat merindui saat hati dilapah-lapah dengan nasihat yang mampu mengubah aku ke arah lebih baik. (Perbanyakkan selawat ke atas Nabi S.A.W mampu meredakan kemarahan dan mengukir senyuman).  


Kali ini Anis nak berkongsi sedikit soalan-soalan murid yang pernah mereka lemparkan kepada diri ini :


SOALAN 1 :
Soalan ini Anis pernah berkongsi dengan beberapa orang sahabat. Situasinya mengajar tajuk yang intipatinya terdapat bacaan tahiyyat akhir. Dua orang murid bergaduh. Murid lelaki dan perempuan :
Eh, mana boleh baca saidina dalam tahiyyat! Salah! Ustaz saya kata gini-gini….bla-bla……,” Kata murid lelaki itu membetulkan bacaan murid perempuan.

“Eh, kenapa plak? Bolehla, memang kita boleh baca. Bla….bla…bla….” Murid perempuan pula mempertahankan bacaan tasyahhud akhirnya.

“Tak BOLEH! Mana boleh baca! ….. “ Murid lelaki terus mempertahankan.

Agak-agak jika anda berada bersama-sama murid kelas ini, apa jawapan anda? (Saya dah menjawab persoalan ini kepada mereka J )


SOALAN KEDUA

Ustazah! Ustazah Nak tanya soalan ni. Macam mana ye,  kalau kita kena culik, lepas tu, kebetulan ketika tu tengah datang haid, tangan kita kena ikat time tu. Dalam beberapa hari, kita pun dah boleh solat, macam mana kita nak solat time tu? Nak kena mandi wajib macam mana? Ustazah faham tak soalan saya ni.” Tanya soalan murid dengan mimik muka yang penuh keinginan untuk Anis menjawab soalannya. Agak-agak kalau anda  yang menjadi ustazah ketika itu apa jawapan anda? :P



SOALAN KETIGA

Slot pagi dihiasi dengan tazkirah, bercerita berkaitan kelebihan penghafaz Al-Quran.
Ustazah, macam mana ye, jika orang tu menghafaz al-Quran, tapi akhlak di teruk, dia tetap dapat bagi syafaat kepada ahli keluarganya juga ke? Tapi dia jahat.” Soalan ini…….


SOALAN KEEMPAT
Selesai slot selawat Tobibiyyah bersama murid tahun 5 yang tersangat nakal, (Alhamdulillah kelebihan selawat mampu menenangkan kenakalan mereka). Anis ada menyentuh berkaitan Yaumul Hisab. Selesai slot ini, seorang murid perempuan dengan muka yang sangat sedih, datang bertemu dan bertanya soalan.
Ustazah, macam mana ye, jika mak tiri saya dan adik beradik tiri saya sentiasa memperlakukan saya dengan teruk, membuat pelbagai perkara yang menyakitkan saya. Adakah mereka perlu memohon maaf kepada saya? Andai saya tak memaafkan mereka bagaimana? Apa yang harus saya lakukan. Mereka dah tahu perkara tu salah. Tapi tetap buat saya macam ni.” Luahan hati dengan pandangan berkaca-kaca. Anis berkongsi suatu jawapan yang cukup dekat. Kisah Sang Pencinta Agung, Rasulullah S.A.W, dia dapat menyambung kisah dengan baik. Akhirnya Anis berharap agar Allah sentiasa memberikan yang terbaik dan keredhaan dalam apa jua yang ditempuhinya.



Ada banyak lagi soalan-soalan murid yang Anis kira, sangat kita tidak boleh meninggalkan mereka dalam terkapai-kapai tetapi andai tidak tahu jawablah dengan jujur, “tidak tahu” dan carilah jawapan dengan segera agar mereka mendapat hak mereka sewajarnya dan kita juga mendapat ilmu baru, walaupun kadangkala banyak soalan-soalan yang tidak masuk dek akal tetapi itulah tahap pemikiran mereka. Jawablah dengan bilhikmah dan sesuai dengan tahap mereka.



Sekadar menaip, dicelah-celah waktu menaip ayat assignment….
9 September 2012,
M302,
2.27 p.m.

No comments: