Wednesday, November 21, 2012

Memaknakan 1, memburu 99




Bismillahirrahmanirrahim.



LIHAT-LIHAT



Bila melihat indahnya bintang yang Allah ciptakan, hati tidak henti-henti memuji. (Maaf, sebab selalu sebut bintang ^_~)


Berjalan di aspuri menuju ke bilik, kaki terhenti di anjung.


“Ya Allah… cantiknya. Subhanallah…”


Mata terpaku pada terang dan bulatnya rembulan.  Indahnya sangat menenangkan dan menyenangkan. Cahaya memagari bulan dan terpantul menerangi kepekatan malam.




Teringat, saat menyiapkan satu tugasan fotografi, tidak henti-henti merakam gambar indahnya alam. Di sini merakam “kecomelan” bunga yang menghias alam dengan pelbagai warna. Mendongak ke atas pula, merakam gerak tari awan yang berarak dengan pelbagai ragam mencorakkan lukisan di dada langit. Pabila kepada tertunduk ke bawah, terpandang hijaunya dedaun, benar-benar mengikat hati untuk terus terpaku pada ciptaan alam.




Diri sendiri terfikir, masya Allah, jika beginilah Allah mencorakkan alam, bagaimana pula keindahan syurga? Iaitu apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia.




Nabi SAW bersabda dalam hadith Qudsi, “Allah berfirman, ‘Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaKU yang soleh, apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia”. (HR Bukhari dan Muslim)



Subhanallah, sesuatu yang luar biasa ini sudah tentu Allah kurniakan kepada hambaNya yang luar biasa. Luar biasa di pandanganNya hingga terpilih menerima rahmatNya. Kalau kita melihat keindahan di dunia pun kita sudah kagum, bagaimana pula bila melihat keindahan syurga? Bagaimana pula bila melihat keindahan Yang Maha Mencipta? Apa perasaan yang terdetik tika itu? Tak dapat digambarkan bukan?


“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka Melihat.” (Al-Qiyamah 22-23)


MEMBURU RAHMATNYA



Tertunduk penuh rasa kehambaan, pabila membaca satu hadis. Dengan izin Allah, benar-benar menusuk halus ke dalam hati ini.


Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. sabda Baginda yang bermaksud : “Allah mencipta rahmat dalam 100 bahagian. Dia menahan di sisi-Nya 99 bahagian (rahmat) dan menurunkan ke bumi satu bahagian sahaja.” (HR Bukhari)



Hati membayangkan, betapa…dengan satu bahagian inilah, semua makhluk berkongsi di dunia ini, itupun sudah tidak tersambut rahmat-Nya yang melaut luasnya. Apatah lagi dengan baki yang bakal dinikmati di sana kelak. Sungguh! Dengan satu rahmat ini sudah mampu menyebabkan hati terpesona dengan dunia dan seisinya. Apatah lagi baki 99 rahmat di sisi-Nya.



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t memiliki 100 rahmat (nikmat) satu rahmat daripadanya diturunkan-Nya dan dibahagi-bahagikan di antara jin, manusia, haiwan-haiwan besar dan kecil. Dengan rahmat yang satu itu, semua makhluk tersebut saling sayang menyayangi dan kasih mengasihi. Dengan rahmat yang satu itulah seekor keldai menyayangi anaknya. Adapun rahmat yang 99 lagi disediakan Allah s.w.t buat kehidupan di akhirat. Dengan rahmat yang 99 itulah Allah akan mengasihi hamba-Nya pada hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Bergenang air mata ini membaca hadis tadi.


Allah mengirimkan kefahaman buat diri ini. Selama ini aku membaca hadis riwayat Bukhari yang menceritakan dialog Rasulullah dan sahabat. 

Rasulullah s.a.w: “Amal seseorang tidak mampu menjamin dirinya.”
Sahabat: “Apakah termasuk engkau , wahai Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w: Ya, termasuk aku juga. Hanya rahmat Allah.”


dan kini Allah telah mengizinkan diri ini untuk lebih memahami. Alhamdulillah.



Sesungguhnya, baki 99 rahmat Allah inilah yang dimaksudkan dalam hadis tadi:


Nabi SAW bersabda dalam hadith Qudsi, “Allah berfirman, ‘Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaKU yang soleh, apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia”. (HR Bukhari dan Muslim)


BELAJAR RINDU



Sedang menunggu seorang guru untuk menuntut ilmu. Tangan membelek-belek sebuah bahan ilmiah. Cuba menghilangkan rasa mengantuk di kepekatan malam. Hati terketar. Bila membaca artikel betapa sebenarnya kita harus sedar dan belajar. Belajar untuk rindukan syurga. Belajar untuk merindui syurga sebagai salah satu cara untuk merindui yang menciptakannya.

Pandang bunga. Berfikir betapa indahnya lagi Syurga yang Allah janjikan. Bila pandang sungai latih hati untuk makin mengislahkan diri kerana nikmat di sana lebih hebat dari satu rahmat yang mempesonakan ini. Jadikan keindahan ciptaan Allah di dunia sebagai inspirasi mengejar keindahan sebenar-benarnya keindahan.


Jom sama-sama impikan syurga!


Sama-sama sentiasa beramal dengan doa yang di ajar oleh Rasulullah ini:

“ Ya Allah aku meminta padaMU kelazatan melihat wajahMU dan rindu bertemu denganMu.” (HR Ahmad danAnNasa’i)

P/s : Sungguh, bagi orang-orang yang Allah pilih, mereka sebenarnya telah diperlihatkan syurga di DUNIA lagi, ketika saat mati menjemput mereka sebagaimana Asiah telah diperlihatkan mahligai yang telah dipersiapkan untuknya di syurga. T_T


Fi baiti Sakinah,
21 November 2012,
11.33 P.M

4 comments:

SyaheeDah said...

masyaAllah..

"memaknakan 1 memburu 99"

ayat ringkas, namun pengertiannya mendalam..

sangat mendalam untuk dimaknai dalam seluruh kehidupan.

*seperti ku kenal insan disebelahmu itu..

^__^

Sepintas said...

masyaAllah

Anis said...

----> ida

betul ida... menangis saat Allah mberikan kefahaman btapa rahmatnya sgt besar

hehe opkosla...kekasih hati deme tu kan?

Anis said...

---- >sepintas

indahnya kehendak ALLAH untuk hambanya