Saturday, November 24, 2012

"Sardin"


Bismillahirrahmanirrahim…



Sejuk malam menyentuh lembut kulit. Mata melihat jam sekejap-sekejap. Lambat lagi train bakal tiba. Mata sudah melekat, seperti sudah ditampal gam UHU (huhu). Namun dek kerana hati menjerit mahu pulang, terus dilayan kehendak hati untuk melangkah pulang malam ini.  Biarlah menghabiskan sisa ulangkaji di rumah sahaja. Jamuan usrah selesai, jamuan kelas juga baru beberapa minit selesai. Badan masih kepenatan. Dua hari sebelum menemani sahabat dirawat di Selangor. Otak ligat memikirkan peristiwa yang berlaku dua hari yang lepas sebelum kami (Anis dan sahabat) mengambil keputusan untuk terus pulang. Betapa ujian menimpa seorang sahabat dan betapa syaitan itu benar-benar menyesatkan manusia hingga ada beberapa angka umat ini begitu tega membelakangkan agama dan mengutamakan kehendak hawa nafsu semata-mata.


Cuti perayaan yang mendatang ini seakan membuka ruang bagi bernafas, meninggalkan kabut dan serabut jiwa yang mencengkam. Syukur, walaupun satu demi satu potret kehidupan dilalui dengan pelbagai cuaca, ada yang dingin, hujan serta ribut, tinggal hanya bersandarkan pada tiang tauhid mengutuhkan kaki untuk terus berdiri.


Allahu Akbar.


Sebentar tadi kami sempat berbaring sekejap-sekejap di surau. Beberapa masa kemudian, jarum menunjukkan angka 3 pagi. Kami bingkas bangun dan terus melabuhkan punggung di bangku sambil menunggu. Bosan menunggu, kami menjamu mata melihat karenah manusia di stesen Keretapi Kuala Lipis. Mengelamun sebentar. Hening suasana yang membelenggu perasaan di sebalik kelam manusia stesen ini dikejutkan oleh tiupan wisel yang menandakan keretapi telah tiba. Anis dan dua orang sahabat terus berdiri. Umpama terkena renjatan elektrik, terkejut :P .


Segera berlari menuju mana-mana pintu yang terbuka. Masya ALLAH! Terkejut dengan ratusan manusia dalam gerabak yang kecil ini. Benar-benar tawakkal. Dalam hati punya perasaan bingung, hendak diteruskan kehendak untuk pulang atau mahu tunggu train seterusnya. Melihat gelagat dua sahabat yang berusaha untuk pulang juga menyebabkan kaki terus berusaha untuk melangkah naik. Seorang pak cik membantu kami. “Kesardinan” keretapi ini menyebabkan pintu pun tidak dapat dibuka. Pintu hanya dapat ditolak sedikit sahaja. Cuba juga untuk masuk. Alhamdulillah akhirnya kami berjaya. Kaget melihat ramai lagi insan yang ingin menaiki keretapi tetapi tidak berjaya akibat kepadatan penumpang dalam gerabak kali ini. Allah… betapa Allah benar-benar membantu.


UJIAN DISEBALIK RUANG YANG DIBERI


Beg pakaian yang berat dipenuhi buku-buku untuk ulangkaji di samping beg komputer riba yang digalas sedikit pun tidak mencuri perhatian penumpang untuk memberi ruang kepada kami lantaran mereka juga dalam keadaan yang sama. Kepekatan malam dilalui dengan kepenatan berdiri. Akhirnya terduduk juga dalam keadaan sangat tidak selesa. Bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan bersesak berdiri. Hati terdetik. Beberapa masa lagi subuh bakal membuka tirai.



Macam mana kita nak solat ni? Nak bergerak ke kanan tak boleh, ke kiri pun tak boleh juga. Apatah lagi hendak mengambil wudhuk di tandas. Di mana kita nak solat ni?”



Sahabat meluahkan sama seperti di benak fikiran ini.



Jom kita beli air mineral dulu.” Cetus seorang sahabat sambil memandang air mineral yang terletak di tepi kami. Kebetulan kami berada dalam gerabak kantin.

Anis membeli air mineral untuk berwudhuk. Terfikir. Bagaimana mahu berwudhuk? Pasti aurat akan terdedah kepada ajnabi.

Timbul persoalan, bolehkah bertayammum? Sedangkan air masih ada di tandas namun keadaan menyebabkan tidak boleh bergerak ke mana-mana hanya mampu “static” di tempat kami berdiri sahaja. Air juga ada dalam beberapa botol yang kami beli.

Kalau tak pasti, kita rujuk ustaz nak?” Anis cuba melontarkan pandangan. Kebimbangan makin menusuk dalam fikiran yang tidak berapa sihat. Rasa pening sudah menjenguk minda lantaran tidak cukup tidur. Bimbang juga encik migraine datang mengetuk pintu.

Ada ke ustaz nak balas mesej dalam waktu begini?”

“Tak pe, kita cuba dulu ye. Anis cuba forward mesej ni kepada beberapa orang ustaz dan beberapa sahabat, kita dengar apa pandangan mereka terlebih dahulu.”


Satu lagi ujian dalam keretapi. Ketiadaan line telefon. Terpaksa bersabar dalam menghantar mesej. Beberapa mesej sudah dihantar. Mata melirik lembut pada jam di telefon bimbit. Sudah subuh. Bimbangnya hati ditusuk keraguan pilihan jawapan. Ujian mengaplikasikan ilmu yang dipelajari bersimpang siur dengan jawapan sahabat. Syaitan sengaja menimbulkan keraguan. Menunggu dengan sabar jawapan daripada mana-mana insan pilihan Allah.


Assalamualaik ustaz. Maaf mengganggu di subuh hari. Ustaz, kami sekarang dalam gerabak keretapi, terlalu sesak hingga hendak bergerak sedikit pun tidak mampu. Sekarang subuh sudah masuk waktunya. Kami hendak berwudhuk tapi bimbang aurat kami akan terdedah disebabkan kami tidak dapat ke tandas, hanya air mineral sahaja ada di tangan. Apakah yang patut kami lakukan?”

Setelah beberapa seketika,



Beberapa minit kemudian seorang Ustaz membalas mesej. Ringkasnya, dalam situasi ini dibolehkan bertayammum. Hati gembira hingga mulut tak dapat ditutup. Allah memberikan jalan. Syukur. Tapi di mana kami hendak solat. Hendak mencapai dinding pun tidak mampu. Kerana kami hanya berdiri di tengah-tengah gerabak.

Kita cuba minta tolong pak cik tu nak? Minta pinjamkan tempat untuk kita solat sekejap.” Ujar salah seorang daripada kami.


Takut. Malu tapi mahu. Cepat hati… cepat!


Pak cik, boleh tak kami mahu meminjam tempat pak cik untuk solat. Sebentar saja….” Seorang sahabat memberanikan diri untuk bertanya.


Boleh-boleh.”


Dengan izin Allah, saat itu, beberapa orang di hadapan pak cik itu turut mempelawa kami untuk mengambil tempat duduk mereka. Dalam kepadatan manusia itu, kami bertayammum bergilir-gilir sambil menutupi seorang demi seorang bimbang aurat lengan terdedah. (Syukur, tudung yang labuh dan besar sangat membantu diri kami) . Setelah itu, kami solat secara duduk di atas bangku.


Lega dan tenang. Satu perasaan yang tidak dapat digambarkan betapa nikmat anugerah “mudah” untuk beribadah sebelum-sebelum ini mula dirasai.

Setelah selesai kami bingkas bangun dan sahabat Anis segera membuka mulut, menjemput pak cik-pak cik tadi untuk duduk dan solat. Namun, mereka tidak mahu, menolak sambil tersenyum.

Tak pe- tak pe. Duduk-duduk,” Pak cik itu senyum.

Kami bingung, adakah Pak Cik itu segan dengan kami atau bagaimana?

Satu perasaan terselit. S.E.D.I.H. Melihat dalam KESARDINAN bilangan muslim dalam gerabak tiada seorang pun yang solat. Mungkin mereka solat menghormati waktu. Cuba berbaik sangka. Akhirnya waktu subuh terus berlalu begitu sahaja. Sudah beberapa kali Anis melihat situasi ini. Sama seperti suatu artikel yang pernah Anis tulis suatu ketika dahulu.



ALLAH MAHU MENGAJARIMU

Benar, dari peristiwa ini, banyak sekali Allah memberikan kami pengajaran.
1) Allah telah memilih seorang yang cukup kami segani untuk membantu kami membuat keputusan. Di saat kami keliru dan ragu-ragu adakah ada manusia yang sanggup menjawab persoalan di subuh hari. Kami tawakkal. Justeru, Allah memberi jawapannya. Benar, pasti ada jalan. Allah telah menghantar seseorang untuk kami.

2) Allah memberi peluang kepada kami untuk mempraktiskan ilmu yang kami ada. Selama ini hanya mengajari anak-anak murid bertayammum, namum belum berkesempatan melaksanakannya sendiri. Lihat, Allah memberi ruang dan peluang.

3) Allah memberi peluang dakwah bil hal. Betapa ramai mata-mata memerhati gerak laku kami bersolat. Kami melihat riak muka mereka juga berubah tatkala diajak untuk menunaikan solat.

4) Allah juga mengajari kami soal tawakkal dan sabar. Dua jam setengah berdiri dengan penuh sabar dan berbincang mencari jawapan. Akhirnya Allah memberi kemudahan untuk kami duduk pada 3 jam yang berikutnya.

5) HIKMAH bertudung labuh, mempermudahkan urusan saat bertayammum, lengan dapat ditutup dengan tudung labuh, besar. Syoknya tutup aurat dengan sempurna.

6) Paling berbekas di hati, Allah juga menganugerahi perasaan nikmat beribadah kepada kami, dan kami belajar untuk menghargai nikmat “mudah” untuk beribadah.



Walaupun ini hanya sebuah KISAH BIASA, NAMUN IA TETAP TERLEKAT UTUH DI MEMORI Anis!



Nota 1   :Sungguh, bersama kesulitan itu ada kemudahan.  Di sebalik musyaqqah itu pasti terselit hikmah. Teringat kata-kata Qawalun : "Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami selalu berprasangka baik kepada Allah!"


Nota 2   : Peristiwa ini berlaku hampir 14 bulan yang lepas. Dengan ujian yang berlaku pada sahabat A, menyebabkan hati mahu segera pulang. Hikmahnya, sahabat B yang pulang bersama mampu meluangkan masa “emas” bersama arwah bondanya sebelum bertemu Rabbul ‘Izzati beberapa masa selepas itu. Menerima khabar sedih di hari wukuf di PUTIK, dan dikejutkan dengan berita kepulangan bondanya menghadap Allah sehari sebelum menduduki peperiksaan. Moga ALLAH mengampuni dosa-dosanya serta menjadikan lubang kuburnya salah satu dari taman-taman syurga serta menjadikannya dalam kalangan hamba yang mendapat rahmatNya di sana nanti. Amin






Hidup adalah untuk mengolah seni kematian. Belajarlah menulis Prasyarat Kematian, sebuah ingatan kewajipan yang perlu dilaksanakan buat diri ini sehinggalah nafas terakhir. Moga setiap hari lebih bermakna.

Rantaian beberapa memori bermakna sengaja aku coretkan,
24 November 2012,
2.00 P.M




5 comments:

SyaheeDah said...

>kesardinan< ^__^

kehidupan yang mengajar kehidupan..

moga Allah beri kita kesempatan untuk menghadam hikmah di sebalik 'kesardinan' kisah hidup yang diberiNya..

jzkk k.anis!

Sepintas said...

Assalamualaikum..Manis sungguh peristiwa 'kesardinan' itu.

Anis said...

----- ida

Hidup untuk belajar menuju sebuah kehidupan. ^^.

Anis said...

----> sepinta

manis jika dipandang dengan hati y manis ^^.

RuMaH TuA said...

Sardin buat sandwich pun ok. Hik3
Tp 'sardin' yang ni buat makanan rohani. Lagi sedap...

Mungkin pakcik tu belum nampak nilai solat pada waktu itu.
Tapi dia dah nampak nilai pada ruang solat itu.
Mungkin tidak hari itu.
Tapi pada hari akan datang.

Sama berdoa.

Moga Allah kasih dirimu...