Bismillahirrahmanirrahim
Selalu sahaja babak demi babak menerjah masuk ke dalam ruang
sketsa kehidupan kita. Terkadang babaknya amat menyentuh emosi sehingga mampu
mengalirkan aliran jernih dari hujung mata. Tidak kurang juga babak yang mampu
menguntumkan senyuman yang bermakna. Apa yang terpenting cara kita memaknakan
setiap babak yang muncul dalam diari seorang musafir ini. Benar, terkadang dengan akal dan ilmu yang terbatas
ini, kita jarang memahami hikmah yang disampaikan olehNya.
Benarlah,Maha Suci Allah yang tidak menjadikan pangkat sang hamba sebagai nilaian di
sisiNya, Maha Suci Allah yang tidak menjadikan harta sebagai ukuran disisiNya,
Maha Suci Allah yang tidak menjadikan paras rupa sebagai kayu ukur disisiNya,
Maha Suci Allah kerana menjadikan KETAQWAAN sebagai nilaian untuk mendapat
tempat di sisiNya, dicintai dan dikasihi serta diredhaiNya.
KISAH 1 : PENJUAL AISKRIM
Kayuhan basikal itu tidak terlalu laju. Sinar mentari yang terik pasti bahangnya cukup dirasai oleh si penjual aiskrim itu.
Kring...kring!
Bunyi loceng basikal itu pasti sangat ‘familiar’ buat
sesiapa sahaja. Seperti biasa, salah seorang daripada ahli keluarga Anis akan
segera berlari sambil memanggil si penjual aiskrim itu. Seorang pak cik si penjual
aiskrim segera memberhentikan basikalnya
lantas mengambil pesanan daripada kami. Pak cik itu tenang sekali. Sungguh jiwa
Anis tersentuh ketika itu, setiap dari perbuatannya satu demi satu diiringi
dengan basmalah. Saat dia membuka penutup bekas aiskrim, saat dia mengambil ‘senduk’ untuk mencedok aiskrim, saat dia mengambil roti, saat
setiap kali dia mencedok aiskrim semuanya diiringi dengan basmalah. Begitulah
setiap kali Anis memerhatikan tingkah lakunya dalam berniaga. Tidak berkira,
pemurah. Mungkin dari situlah adanya keberkatan. Hatta, kini dia mampu membeli
motosikal bagi menggantikan basikalnya untuk mencari rezeki. Dengan basmalah yang
masih basah dibibir terus menerus sambil mencari rezki dia
telah berjaya membesarkan anak-anaknya dan menafkahi si isteri.
KISAH 2 : PEKERJA HOTEL
Waktu itu kelam kabut dibuatnya. Abah sudah bising dek
kelewatan. Dia tidak mahu terlewat dan mahu solat subuh di masjid dan terus ke
tempat konvokesyen abang. Seperti biasa, abah merupakan insan yang paling
alergik dengan traffic jam. Pada malam tadi, kami bermalam disebuah
hotel bajet di Gombak. Saat kekalutan itu, dihadapan bilik ada sebuah ruang
dobi dan menggosok baju berdinding kaca. Ruang dobi dan menggosok baju itu
betul-betul dihadapan bilik kami. Saat itu, pasti masih ramai dihanyut mimpi
namun tidak bagi seorang pemuda pekerja hotel ini. Sedang kami sedang kalut
mengangkut barang-barang dari bilik ke kereta, dia masih tenang solat malamnya di sudut kecil dan sempit itu. Beberapa kali kami melalui ruang itu. Solatnya diteruskan sehingga
berkemundangnya azan subuh.
KISAH 3 : PENIAGA NASI AIR
Warungnya kecil sahaja. Namun, masyaALLAH, pelanggannya
terus menerus tanpa putus. Kata mak, rahsia keberkatannya ada dalam diri si
peniaga itu. Saat kerjanya, dia sangat fokus dan pemurah serta tidak membiarkan kata sia-sia meluncur dari lidahnya. Kalamnya
cukup dengan mengalunkan ayat-ayatNya. Begitulah si peniaga yang dekat
hubungannya dengan sang kholiq. Lidahnya tidak kering daripada mengingatiNya.
KISAH 4 : PENJUAL CENDOL
Seorang pemuda terasa cukup dahaga. Ingin sekali dia membasahi kerongkongnya dengan air dek kepenatan membeli belah mencari barang keperluannya. Saat langkahnya menuju ke sebuah
gerai kecil yang menjual cendol dan air kelapa, saat itu juga azan asar
berkumandang dari arah masjid yang bertentangan dengan gerai tersebut. Namun, langkahnya masih lagi diteruskan dek dahaga yang masih dirasai.
“Assalamualaikum bang, nak air kelapa satu.” Ujar si
pemuda.
“Maaf, dah tak jual dah. Dah azan, nak gi solat.” Si
penjual cendol laju menutur kata.
“Bang, saya nak beli air satu je. Kejap je.”
Si penjual terus bertegas dengan
pendiriannya. Dia terus meninggalkan gerai kecil dan pelanggannya itu. langkahnya hanya
satu, menuju rumah Allah tanpa risau hilang dunia dan rezeki dari hidupnya kerana dia yakin Allah itu al-razzaq, Maha Memberi Rezki.
MasyaALLAH, jiwa-jiwa inilah yang wajar kita contohi.
Jiwa-jiwa yang mencontohi belahan jiwa S.A.W yang senantiasa mengejar cinta Allah. Kadang dek kerana jawatan, kerana
pekerjaan, kerana usia, kerana rupa, kerana rumah kita lebih besar daripadanya,
kerana kereta kita lebih mahal daripadanya, hati merasa ‘besar’ dan memandang
si dia ‘kecil’ sekali. Merasa diri lebih baik dek kerana semua itu adalah satu
penyakit kesombongan kepada sang khaliq. Sedang tanpa sedar iman kita sedang
menipis dan bisa sahaja iman mereka pula makin menebal. Duhai diri, jangan biarkan dunia itu bermukim di
daerah hatimu. Biarkan ia teristimewa untuk sang khaliq dan kekasihNya.
Kejarlah akhirat, pasti jalan di dunia ini akan
dimudahkan untuk kita. Benar, maka rugilah siapa pun yang tidak pernah
mempersiapkan perjumpaan dengan Tuhannya. Rugilah siapa pun yang tidak pernah
tahu apa-apa tentang Tuhannya. Rugilah mereka yang tidak pernah menyedari
kurniaan Allah dan nikmat daripadaNya yang tidak pernah berhenti.
Hidup ini terlalu singkat tanpa penghambaan dan
pengabdian kepada Allah
SeJUJURnya, diri ini masih terus mencemburui insan-insan
disekelilingku yang terlebih dahulu tenggelam dalam cinta kepada Allah yang
Maha segalanya sedang hati ini masih lagi hanyut dalam kecintaan dunia. Moga
ALLAH memegang hatiku supaya setiap saat
semakin terus mencintai dan merinduiNya dengan cara dan kehendakNya.
Fi baiti sakinah,
Ahad,
19 Januari 2013,
12.36 a.m.