Bismillahirrahmanirrahim
Beberapa minggu
yang lalu, tersebar rakaman video seekor gajah liar di RnR di Banjaran
Titiwangsa. Bagi pengguna tetap lebuh raya ini, bertemu dengan haiwan tersebut adalah
perkara biasa. Malah, saya juga pernah merakamankan video detik bertemu sekumpulan
gajah di sana. Tetapi ada satu peristiwa yang luar biasa bagi kami sekeluarga,
apabila bertemu dengan sekumpulan gajah berwarna putih. Peristiwa ini berlaku ketika
dalam perjalanan pulang ke kampung halaman untuk menziarahi arwah nenek yang
sedang sakit dan tidak lama kemudian selepas itu, nenek meninggal dunia. Ada
satu peristiwa yang cukup menggoncang hati kami sekeluarga, 40 hari sebelum
kematian nenek, nenek telah menceritakan satu rahsia kepada salah seorang sepupu
saya. “Aku akan mati dalam 40 hari lagi, betul tak doa yang aku amal ni akan memudahkan
menghadapi kematian?” Tanya nenek kepada sepupuku. Lantas, dia menggiyakan
persoalan nenek. Maka, nenek berterusan menggamalkan doa tersebut sehinggalah
hari kematiannya. Setelah kematian nenek, barulah sepupu tadi menceritakan
kepada kami sekeluarga sehingga semua menangis teresak-esak mendengar rahsia
yang disimpan selama ini. Kisah ini diceritakan kembali oleh ibu saya 3 minggu
yang lepas. Sambil mengimbas kembali detik-detik akhir pemergian nenek sebelah
ayah saya pada tahun 2000, kira-kira 18 tahun yang lalu ketika saya berusia 10
tahun. Husnul khatimah, itulah pada pemerhatian kami kerana nenek seorang yang
baik dan kematiannya juga berakhir dengan kalimah Allah dalam keadaan baik.
Seusai tarawih malam tadi, saya
sempat melihat laman sosial instagram (MATW_Project). Luluhnya hati apabila
membaca khabaran saudara Ali Banat telah kembali kepada Allah sebelum waktu
Maghrib. Siapa yang pernah menonton sebuah klip video kisah hidup Ali Banat
sekitar tahun 2015 pasti akan tersentuh hati melihat perubahan hidupnya setelah
didiagnos menghidap kanser dan doktor menjangka beliau hanya ada masa beberapa
bulan untuk hidup. Tetapi Allah SWT telah memanjangkan hidupnya sebanyak 3
tahun dari jangkaan doktor. Ali Banat merupakan anak tunggal jutawan Australia
yang dulu hidup dalam kemewahan dirinya telah menukar haluan hidup dengan
berkongsi kemewahan hidup dengan golongan miskin di Afrika. Mendengar
pertuturannya terasa kedekatan dirinya dengan sang pencipta. Kata mak, benarlah
hadis Rasulullah bahawa sedekah itu dapat memanjangkan usia seseorang.
Sepanjang mengikuti perkembangan aktiviti kebajikannya ada masa beliau sakit,
kemudian setelah kembali kuat beliau meneruskan aktiviti kebajikan sehingga
nafas terakhirnya. Cukup banyak hati yang kembali hidup setelah kematiannya.
Masya Allah, kembalilah dikau dalam keadaan yang cukup redha dan diredhai
Tuhanmu. Kami menjadi saksi setiap kebaikanmu.
Mendengar kisah orang
disekeliling kita, mati dalam husnul khatimah, lantas kita pastinya teringin
untuk mempunyai pengakhiran yang sama. Teruslah menyeru, wahai Allah yang Maha
membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam kebaikan, kukuhkanlah hati
ini ya Allah agar tetap taat kepadamu ya Allah. Bukan hanya ketika kehidupan
kami atau seketika sahaja setelah kami memohon tetapi sehingga pengakhiran
nafas kami ya Allah. Ummu Salamah ketika ditanya apakah doa yang sering
diamalkan oleh Rasulullah SAW, maka Ummu Salamah berkata: Rasulullah SAW sering
sekali membaca: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkan hatiku pada
agama.”
Doa ini
semestinya satu rintihan agar hidup kita sentiasa dalam kebaikan agama dan rintihan
hati yang menginginkan sebuah kematian dalam agama. Doa ini juga membawa
maksud, pada saat kematian, kita ingin sekali menjulang sebuah kematian yang
disebut sebagai husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik dan kita
tidak pulang kepada Allah dalam suu ul khatimah iaitu pengakhiran yang
buruk (jauhkanlah ya Allah).
10.29 Pagi,
14 Ramadan 1439H,
Catatan di Bumi
Serambi Mekah.