Tuesday, May 1, 2018

IBRAH DARI MIMPI SI KECIL BERTEMU RASULULLAH

Bismillahirrahmanirrahim.

Kisah ini saya tulis pada bulan Jamadil Awal yang lalu. Saya hanya kongsikan sesama keluarga dan sahabat asatizah. Tapi hari ini, saya ingin kongsikan dengan sahabat-sahabat maya.

21 Jamadil Awal 1436, seusai set induksi tajuk Pembentukan Negara Islam Madinah. Saya sempat menyelit bertanya satu soalan. “Siapa kat sini rasa rindu sangat nak jumpa Rasulullah?” Semua murid mengangkat tangan. Ada juga murid yang masih terpinga-pinga. Mungkin hairan dengan soalan itu. Seperti biasa, kalau ada murid yang tidak angkat tangan, pasti rakan sebelahnya akan cuit-cuit dipaksa agar rakannya itu mengangkat tangan. Geli hati saya melihat gelagat anak-anak Syurga ini.

Tiba-tiba seorang murid mengangkat tangan sambil memandang saya, orangnya comel, montel sekali. Katanya dengan nada yang agak perlahan, “Saya pernah mimpi jumpa dengan Rasulullah, ustazah.” Hati saya terus bergetar melihat muka murid itu tadi. Masya ALLAH terus rasa nak peluk murid tadi. Mulianya dipilih Allah sebegitu rupa. 

Murid-murid yang lain terus memandangnya. Kedengaran suara berbisik-bisik. 

"Wah! Untung kau." 

"Wah! Betul ke?"

Terus saya bacakan hadis ini kepada mereka: “ Sesiapa yang melihatku dalam tidurnya, sebenarnya dia memang sudah melihatku. Sebab Syaitan tidak dapat menyamar menjadi aku.” (Direkodkan oleh Tirmizi dan Ibnu Majah)

Seusai kelas, saya menghampiri murid saya tadi yang sedang memakai kasut. Saya bertanya soalan yang membuatkan hati saya sebak. Saya panggil nama murid itu dan saya tanya, bagaimana rupa Rasulullah dalam mimpinya. Katanya,” Saya tak dapat lihat dengan jelas ustazah. Sebab Muka Rasulullah penuh dengan cahaya. Saya jumpa di suatu tempat di padang pasir. Mimpi itu ketika saya mengerjakan umrah di Tanah Haram. Ada yang Rasulullah pesan pada saya. Malangnya saya tak dapat memahami kerana dalam bahasa arab. yang saya faham cuma ayat ini, ana Rasulullah, ketika Rasulullah memperkenalkan dirinya.” 


Rasa sebak dan cemburu sangat. Dalam ramai anak murid yang kita tahan karenahnya, siapa sangka ada dalam kalangan mereka mendapat kelebihan dan rezeki yang saya kira sangat membuatkan hati saya sayu dan membuatkan diri saya tertanya. Mengapa masih belum dipilih Allah untuk merasai nikmat itu? Jawapannya ada dalam diri saya dan saya sendiri menangis memikirkannya.


Nurul Anis Abu Bakar,
Khamis,
21 Jamadil Awal 1436,
12 Mac 2015.

No comments: