Tuesday, May 29, 2018

Indah Pengakhiran mereka


Bismillahirrahmanirrahim

Beberapa minggu yang lalu, tersebar rakaman video seekor gajah liar di RnR di Banjaran Titiwangsa. Bagi pengguna tetap lebuh raya ini, bertemu dengan haiwan tersebut adalah perkara biasa. Malah, saya juga pernah merakamankan video detik bertemu sekumpulan gajah di sana. Tetapi ada satu peristiwa yang luar biasa bagi kami sekeluarga, apabila bertemu dengan sekumpulan gajah berwarna putih. Peristiwa ini berlaku ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman untuk menziarahi arwah nenek yang sedang sakit dan tidak lama kemudian selepas itu, nenek meninggal dunia. Ada satu peristiwa yang cukup menggoncang hati kami sekeluarga, 40 hari sebelum kematian nenek, nenek telah menceritakan satu rahsia kepada salah seorang sepupu saya. “Aku akan mati dalam 40 hari lagi, betul tak doa yang aku amal ni akan memudahkan menghadapi kematian?” Tanya nenek kepada sepupuku. Lantas, dia menggiyakan persoalan nenek. Maka, nenek berterusan menggamalkan doa tersebut sehinggalah hari kematiannya. Setelah kematian nenek, barulah sepupu tadi menceritakan kepada kami sekeluarga sehingga semua menangis teresak-esak mendengar rahsia yang disimpan selama ini. Kisah ini diceritakan kembali oleh ibu saya 3 minggu yang lepas. Sambil mengimbas kembali detik-detik akhir pemergian nenek sebelah ayah saya pada tahun 2000, kira-kira 18 tahun yang lalu ketika saya berusia 10 tahun. Husnul khatimah, itulah pada pemerhatian kami kerana nenek seorang yang baik dan kematiannya juga berakhir dengan kalimah Allah dalam keadaan baik. 


                Seusai tarawih malam tadi, saya sempat melihat laman sosial instagram (MATW_Project). Luluhnya hati apabila membaca khabaran saudara Ali Banat telah kembali kepada Allah sebelum waktu Maghrib. Siapa yang pernah menonton sebuah klip video kisah hidup Ali Banat sekitar tahun 2015 pasti akan tersentuh hati melihat perubahan hidupnya setelah didiagnos menghidap kanser dan doktor menjangka beliau hanya ada masa beberapa bulan untuk hidup. Tetapi Allah SWT telah memanjangkan hidupnya sebanyak 3 tahun dari jangkaan doktor. Ali Banat merupakan anak tunggal jutawan Australia yang dulu hidup dalam kemewahan dirinya telah menukar haluan hidup dengan berkongsi kemewahan hidup dengan golongan miskin di Afrika. Mendengar pertuturannya terasa kedekatan dirinya dengan sang pencipta. Kata mak, benarlah hadis Rasulullah bahawa sedekah itu dapat memanjangkan usia seseorang. Sepanjang mengikuti perkembangan aktiviti kebajikannya ada masa beliau sakit, kemudian setelah kembali kuat beliau meneruskan aktiviti kebajikan sehingga nafas terakhirnya. Cukup banyak hati yang kembali hidup setelah kematiannya. Masya Allah, kembalilah dikau dalam keadaan yang cukup redha dan diredhai Tuhanmu. Kami menjadi saksi setiap kebaikanmu.
 
                Mendengar kisah orang disekeliling kita, mati dalam husnul khatimah, lantas kita pastinya teringin untuk mempunyai pengakhiran yang sama. Teruslah menyeru, wahai Allah yang Maha membolak balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam kebaikan, kukuhkanlah hati ini ya Allah agar tetap taat kepadamu ya Allah. Bukan hanya ketika kehidupan kami atau seketika sahaja setelah kami memohon tetapi sehingga pengakhiran nafas kami ya Allah. Ummu Salamah ketika ditanya apakah doa yang sering diamalkan oleh Rasulullah SAW, maka Ummu Salamah berkata: Rasulullah SAW sering sekali membaca: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkan hatiku pada agama.” 


Doa ini semestinya satu rintihan agar hidup kita sentiasa dalam kebaikan agama dan rintihan hati yang menginginkan sebuah kematian dalam agama. Doa ini juga membawa maksud, pada saat kematian, kita ingin sekali menjulang sebuah kematian yang disebut sebagai husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik dan kita tidak pulang kepada Allah dalam suu ul khatimah iaitu pengakhiran yang buruk (jauhkanlah ya Allah).


10.29 Pagi,
14 Ramadan 1439H,
Catatan di Bumi Serambi Mekah.
  

No comments: