Tuesday, May 1, 2018

IBRAH DARI SAMPAH DAN SALAM




 Bismillahirrahmanirrahim.

Pagi ini ketika riadhah, direzekikan Allah bertemu dua nasihat untuk diri sendiri.

Pertama, melihat sekumpulan non muslim dari Methodist Church (sempat bersambang dengan salah seorang ahli mereka) yang mengutip sampah sarap seawal jam 6.30 pagi hasil tangan yang tak bertanggungjawab di sekitar pantai. Kagum dengan kebaikan yang dilakukan. Nampak kecil tapi besar impaknya. Sempat memuji seorang ahli mereka di atas kebaikan yang sedang dilakukan. Dalam Islam, tangan yang membuang sampah mendapat dosa kecil, sedangkan tangan yang mengutip pula membuahkan pahala. Selain berakhlak dengan manusia, Islam juga sangat menitikberatkan akhlak dengan alam, yang juga merupakan mahkluk Allah. Pastinya akan ditanya oleh Allah kelak.




Kedua, berselisih dengan seorang wanita yang berjogging dengan suaminya. Wanita ini dan suaminya setiap kali berselisih dengan mana-mana orang muslim pasti akan mengucapkan salam. Saya masih belum mampu mengamalkan perkara ini. Setakat ini paling tidak hanya menebarkan salam dalam kalangan setiap murid di sekolah (selalu berebut nak jadi yang pertama bagi salam). Kedua, apabila berselisih dengan orang yang dikenali. Ketiga, memberi salam ketika hendak membeli daripada setiap penjual muslim. Bertemu dengan wanita tadi benar-benar menceriakan hati saya. Inilah di antara sunnah yang ditinggalkan Rasulullah untuk kita, menyebarkan salam apabila bertemu dengan mana-mana muslim sama ada dikenali ataupun tidak. Malah, Rasulullah dan para sahabat sentiasa berebut-rebut untuk menjadi yang pertama memberikan salam. Pengajaran besar untuk saya, menebarkan salam walaupun ditempat awam. Moga ada kekuatan.


Teringat pulak lirik lagu nasyid nadamurni kesukaan kami adik-beradik sewaktu kecil dulu yang sering dipasang oleh abah (zaman kaset dulu ^^.):


Tebarkanlah salam,
antara kita,
walau di mana sahaja,
walau siapa jua.

Mengapa rasa malu,
untuk mengucapkan salam,
adakah cara yang lain,
lebih baik darinya?
Oleh itu, yakinlah kita,
salam yang lebih utama.

Meriahkan alam ini,
dengan memberi salam,
hidup aman bahagia,
inilah syurga dunia.
.
Catatan 1 Mei 2018,
Bintulu, Sarawak.


2 comments:

Anonymous said...

Ini ke lagunya? :D

https://www.youtube.com/watch?v=icC15Xu0EzU

Anis said...

Ye...betul2