Tuesday, December 31, 2019

Ahlan 2020








Selamat Datang 2020 


Ternyata 2019 yang dulunya penuh kesukaran telah pun berjaya kau lalui hingga menjadi kenangan yang bakal menjadi pedoman dan sempadan.



Ternyata 2019 yang penuh cerita indah juga telah pun menjadi memori dan pelan-pelan membentuk sebuah kerinduan.



Kelak, sesukar apa pun sebuah "hari ini" bagimu, lihatlah bagaimana Allah telah mengeluarkanmu dari kesukaran itu pada "hari ini" di masa lalu hingga setelah itu kamu masih juga mampu mengukir senyuman hingga kamu telah pun lupa sakitnya sebuah kesukaran masa lalu. Ingatlah Allah tidak akan menzalimimu, Allah tidak akan membiarkanmu terkapai-kapai dalam sebuah kesukaran tanpa membimbingmu menuju jalan keluar.



Namun, kelak sebahagia apa pun kamu "hari ini", ingatlah bagaimana bahagiamu pada "hari ini" pada tahun-tahun lalu yang tidak pernah kekal. Hari bahagia itu pasti berlalu dan diganti dengan ujian. Nikmatilah kebahagiaan hari ini dengan kesyukuran dan kerendahan.



Tundukkanlah penuh kehambaan di hadapan Tuhan di kala susah dan senang. Moga Allah ya Hafiz sentiasa memelihara kita dan memimpin kita dalam kebaikan dan menjauhkan dari kemaksiatan dalam diam mahupun terang serta mendekatkan segala yang baik untuk diri, agama, dunia dan akhirat kita. 



Moga Allah menjadikan kecintaan tertinggi kita hanya padaNya bukan pada dunia yang sentiasa mengasyikkan, melalaikan dan sentiasa menipu diri yang lemah ini.



Bintulu,
01012020,
7.28 Pagi.

Friday, November 15, 2019

Kebaikan yang Allah Pilih




Bismillahirrahmanirrahim

Setiap yang berlaku dalam hidup kita, tak pernah satu pun TAK BAIK untuk kita. Sebab yang menulis takdir kita adalah ALLAH. 


Mana mungkin, ALLAH mentakdirkan sesuatu yang tak baik untuk kita. Tak baik mungkin kerna mata hati kita belum melihat hikmah. Tak baik kerna kita hanya memandang satu sisi kehidupan yang mengikut hati kita. Tak baik kerna apa yang terjadi tak selari dengan kehendak kita.


Sedangkan Allah Maha Melihat keseluruhan sisi yang kita tak nampak. Jadi, walaupun susah, sedih, kecewa, sengsara, derita, marah, sakit, susah nak terima, tetaplah PERCAYA dan BERSANGKA BAIK dengan takdir ALLAH. Kerna itulah etika seorang hamba terhadap takdir ditulis pencipta.


"Seharusnya jiwa kamu tidak tertekan oleh bala yang menimpa kamu kerna kamu mengetahui bahawa yang menguji kamu dengan bala itu adalah Dia, Allah SWT, dan Dialah adalah Tuhan yang biasa memberikan kamu kebaikan-kebaikan yang dipilih utk kamu -Ibn Attoillah


Ya, Allah lah yang memilih 'kebaikan-kebaikan' di jalan hidup kita. Lalu apakah masih 'kurang manis dan kurang indah' jalan hidup ini menurut pandanganmu lantaran hidup ini tidak berjalan mengikut kehendak dirimu?


Apa yang ditakdirkan Allah baik-baik belaka. Pegang kata-kata ini sepanjang hidupmu kerna Allah tidak akan sesekali menzalimi hambaNya.


Bintulu,
12 November 2019.

Monday, August 12, 2019

Salam Aidiladha




Salam Aidiladha untuk semua pengunjung yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada saya. 


Maafkan saya, sekiranya banyak komen tidak terbalas disebabkan kekangan kerja. Saya halalkan guru-guru yang menjadikan teks cerita saya sebagai sumber rujukan. Sekiranya bermanfaat boleh terus sebarkan kepada rakan guru yang lain.


Sebarang urusan seperti biasa boleh terus hubungi melalui emel id_humaira@ymail.com atau Facebook (Nurul Anis Abu Bakar). Sekiranya ada waktu lapang, saya akan cuba membalas dan memberikan respon.


Semoga Aidiladha kali ini membawa seribu satu kebaikan untuk kita semua. Amin

Thursday, July 11, 2019

P U T I H



Aku ingin seperti warna PUTIH,
SUCI dan MENENANGKAN,
Ia warna yang tidak banyak permintaan,
Namun perlu sepenuh penjagaan,
Tak semua mampu melindunginya dari kotoran,
Kerna PUTIH itu penuh keistimewaan.




Julai 11, 2019
Bintulu.

Saturday, July 6, 2019

Dosa yang menjalar




Bismillahirrahmanirrahim

Ketika seseorang yang berbuat dosa, pada hakikatnya ia telah dikalahkan oleh hawa nafsunya. Virus dosa ini harus segera diubati sebelum menjalar, iaitu dengan istighfar memohon ampunan kepada Allah SWT. 

Kerana satu dosa yang dilakukan seseorang itu bagai penyakit yang menampal dijiwanya. Jika tidak segera diubati, suatu saat penyakit ini akan menjalar dan mengiringnya untuk melakukan dosa lain.

Dosa yang tidak segera diubati akan membuat hati menjadi gelap dan lama kelamaan pun akan mati. 

"Ya Allah, sesungguhnya kami selalu melampaui batas, selalu berbuat dosa secara terang apatah lagi secara tersembunyi, Engkau Maha mengenal dosa zahir dan batin kami, hanya padaMulah kami memohon keampunan, pandanglah kami ya Allah, kuatkanlah keimanan kami untuk meninggalkan apa yang Engkau Murka dan bantulah kami untuk mengubah diri kami yang hina ini ke arah yang lebih Engkau Cintai dan Redhai." 

Bintulu,
Julai enam, 2019.

Sunday, June 23, 2019

Bukan keluhan tapi perkongsian



Alhamdulillah, hari ini sempat grab 'promo' AA untuk tiket perayaan Eidul Adha nanti setelah berhari-hari membuat perbandingan harga dan merenung harga pada skrin telefon pintar. Rasanya semua guru di Borneo melepasi fasa yang sama. Merenung dengan mengharapkan harga makin turun. Tiba-tiba harga makin mahal dan waktu tu mulalah gelabah nak membeli. Harga? Pejamkan mata jelah. Dah habis murah tu. Total tiket sahaja untuk Eidulfitri dan Eiduladha menjangkau hampir RM3500 untuk seorang individu. Ya, hampir habis sebulan gaji. Inilah antara sebab guru-guru semenanjung ini 'tidak tahan' mengajar di borneo, penat untuk mengatur kewangan.

Pada tahun 2014, saya masih mampu terbang bersama Malaysia Airlines dengan kadar RM200+ sehala dari BTU-KBR, pergi balik kurang dari RM500. Tapi kini, harga tersebut tinggal kenangan. Habis 1K ke atas itu perkara biasa setiap kali pulang untuk menatap wajah ibu dan ayah. Itu untuk harga tiket sahaja, tidak termasuk teksi ke airport dan kos-kos lain. Harga tiket boleh mencanak naik 2K dan lebih untuk seorang individu bila tiba hari raya dan musim cuti persekolahan. Hari biasa, elok je harga tiket tu murah 😂 

Apatah lagi, kami yang terbang dari bandar 'minyak' (antara 10 bandar termahal kos sara hidup di Malaysia dan termahal di Sarawak) yang mempunyai 3 penerbangan sehari sahaja ke Kuala Lumpur. Terhad. Ya, biasalah, syarikat penerbangan dengan permainan bisnes mereka. Kita selaku pelanggan terpaksa akur kerana sudah tidak ada jalan lain. Takkan nak mendayung sampan merentasi Laut China Selatan 😂. Kerana itu juga rakan-rakan yang berkeluarga ada yang menahan keinginan pulang kerana menantikan ehsan waran tambang percuma setahun sekali.

Alhamdulillah, kami seronok di sini, sangat seronok berbakti di tempat orang, mengenal budaya dan orang-orangnya. Seronok! Tetapi kesakitan membayar harga tiket yang mahal kadang kala menghilangkan keseronokan berbakti di sini. Kata bapak menteri, guru agama dari Kelantan dan Terengganu harus bersabar dan jangan pulang dahulu ke Semenanjung dan terus mengajar di Sabah dan Sarawak sebagai medan dakwah dan medan menabur bakti. Memang benar, selagi ada ruang dan peluang hingga noktah ditetapkan Tuhan, kami tetap bertahan berbakti di sini. Tetapi sejauh mana kesabaran para guru itu berbaloi dalam menyelesaikan masalah tiket penerbangan yang mahal ini? Tiada kan. Guru masih lagi perlu membakar dirinya seperti lilin. Hanya dia yang berkorban. Bahkan, kini tiada lagi istilah beli awal tiket untuk dapat harga lebih murah kerana seawal tahun lepas harga tiket tetap sama. Jika harganya boleh dirunding dan tetap seperti tiket bas dan kami mampu pulang bila-bila masa yang kami kehendaki untuk bertemu orang tua kami, sudah tentu guru-guru akan 'diam' dan tidak membahaskan soal keperitan ini.





Bila dalam keadaan tertekan, berdepan masalah kewangan inilah, maka guru-guru akan mula bising dan masyarakat pula dalam keadaan tidak meletakkan diri mereka dalam kasut guru seolah-olah muak dengan keluhan demi keluhan. Kerana ini juga, tidak pelik untuk saya katakan, ada rakan-rakan guru berhutang kad kredit demi membeli tiket. 

Oleh itu, anak-anak borneo hargailah guru-guru kamu, yang datang jauh beribu kilometer merentasi laut china selatan demi menyebarkan ilmu untuk kalian. Perit meninggalkan orang kesayangan dan perit menguruskan kewangan. Suatu saat pabila kalian dewasa, terbanglah berbakti seperti kami dengan lebih ikhlas 😊

Ya Allah, jadikanlah guru-guru borneo ini kaya raya 😂 supaya kami tak lagi rasa terbeban. Amin...

Dulu setia bersama MAS, kini bersama Air Asia ✈️😂 #diariustazahborneo

Bintulu,
230619.

Thursday, June 20, 2019

Terima kasih atas kebahagiaan




Kerna aturan Allah tidak pernah silap, 
Dia mengaturkan pertemuan kita tanpa aku menduga.

Saat aku dilemparkan sebatang kara, Allah menyambutku dengan memberikanku saudara.

Mungkin Allah menjauhkan saudara sedarah sedaging,
Tapi dia mendekatkan saudara seiman seakidah.

Syukur,
Hari-hari kita membicarakan perihal yang sama, 
Hari-hari juga ada ketawa berdekeh-dekeh antara kita,
Mungkin begini cara Allah menghiburkan kita.

Mungkin kadang kita juga ada rasa penat dan lelah, 
Ada rasa sakit dan pedih,
Tetapi ingatlah saat itu...
Bukan kau,
Bukan aku yang salah,
Tetapi kurangnya pada iman kita,
Iman yang semakin bercompang camping,
Menduga akhlak dalam berteman.

Kerna Allah tidak pernah silap dalam aturannya, setelah mempertemukan kita, Allah mengaturkan sebuah perpisahan pula. 

Selamat kembali kepada keluargamu. Terima kasih untuk segalanya. Lebih lima tahun tinggal sebumbung kita mengenal tawa dan duka, baik dan buruk kita biarlah tersimpan menjadi memori terindah. Doakan kami terus bertahan di sini hingga saat yang dizinkan Tuhan. Maaf di atas segala kekurangan. Selamat Jalan duhai sahabat. Selamat berbakti pada cinta hati dan anak bangsa di sana. 

Bintulu,
Khamis 
20 Jun 2019.

Monday, June 17, 2019

Kebaikan yang mudah


Bismillahirrahmanirrahim 
 

Dalam hidup ini, kalau boleh kita ingin selesaikan semua masalah orang disekeliling kita. Namun, dalam masa yang sama kita sedar keterbatasan daya yang ada pada diri kita. Hingga pernah kita rasa kesedihan jauh di sudut hati kerana tidak mampu menghadirkan bantuan kepada orang disekeliling yang memerlukan. Apatah lagi, jika orang tersebut adalah kesayangan kita. Namun, di sinilah titik kembalinya kita kepada sang pencipta. Ketika tiada daya untuk membantu, hakikatnya sentiasa ada ruang untuk kita berdoa. Kerna kita masih ada Tuhan yang memiliki segalanya yang pasti akan mampu membantu orang tersebut. Setiap kebaikan itu adalah sedekah. Mungkin kita tak mampu membantu dengan kuasa, tenaga, masa, kasih sayang ataupun apa sahaja. Tapi kita sebenarnya masih mampu merintih kepada Allah yang punya segalaNya untuk memenuhi apa sahaja yang diperlukan oleh orang disekeliling kita.


Melihat orang ditimpa kesusahan di jalanan. Mungkin kita tak mampu meringankan beban mereka, tapi kita mampu berdoa. Ya Allah ringankan kesusahan pak cik tadi. Ya Allah, bantulah orang ini. Jadikanlah ia sebagai satu rutin setiap kali melihat kesusahan orang lain di mana-mana sahaja dengan menolongnya dengan sebuah doa. Pernah tak terfikir bahawa kadang kita ditimpa kesusahan, tiba-tiba datang bantuan dari jalan tak disangka mungkin asbab doa-doa orang yang tak pun kita kenal. Maka, tak rugi untuk mendoakan orang lain. Jika tercari-cari apakah kebaikan yang boleh aku lakukan pada hari ini, maka ciptalah peluang untuk mendoakan sesiapa disekelilingmu hatta hanya doa pada seekor kucing yang datang menggeselkan badannya padamu meminta makanan sedangkan kamu tidak mempunyai apa-apa, maka doakanlah agar kucing tersebut dipertemukan insan berhati mulia untuk membantunya. Kerna yakinlah bahawa setiap doa yang baik itu pasti akan kembali kepada dirimu.



Dan suatu hari nanti, jika diizinkan Allah apabila di Syurga, aku ingin Allah tunjukkan kepadaku siapakah insan-insan mulia yang pernah mendoakan aku dengan ikhlas sepanjang hidupku dahulu.



Selasa,
18 Jun 2019,
7.27 pagi,
Bintulu.

Doa Mak




 "Bestnya ada doa mak."


Ujar sahabat baik saya. Saya masih ingat, Ummi kesayangannya telah dijemput ilahi ketika musim peperiksaan di zaman kampus. Saya terkedu. Sememangnya saya akui segala kebaikan yang melimpahi hidup saya pada hari ini adalah datangnya dari kebaikan doa insan-insan di sekeliling saya dan yang paling pasti adalah daripada doa mak.


 Namun, saya juga telah menjadi saksi, bagaimana sahabat saya itu berjaya menjadi anak solehah yang telah menyantuni umminya ketika masih hidup  setiap hari hingga hari-hari akhir umminya tanpa gagal. Dan saya akui masih jauuuuh untuk menjadi anak yang baik seperti dirinya.


Terima kasih mak, di atas doa-doa kepada anak mak ini, walaupun anakmu ini bukanlah anak yang cukup baik dalam menyantuni mak. Sayang mak, syurgaku. Teruslah berdoa untuk anakmu ini. 💓

Friday, June 14, 2019

Pekat malam


Sungguhpun malam itu kelam,
Tetap kusetia melakar cerita,
Kerna aksara kan buta ditelan gelapnya.
Adapun malam bisa menenggelamkan,
tapi takkan pernah mampu menghalang cahaya dari terus menerangi setiap kisahku.


14.06.2019,
Bintulu

Friday, June 7, 2019

Eidul Fitri Mubarak 1440H


Selamat Hari Raya Kepada semua guru, pensyarah, saudara mara, sahabat, rakan, anak didik dan para pembaca blog.

تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال
كل عام وأنتم بخير

Semoga Allah menerima amalan soleh kita semua dan semoga sepanjang tahun kita dalam kebaikan. Terima kasih di atas sokongan sepanjang saya berkongsi rasa di blog ini dan mohon maaf sekiranya terdapat salah silap di dalam penulisan saya.

1 Syawal 1440H,
Kota Bharu, Kelantan.

Friday, May 24, 2019

Impian sebuah kematian

Setiap dari kita, memang kena ada impian untuk mati dalam pengakhiran yang baik. Perkara ni senang nak ungkap, tapi kita sendiri tahu betapa susahnya kita nak lawan nafsu kita setiap hari untuk jadi hamba Allah yang baik.


Bila, ada ahli keluarga kita mati dalam keadaan yang baik, kita selaku ahli keluarga, patut rasa bersyukur, Allah jemput orang-orang yang kita sayang dengan pengakhiran yang baik. Tinggal sekarang, kita sendiri kena usaha untuk baiki diri, supaya cita-cita kita untuk mati dalam keadaan redha dan diredhainya tercapai.


Satu ungkapan yang tetap dalam doa setiap hari, “Ya Allah dengan rahmatMu yang Maha luas, ampunilah segala dosa kami dan HIMPUNKANLAH KAMI TETAP SEBAGAI SEBUAH KELUARGA di Syurga nanti bersama Rasul Mu dan para siddiqin. Janganlah kau pisahkan kami."   


Kebersamaan di syurga ni, mudah untuk kita sebut. Tapi sebenarnya tak mudah untuk dicapai. Kita kena ingat dalam kisah yang dijelaskan al-Quran banyak keturunan/keluarga yang tidak lagi boleh bertemu di akhirat, seperti: Nabi Nuh dengan putera dan isterinya, Asiah yang solehah dengan suaminya (Firaun), dan Nabi Lut dengan isterinya. 


Namun, Allah juga sebut dalam al-Quran bertemunya  keluarga besar di syurga bukan pula sesuatu yang tidak mungkin.     


"(Iaitu) syurga-syurga Adn, mereka masuk ke dalamnya bersama dengan orang yang saleh daripada nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan), "Selamat sejahtera atasmu kerana kesabaranmu." Maka alangkah nikmatnya tempat kesudahan itu." (Ar-ra'd:23-24)


Aku masih ingat kisah beberapa bulan lepas. Saat aku lihat hidung dan mata mak merah mengalirkan air mata, suasana dalam rumah menjadi sepi seketika apabila kami mendapat pengesahan yang ahli keluarga kami, Haziq telah syahid (insiden Christchurch). Dua pupu Abah, tiga sepupu aku. Kata abah, tak apa, ada juga ahli keluarga kita yang syahid sambil sebak mengukir senyum sambil merenung jauh. Rasa sebak, aku tahan dalam-dalam. Kemudian, aku pandang pula mak saudara dan bapa saudara aku merah mata mereka. Saat itu aku terbayangkan kesedihan mak sewaktu mak kehilangan nenek, aku tahu mak sedih sangat. Mesti lagi sedih dari ni. Tapi aku tak ada di sisi mak waktu tu. Aku tak dapat pulang pada waktu tu kerana tiada tiket. Aku nak nak sangat pulang. Tapi mak kata, tak pe, kalau pulang pun dah tak sempat tengok. Bila jauh, inilah perkara paling aku takuti.


Beberapa tahun sebelum ni, kami telah kematian bapa saudara ketika menanti khutbah jumaat di masjid, kematian bapa saudara ketika menanti waktu solat dhuha dan kisah paling menyentuh hati aku adalah kematian nenek sebelah abah. Telah aku kongsikan di blog. Semuanya Allah jemput dengan cara yang baik. Ada juga yang seolah-olah diberi tanda akan dijemput pulang oleh Allah. Itu bahagian orang yang dipilih oleh Allah. Yang pasti, kami cemburu dengan kematian mereka. Seorang saudara jauh kami juga, nurin Jazlin yang mati dibunuh beberapa tahun dahulu dan kesnya masih tidak selesai, aku juga yakin Nurin sedang bergembira di sana.


Hidup ni terlalu singkat bukan. Satu persatu orang yang kita sayang akan Allah ambil dan setelah itu akan tiba waktu kita pula.


 Tapi bila fikirkan, aku sendiri masih belum sedia. Tak sanggup untuk membayangkannya kerana aku tahu di mana aku di dalam pandangan Allah 😭  Salam 10 akhir ramadan, semoga menjadi titik permulaan terbaik untuk kita perbaiki diri.

KLIA2,
25 Mei 2019.

Thursday, March 14, 2019

KISAH SPM SAYA (2007)






Gambar kenangan di Kelas 5 Perdagangan 1, di Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Sebuah sekolah yang terkenal dengan produk pelajar cemerlangnya. Selepas PMR banyak keputusan yang saya ambil tidak sama dengan kehendak pelajar lain. Jika orang lain dalam sekolah yang mengejar kecemerlangan ini, berpusu-pusu membuat rayuan ke kelas sains tulen, tetapi berbeza dengan saya. Ditawarkan kelas aliran sains tulen tetapi saya tahu jiwa saya bukan di situ. Lalu, saya mengambil keputusan untuk masuk ke Kelas aliran akaun. Pada waktu itu, saya masih ingat, ada seorang guru bertanya dan mempersoalkan keputusan saya. Tetapi saya tetap bertegas dengan keputusan yang saya tekadkan. Saya tidak keseorangan, ada juga seorang sahabat saya, yang membuat keputusan yang sama. Akhirnya kami dengan gembiranya belajar bersama dalam kelas aliran akaun. Sahabat saya tersebut adalah salah seorang 'pesaing sihat' saya dalam kelas ini. Sejujurnya, seronok belajar di kelas 4 Akaun 1, dengan rakan-rakan dan guru yang sangat baik.


Namun, setelah setahun berada di kelas akaun dan walaupun keputusan saya dalam Sijil Menengah Ugama (sejenis peperiksaan tingkatan 4 di sekolah bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan) ketika itu cemerlang,  tetapi saya dapat merasakan seolah-olah jiwa saya belum sepenuhnya berada di situ. Ketika awal tingkatan 5, saya sekali lagi mengambil keputusan untuk menukar aliran. Sudah tentu ketika itu ramai yang mempersoalkan tindakan saya terutama berkaitan persoalan bagaimana peluang pekerjaan pada masa depan nanti dalam aliran ini? Ya, saya faham kegusaran hati mereka tetapi saya tetap menegakkan keinginan diri dan ingin membuktikan bahawa tidak semestinya jika saya tidak memilih aliran sains tulen atau aliran yang dikejar oleh kebanyakan orang, saya tidak akan berjaya. Akhirnya keputusan SPM Ketika itu adalah buktinya. Tetapi agak kelakar juga, ketika diumumkan pelajar terbaik aliran perdagangan, saya tidak naik ke atas pentas ketika dipanggil, mungkin disebabkan sikap introvert yang tidak suka muncul di khalayak ramai. Mungkin kerana sikap introvert juga, saya tidak mempunyai ramai kawan yang rapat kerana lebih suka menyendiri di dalam kelas.  



Alhamdulillah, saya juga berjaya membuktikan dengan keputusan SPM dari aliran itu, saya berjaya mendapat tawaran ke UIA dan IPG. Ketika melanjutkan pelajaran di IPG, saya juga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama walaupun kisah saya bermula dengan aliran yang 'tidak glamour' itu.



Adik-adik, di mana pun kita berada, kita masih boleh berjaya. Aliran tidak menentukan kejayaan tetapi diri sendirilah penentu kejayaan. Kuatkan semangat, pertahankan keinginan hati kita, selagi perkara tersebut tidak menyalahi syariat. Kejarlah cita-citamu. Saya gembira dengan landasan hidup yang saya pilih. Kerana Allah telah ciptakan kehidupan ini dengan pilihan di tangan kita, kita berhak untuk memilih jalan bahagia yang selari dengan kehendak hati. Selamat terbang bersama cita-citamu adik-adik SPM 2018. Jalanmu masih jauh, jalanku juga masih belum berakhir.


Bintulu,
14 Mac 2019.
8.29 Malam.