Thursday, December 30, 2010

Tirai Diari 2010




Bismillahirrahmanirrahim…



Salam penuh mahabbah buat pembaca yang tidak jemu-jemu untuk singgah sebentar di teratak Anis Humaira. Pelik sungguh perasaan ini, sebentar sahaja 2010 dan 1431 menemani susuk tubuh ini. Telah pun membuka lembaran baru 1432H dan bakal diiringi edisi 2011. Seharian tanpa berbicara dengan teratak ini, pasti ada rasa kosong, namun sebagai manusia biasa, apakan daya untuk memastikan isi teratak ini sentiasa ada, tatkala disibukkan dengan amanah dan ujian pasti diri dihambat kepenatan membuatkan kadangkala artikel dan coretan terhenti dan terpaksa disambung pada hari-hari mendatang. Terkadang “cemburu” dengan insan yang bisa menyampaikan ilmu setiap hari sama ada melalui lisan atau tulisan. ‘Ala kulli hal, tetap memanjatkan syukur, lantaran sedar ALLAH masih memberi sedikit kesempatan untuk terus menulis walau hanya sekadarnya.



Tirai 1431 telah pun berlalu, bersama introspeksi diri sebagai ‘abd (hamba) ALLAH adakah sedaya upayanya kita telah berusaha untuk menjadi yang terbaik. Selalu disibukkan dengan urusan dunia membuatkan semakin hari semakin tenggelam dalam kegawatan masa. Itulah yang sering dikeluhkan oleh sesetengah insan. Oleh itu, apa kata dalam lembaran diari yang baru ini cuba menyusun masa seadanya, jika diteliti ‘ibrah dari sirah khalifah terdahulu, masakan mereka boleh meluangkan masa yang banyak kepada ALLAH di samping melaksanakan amanah dengan yang terbaik, malah tetap dengan masa 24 JAM bukan?






“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. (surah al-asr 1-3)

Tidakkah kita pernah merasa risau, andai amal ibadat kita tidak selari dengan nikmat dan dugaan yang bersilih ganti menemani ruang hidup kita?



Semoga kita bersama dihindarkan dari segala fitnah dunia yang boleh menghancurkan mahligai insane tanpa disedari. Bersama panjatkan dia memohon perlindungan daripada RABBUL ‘ALAMIN…



ربنا لا تجعل نا فتنة للذين كفروا واغفرلنا إنك أنت العزيز الحكيم

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami ya Tuhan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana



Fitnah dunia tidak akan pernah surut atau terhenti selagi wujudnya penghidupan atas muka bumi ALLAH ini. Janji iblis dan syaitan bahwa kesesatan anak adam adalah janji yang pasti tidak akan dimungkiri malah menjadi misi yang palin ampuh buat mereka.



“………. Iblis menjawab, Demi kekuasaan ENGKAU aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMU yang MUKHLIS di antara mereka” (surah shad :82-83)



Terkadang memandang jauh menerobos ruang fikiran yang melayang membawa haluan tiada arah tuju. Hati seakan rajuk untuk berbicara, naluri seakan merajuk untuk berkongsi cerita dan jiwa juga seolah bosan untuk berseloka. Semoga masih bisa kuat untuk berkongsi ilmu walau seadanya.





Biarpun teratak ini tidak berwajah seperti insan, namun cukup puas untuk berkongsi. Belum puas ku genggammu. Terasa bagai ada sesuatu yang menarikku untuk terus berkarya dan berseloka. Janjiku, akan terus berdoa agar dijadikan orang faqih dalam agamaNYa, tentang ilmunya agar diri tidak hanya berjalan dengan menjadi insan yang kosong, namun apa yang perlu ditekankan walau apa jua yang kita azamkan untuk meniti detik, hari, minggu dan tahun yang baru, ikhlaskan diri untuk mencapai redhaNYA yang pasti itulah jaminan untuk melangkah masuk lalu mendiami AL-FIRDAUSI seiring mereka yang terpilih.



"Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya sama menyembah Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untuk-Nya semata-mata, berdiri turus dan menegakkan shalat serta menunaikan zakat dan yang sedemikian itulah agama yang benar." (al-Bayyinah: 5)



Melabuhkan tirai diari 2010 ini, sebagai manusia yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, berbalikkan kepada ALLAH S.W.T untuk setiap sesuatu yang baik dan yang sebaliknya. ALLAH MAHA BIJAKSANA dan DIAlah yang mampu menili hambaNYA tidak kira sesumbang mana irama yang dilagukan, ALLAH MAHA MENGERTI..

“..Karena Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu Telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain[1586], Dan Hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.”

[1586] Maksudnya: sebagian ahli tafsir menafsirkan apabila kamu (Muhammad) Telah selesai berdakwah Maka beribadatlah kepada Allah; apabila kamu Telah selesai mengerjakan urusan dunia Maka kerjakanlah urusan akhirat, dan ada lagi yang mengatakan: apabila Telah selesai mengerjakan shalat berdoalah.



Oleh itu, teruskanlah melangkah ke gerbang tahun yang baru, iringkan setiap gerak hidupmu dnegan kebergantungan padanYA, teruslah berdoa TANPA JEMU. Kerana DOA itulah senjata.








Berfikirlah sesuatu yang lebih perlu,

Lantaran waktu yang tidak menunggu,

Untuk kita menyedari yang mana benar yang mana palsu…

Bergantunglah kepada yang satu,

Agar jiwa dan raga bisa berpadu,

Serta terus mampu,

Tuk bertahan di balik tugu yang tidak berbatu.




Semoga menjadi yang lebih baik,

Akhirul kalam Anis Humaira,

2.59 p.m

31 Disember 2010

Fi Baiti Sakinah.

Monday, December 27, 2010

sirah itu hidup


Bismillahirrahmanirrahim



Sedang bersarapan dengan mak tadi, mak bercerita soal seorang wanita yang memiliki 800 buah novel cinta dalam bahasa inggeris yang menceritakan pengalamannya dalam sebuah rancangan temubual wanita. Kata mak lagi wanita itu benar-benar menghayati setiap jalan cerita dalam novel, dia dapat merasai apa yang dirasai oleh watak itu dan cukup merasakan bahawa dia berada di tempat watak tersebut, apa yang menarik setiap tempat yang terdapat dalam novel itu, telah pun dilawatinya.



Okey, itu kisah wanita dan novel.



Sekarang kita lihat dalam konteks diri kita. Bila kita bercerita tentang sejarah, macam-macam reaksi yang diterima. Begitu juga apabila bercerita tentang sirah. Dalam memahami sirah atau sejarah pelbagai cara yang digunakan, lain orang lain caranya. Ada orang cukup dengan mendengar orang bercerita ada juga yang suka membaca sendiri cukup membuatkan hati mereka terkesan. Ramai yang mengalirkan air mata, menangis lantaran hiba dan tersentuh dengan apa yang dibaca.



Kenapa mereka menangis? Jawapannya pasti mudah, mereka membaca dan seolah-olah memasukkan diri ke dalam dunia sirah itu.



Iye, itu juga yang pernah Anis rasa contohnya apabila membaca sirah Rasulullah yang menghadapi pelbagai rintangan dalam menyampaikan risalahnya. Sungguh! Cukup tersentuh, hanya sekadar membaca sudah mampu membuatkan kita jatuh cinta kepadanya. Malah kadangkala bisa tersenyum dengan candanya.



Sirah itu, terselit padanya 1001 pengajaran yang tak mungkin akan terungkai kecuali pada insan yang benar-benar ingin menghayatinya. Sirah yang terkandung dalam Al-Quran benar-benar dapat menggigit jiwa insan yang membacanya, sama ada jika dibaca ayat demi ayat atau membaca dalam sebuah buku yang telah terhimpun sirah itu.



Firman ALLAH S.W.T:

sesungguhnya ini adalah kisah yang benar….” (Ali-Imran:62)



Jika ibubapa suka bercerita kepada anak-anak kisah dongeng, rasanya sirah lebih menjadi keutamaan dalam mendidik jiwa si kecil itu. Apa tidaknya, sirah ternyata lebih mudah menyentuh hati, lebih santai dan cukup menyenangkan. Yang lebih utama, di dalamnya terdapat watak yang hidup yang dapat dijadikan idola bagi si anak kecil dan jua ibubapa malah sesiapa jua. Ia pasti dapat membangunkan sakhsiah yang baik dalam jiwa si kecil.



Apa jua kisah sama ada kisah para nabi, kisah pejuang Islam dan sebagainya pasti akan menambahkan semangat untuk kita turut berubah ke arah yang lebih baik.



Kita membaca kisah Rasulullah yang sering memuliakan dan memaafkan orang yang selalu menyakiti hati baginda, kita juga dengan sendirinya akan koreksi diri dan cuba untuk berubah ke arah yang lebih baik. Bukan hanya sekadar baca, tersentuh kemudian kita menutup buku, seharusnya ada praktisnya!



Ramai yang membaca sirah memasukkan diri ke dalam dunia sirah itu, tetapi berapa ramai yang membaca dan memasukkan sirah dalam kehidupan?


SIRAH ITU HIDUP!



Iye, sirah sepatutnya kita hidupkan dalam jiwa dan kehidupan kita. Barulah sirah tadi benar-benar bermakna dan berguna.



Membaca sirah Sumayyah bagaimana mempertahankan keislamannya, membaca bagaimana Bilal menghadapi seksaan dalam mempertahankan kalimah tauhidnya, kita cukup terharu dengan keteguhan mereka! Tapi ternyata dalam dunia reality kita tidak teguh dalam menjaga ISLAM, tidak teguh dalam memperjuangkan ISLAM.



Apa yang harus kita lakukan, apabila kita terasa sesuatu telah Berjaya menyentuh jiwa seharusnya ada usaha untuk menggerakkan keinginan tadi.



Ayuh sama-sama amalkan ibrah daripada sirah



Akhlak Murabbi teragung, keteguhan sang pejuang, kesabaran para anbiya’ dan apa jua yang bisa kita kutip. Kita cuba memaknakan dalam diari kehidupan kita, agar dengannya SIRAH ITU HIDUP dan TERUS HIDUP….


Di hujung pena Anis Humaira,

9.20 a.m

28 Disember 2010

Fi Baiti Sakinah.


Friday, December 24, 2010

ayuh tunjukkan!



Bismillahirrahmanirrahim..

Anda punya sahabat? Punya orang yang anda sayang? Atau orang yang anda CINTA?


Anis dapat lihat..



Yah! ada orang bersemangat dalam bab ini, ada juga yang berubah riak muka sebaik soalan ini diutarakan, dapat lihat cara orang yang di soal “melihat” soalan ini. Bagaimana zhon ataupun sangkaan atau lebih tepat tanggapan sahabat pada soalan itulah yang membawa kepada kefahaman yang berbeza.


Lewat tadi sempat membelek-belek kembali buku LANGIT ILAHI 2, karya saudara Hilal Asyraf, buku ini dah lama Anis tinggalkan di rumah, Encik Asyraf a.k.a adik Anis telah membaca buku ni sehingga “lonyai” (sob2…sedih2…sayang tau T_T) ..

Sedang membaca kembali sedikit sebanyak Anis tertarik dengan bab “Semarakkan Cinta Untuk dicinta”. Suka bab ini, melihat perspektif bagaimana konsep untuk menyemarakkan cinta pada orang kita sayang. Cukup mudah pendekatan yang cuba di bawa.


Anis bawa kembali kisah yang sahabat Rasulullah, lebih kurang kisahnya macam ni, pada suatu hari ada seorang lelaki bertemu dengan saidina Umar Al-Khattab. Kemudian dia melihat Saidina Umar Al-Khattab mengucup dahi anaknya. Lelaki itu berkata dengan angkuhnya:


“Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi tidak pernah sekali pun aku mengucup dahi mereka.”

Saidina Umar berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi (Allah).”


Cuba sahabat lihat kembali pada kenyataan Anis tadi, iye, soalan yang Anis utarakan tadi pasti lain orang lain persepsinya.

Ada segelintir manusia cukup memandang jelek kasih sayang dalam kehidupan. Hina dan kotor sangatkan “kasih sayang” itu?.




Bukan, sebenarnya mereka yang membian tembok, tembok bernama EGO. Suami ego untuk menunjukkan kasih sayang kepada isteri, isteri pula ego menunjukkan kasih sayang kepada suami. Ibu bapa ego menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Anak-anak pula ego untuk menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa. Abang ego menunjukkan kasih sayang kepada adik, dan ia tetap bermain dengan ego dalam sebuah institusi keluarga. Begitu jua dnegan sebuah persahabatan. Sahabat ego dalam menonjolkan sayangnya kepada sahabat yang lain. Dalam konteks usrah, naqib dan naqibah gagal dalam mempamerkan kasih sayang kepada anak usrahnya dan anak usrah juag terkadang ego dalam menerima kasih sayang.

Sangat menyedihkan bukan?

Begitulah kebanyakan daripada kita, ego itulah yang terkadang membawa kepada kehancuran.

“bukannya tak sayang, tapi buat apa nak tunjuk-tunjuk, sayang tu tak perlu ditunjuk-tunjuk”



Rasulullah s.a.w tak begitu, baginda tidak ego..

Pernah teliti bagaimana akhlak manusia teragung ini?

Dalam akhlaknya, baginda mempamerkan cinta, bahkan dalam kata-katanya juga terpamer cinta.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

Daripada Miqdam bin Ma’di Kariba r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Apabila seseorang insan mengasihi saudaranya, beritahulah kepadanya bahawa ia mengasihinya”

(Riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi) – Rujukan 300 Hadis bimbingan bab hak-hak persaudaraan.



Malah, kita seirng juga mendengar kisah cinta antara Aisyah dan Rasulullah bukan? Rasulullah tidak segan untuk berlumba lari dengan isterinya Aisyah. Baginda juga tidak segan untuk memeluk dan mencium dahi Fatimah az-zahrah.



Itulah contoh mudah bagaimana suri teladan mengajar kita untuk mempamerkan rasa sayang. Kata Saudara Hilal Asyraf:

manusia hari ini seakan-akan sukar untuk menonjolkan rasa kasih sayang dan cinta. Katanya, kalau berlebihan menunjukkan cinta, nanti naik lemak. Ya benar, kalau berlebihan, tetapi cinta itu ditunjukkan dengan penuh sederhana dan bermakna, pasti cinta dan kasih sayang itu mampu membentuk suasana yang harmonis.”

Apa pentingnya ibubapa menunjukkan sayang, apa pentingnya sahabat mempamerkan kasih, apa perlunya sang abang dan kakak menonjolkan rasa cinta? Adakah sayang tanpa perlu marah?



Bukanlah sayang sehingga anak-anak terbiar begitu, Rasulullah juga mengajar ibu bapa agar merotan anak yang tidak bersolat, tetapi perlulah cinta itu disemai, kerana tanpa cinta dan sayang yang terpamer pasti tiada kesan tindakan itu tadi.

Ayuh tunjukkan!


Cinta itu lebih tua daripada alam ini, kerana atas dasar cintalah TUHAN menciptkan alam ini”


Inspirasi kembara Hamba mencari cahaya,

Di hujung pena Anis Humaira,

24 Disember 2010,

10.52 p.m,

Fi baiti Sakinah.