Bismillahirrahmanirrahim
Sedang bersarapan dengan mak tadi, mak bercerita soal seorang wanita yang memiliki 800 buah novel cinta dalam bahasa inggeris yang menceritakan pengalamannya dalam sebuah rancangan temubual wanita. Kata mak lagi wanita itu benar-benar menghayati setiap jalan cerita dalam novel, dia dapat merasai apa yang dirasai oleh watak itu dan cukup merasakan bahawa dia berada di tempat watak tersebut, apa yang menarik setiap tempat yang terdapat dalam novel itu, telah pun dilawatinya.
Okey, itu kisah wanita dan novel.
Sekarang kita lihat dalam konteks diri kita. Bila kita bercerita tentang sejarah, macam-macam reaksi yang diterima. Begitu juga apabila bercerita tentang sirah. Dalam memahami sirah atau sejarah pelbagai cara yang digunakan, lain orang lain caranya. Ada orang cukup dengan mendengar orang bercerita ada juga yang suka membaca sendiri cukup membuatkan hati mereka terkesan. Ramai yang mengalirkan air mata, menangis lantaran hiba dan tersentuh dengan apa yang dibaca.
Kenapa mereka menangis? Jawapannya pasti mudah, mereka membaca dan seolah-olah memasukkan diri ke dalam dunia sirah itu.
Iye, itu juga yang pernah Anis rasa contohnya apabila membaca sirah Rasulullah yang menghadapi pelbagai rintangan dalam menyampaikan risalahnya. Sungguh! Cukup tersentuh, hanya sekadar membaca sudah mampu membuatkan kita jatuh cinta kepadanya. Malah kadangkala bisa tersenyum dengan candanya.
Sirah itu, terselit padanya 1001 pengajaran yang tak mungkin akan terungkai kecuali pada insan yang benar-benar ingin menghayatinya. Sirah yang terkandung dalam Al-Quran benar-benar dapat menggigit jiwa insan yang membacanya, sama ada jika dibaca ayat demi ayat atau membaca dalam sebuah buku yang telah terhimpun sirah itu.
Firman ALLAH S.W.T:
“sesungguhnya ini adalah kisah yang benar….” (Ali-Imran:62)
Jika ibubapa suka bercerita kepada anak-anak kisah dongeng, rasanya sirah lebih menjadi keutamaan dalam mendidik jiwa si kecil itu. Apa tidaknya, sirah ternyata lebih mudah menyentuh hati, lebih santai dan cukup menyenangkan. Yang lebih utama, di dalamnya terdapat watak yang hidup yang dapat dijadikan idola bagi si anak kecil dan jua ibubapa malah sesiapa jua. Ia pasti dapat membangunkan sakhsiah yang baik dalam jiwa si kecil.
Apa jua kisah sama ada kisah para nabi, kisah pejuang Islam dan sebagainya pasti akan menambahkan semangat untuk kita turut berubah ke arah yang lebih baik.
Kita membaca kisah Rasulullah yang sering memuliakan dan memaafkan orang yang selalu menyakiti hati baginda, kita juga dengan sendirinya akan koreksi diri dan cuba untuk berubah ke arah yang lebih baik. Bukan hanya sekadar baca, tersentuh kemudian kita menutup buku, seharusnya ada praktisnya!
Ramai yang membaca sirah memasukkan diri ke dalam dunia sirah itu, tetapi berapa ramai yang membaca dan memasukkan sirah dalam kehidupan?
SIRAH ITU HIDUP!
Iye, sirah sepatutnya kita hidupkan dalam jiwa dan kehidupan kita. Barulah sirah tadi benar-benar bermakna dan berguna.
Membaca sirah Sumayyah bagaimana mempertahankan keislamannya, membaca bagaimana Bilal menghadapi seksaan dalam mempertahankan kalimah tauhidnya, kita cukup terharu dengan keteguhan mereka! Tapi ternyata dalam dunia reality kita tidak teguh dalam menjaga ISLAM, tidak teguh dalam memperjuangkan ISLAM.
Apa yang harus kita lakukan, apabila kita terasa sesuatu telah Berjaya menyentuh jiwa seharusnya ada usaha untuk menggerakkan keinginan tadi.
Ayuh sama-sama amalkan ibrah daripada sirah
Akhlak Murabbi teragung, keteguhan sang pejuang, kesabaran para anbiya’ dan apa jua yang bisa kita kutip. Kita cuba memaknakan dalam diari kehidupan kita, agar dengannya SIRAH ITU HIDUP dan TERUS HIDUP….
Di hujung pena Anis Humaira,
9.20 a.m
28 Disember 2010
Fi Baiti Sakinah.
No comments:
Post a Comment