Thursday, July 1, 2010

Benarkan aku menjadi isteri kedua!

Bismillahirrahmianirrahim

Hairan dengan situasi hari ini. Persekitaran yang berbeza mengubah minatku untuk menulis. Maklumlah baru meninggalkan baiti sakinah. Jujurnya di hati banyak yang ingin dikongsikan namun kaku dalam mengatur langkah. Hari ini juga sudah hari kelima anis di kampus walaupun tak banyak peristiwa yang telah anis lalui.



Melihat adik-adik dengan muka yang masih lagi suci membuatkan diri teringat bagaimana diri ini ketika mula menjejakkan kaki di bumi Afzan ini.



Hidup dalam mengejar sebuah cita yang bukan diimpikan bukan senang. Keikhlasan dalam menempuhi hidup dan disertai redha dan tawakkal kepada ALLAH amat penting. Iye, hidup ini aturan tuhan yang maha esa, apa jua yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya.



ISTERI KEDUA?



Andai anis menyatakan bahawa sudi menjadi isteri kedua..



apa agaknya pandangan anda??



mungkin terlalu awal lagi untuk memikirkan semua ini... atau mungkin tidak lantaran rata-rata sahabiah anis juga ada yang telah mendirikan baitul muslim seawal usia 18 dan 19 tahun lagi



Manusia fitrahnya suka mempersoalkan sesuatu kejadian sebelum cuba redha untuk menerimanya..



ADA PELUANGKAH SAYA MENJADI ISTERI KEDUA?



pernah seorang akh berkongsi sebuah kisah.....


"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Faris tegas dan yakin.


Tiba-tiba mata Maryam merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.


"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Maryam dengan suara tersekat-sekat.


Mata Faris liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Maryam. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Maryam mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Maryam dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Maryam semakin tinggi, setinggi egonya.

Faris diam seribu bahasa. Dia sudah tahu 'Maryam' sebenar di sebalik Maryam yang dia kenal selama ini. Maryam bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Faris seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Faris muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Faris, sekecil pandangannya terhadap Maryam.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Faris sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Faris berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Faris dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Maryam terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Faris. Bagi Maryam, Faris seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Faris melamarnya menjadi isteri kedua. Faris masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Maryam nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Maryam, namun sikap Maryam yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Faris tersebut.

Bagi Maryam, Faris tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Faris berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Faris semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Faris – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Faris

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Faris dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Humaira. Faris sekali lagi gusar takut-takut Humaira tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Faris menemui Tuhannya, namun, Humaira yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Maryam atau tidak? Faris bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Humaira ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Humaira daripada beberapa sahabat terdekatnya, Faris berjumpa dengan Humaira bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Faris mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Maryam.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Faris tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Humaira ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Faris menerima jawapan Humaira yang tenang dan yakin.

Humaira mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Faris.


"Kenapa saya?" tanya Faris ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Humaira yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Faris tersenyum.


Akhirnya, Faris dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Humaira, Faris terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Humaira sangat membantu gerak kerja Faris semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Faris membawa Nusaibah Humaira untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Humaira. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Faris. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Humaira juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Humaira dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Faris sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Humaira yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Faris menoleh sedikit ke arah Humaira, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Humaira riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Faris dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Humaira, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Faris yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Faris aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Faris membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Faris berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Humaira yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Faris menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Humaira mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Faris.

"Tak nampak pun," Humaira meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Humaira sangat berdebar.

Faris tersenyum lebar, memandang Humaira penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Faris.



BIODATA ISTERI PERTAMA SUAMIKU




lorh....ingatkan sape madu kamu..”

“huhuhu...”



Benar sahabiahku....

andai Jika dirimu bakal seorang isteri…

pasti kamu akan di madukan...

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…


Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!



kerana ISLAM, aku IKHLASKAN SEGALANYA..

Kerana ISLAM , kita masih berjuang.....

p/s: Jemaah besar yang baik akan terbina bermula dari jemaah kecil. Dan terbentuknya jemaah kecil yang baik itu adalah apabila seorang lelaki memilih calon isterinya. Dan jadilah seorang calon yang baik, agar jemaah kecil itu dibina dengan baik oleh seorang lelaki yang baik.

di kamar hatiku,

M326

IPG Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang

1 Julai 2010

9.39 p.m


No comments: