Bismillahirrahmanirrahim
Menatap wajah murid-murid timbul dua perasaan yang silih
berganti. Kadang-kadang sangat geram
akan kecomelan “asli” dan perangai mereka. Terkadang muka merah menahan panas
dek kenakalan yang teramat dan pernah “meletup” juga. ‘Ala kulli hal, macam yang pernah Anis tulis
sebelum ini, hakikatnya mereka tetap masih suci dari dosa. Mereka lebih mulia
daripada diri ini sendiri. Apa jua nasihat, mudah meresap. Tinggal bagaimana
sahaja cara sang guru menyampaikan. Teringat kata-kata seorang insan yang cukup
dekat dengan ALLAH, hingga terkesan kata-katanya di hati, Ustaz Fakhrurrazi,
andai kata kita mahu memarahi anak murid kita, tanya dulu diri, lihat dulu,
adakah kita nampak di celah-celah anak murid kita itu Allah dan Rasulnya. Bimakna,
adakah niat kita memarahi mereka kerana Allah dan RasulNya. Kalau nak marah
anak murid terus ingat Nabi. Barulah timbul marah dalam kasih sayang. Satu
persoalan yang Anis kira, Anis sendiri perlu menyoal jauh ke dalam diri.
Allahu, sangat merindui saat hati dilapah-lapah dengan nasihat yang mampu
mengubah aku ke arah lebih baik. (Perbanyakkan selawat ke atas Nabi S.A.W mampu
meredakan kemarahan dan mengukir senyuman).
Kali ini Anis nak berkongsi sedikit soalan-soalan murid
yang pernah mereka lemparkan kepada diri ini :
SOALAN 1 :
Soalan ini Anis pernah berkongsi dengan beberapa orang
sahabat. Situasinya mengajar tajuk yang intipatinya terdapat bacaan tahiyyat
akhir. Dua orang murid bergaduh. Murid lelaki dan perempuan :
“Eh, mana boleh
baca saidina dalam tahiyyat! Salah! Ustaz
saya kata gini-gini….bla-bla……,” Kata
murid lelaki itu membetulkan bacaan murid perempuan.
“Eh, kenapa plak? Bolehla, memang kita boleh baca.
Bla….bla…bla….” Murid perempuan pula
mempertahankan bacaan tasyahhud akhirnya.
“Tak BOLEH! Mana boleh baca! ….. “ Murid lelaki terus mempertahankan.
Agak-agak jika anda berada bersama-sama murid kelas ini,
apa jawapan anda? (Saya dah menjawab persoalan ini kepada mereka J )
SOALAN KEDUA
“Ustazah! Ustazah Nak tanya soalan ni. Macam mana
ye, kalau kita kena culik, lepas tu,
kebetulan ketika tu tengah datang haid, tangan kita kena ikat time tu. Dalam
beberapa hari, kita pun dah boleh solat, macam mana kita nak solat time tu? Nak
kena mandi wajib macam mana? Ustazah faham tak soalan saya ni.” Tanya
soalan murid dengan mimik muka yang penuh keinginan untuk Anis menjawab
soalannya. Agak-agak kalau anda yang
menjadi ustazah ketika itu apa jawapan anda? :P
SOALAN KETIGA
Slot pagi dihiasi dengan tazkirah, bercerita berkaitan
kelebihan penghafaz Al-Quran.
“Ustazah, macam mana ye, jika orang tu menghafaz
al-Quran, tapi akhlak di teruk, dia tetap dapat bagi syafaat kepada ahli
keluarganya juga ke? Tapi dia jahat.” Soalan ini…….
SOALAN KEEMPAT
Selesai slot selawat Tobibiyyah bersama murid tahun 5
yang tersangat nakal, (Alhamdulillah kelebihan selawat mampu menenangkan
kenakalan mereka). Anis ada menyentuh berkaitan Yaumul Hisab. Selesai
slot ini, seorang murid perempuan dengan muka yang sangat sedih, datang bertemu
dan bertanya soalan.
“Ustazah, macam mana ye, jika mak tiri saya dan adik
beradik tiri saya sentiasa memperlakukan saya dengan teruk, membuat pelbagai
perkara yang menyakitkan saya. Adakah mereka perlu memohon maaf kepada saya?
Andai saya tak memaafkan mereka bagaimana? Apa yang harus saya lakukan. Mereka
dah tahu perkara tu salah. Tapi tetap buat saya macam ni.” Luahan hati
dengan pandangan berkaca-kaca. Anis berkongsi suatu jawapan yang cukup dekat.
Kisah Sang Pencinta Agung, Rasulullah S.A.W, dia dapat menyambung kisah dengan
baik. Akhirnya Anis berharap agar Allah sentiasa memberikan yang terbaik dan
keredhaan dalam apa jua yang ditempuhinya.
Ada banyak lagi soalan-soalan murid yang Anis kira,
sangat kita tidak boleh meninggalkan mereka dalam terkapai-kapai tetapi andai
tidak tahu jawablah dengan jujur, “tidak tahu” dan carilah jawapan dengan
segera agar mereka mendapat hak mereka sewajarnya dan kita juga mendapat ilmu
baru, walaupun kadangkala banyak soalan-soalan yang tidak masuk dek akal tetapi
itulah tahap pemikiran mereka. Jawablah dengan bilhikmah dan sesuai dengan
tahap mereka.
Sekadar menaip,
dicelah-celah waktu menaip ayat assignment….
9 September 2012,
M302,
2.27 p.m.