Saturday, November 24, 2012

"Sardin"


Bismillahirrahmanirrahim…



Sejuk malam menyentuh lembut kulit. Mata melihat jam sekejap-sekejap. Lambat lagi train bakal tiba. Mata sudah melekat, seperti sudah ditampal gam UHU (huhu). Namun dek kerana hati menjerit mahu pulang, terus dilayan kehendak hati untuk melangkah pulang malam ini.  Biarlah menghabiskan sisa ulangkaji di rumah sahaja. Jamuan usrah selesai, jamuan kelas juga baru beberapa minit selesai. Badan masih kepenatan. Dua hari sebelum menemani sahabat dirawat di Selangor. Otak ligat memikirkan peristiwa yang berlaku dua hari yang lepas sebelum kami (Anis dan sahabat) mengambil keputusan untuk terus pulang. Betapa ujian menimpa seorang sahabat dan betapa syaitan itu benar-benar menyesatkan manusia hingga ada beberapa angka umat ini begitu tega membelakangkan agama dan mengutamakan kehendak hawa nafsu semata-mata.


Cuti perayaan yang mendatang ini seakan membuka ruang bagi bernafas, meninggalkan kabut dan serabut jiwa yang mencengkam. Syukur, walaupun satu demi satu potret kehidupan dilalui dengan pelbagai cuaca, ada yang dingin, hujan serta ribut, tinggal hanya bersandarkan pada tiang tauhid mengutuhkan kaki untuk terus berdiri.


Allahu Akbar.


Sebentar tadi kami sempat berbaring sekejap-sekejap di surau. Beberapa masa kemudian, jarum menunjukkan angka 3 pagi. Kami bingkas bangun dan terus melabuhkan punggung di bangku sambil menunggu. Bosan menunggu, kami menjamu mata melihat karenah manusia di stesen Keretapi Kuala Lipis. Mengelamun sebentar. Hening suasana yang membelenggu perasaan di sebalik kelam manusia stesen ini dikejutkan oleh tiupan wisel yang menandakan keretapi telah tiba. Anis dan dua orang sahabat terus berdiri. Umpama terkena renjatan elektrik, terkejut :P .


Segera berlari menuju mana-mana pintu yang terbuka. Masya ALLAH! Terkejut dengan ratusan manusia dalam gerabak yang kecil ini. Benar-benar tawakkal. Dalam hati punya perasaan bingung, hendak diteruskan kehendak untuk pulang atau mahu tunggu train seterusnya. Melihat gelagat dua sahabat yang berusaha untuk pulang juga menyebabkan kaki terus berusaha untuk melangkah naik. Seorang pak cik membantu kami. “Kesardinan” keretapi ini menyebabkan pintu pun tidak dapat dibuka. Pintu hanya dapat ditolak sedikit sahaja. Cuba juga untuk masuk. Alhamdulillah akhirnya kami berjaya. Kaget melihat ramai lagi insan yang ingin menaiki keretapi tetapi tidak berjaya akibat kepadatan penumpang dalam gerabak kali ini. Allah… betapa Allah benar-benar membantu.


UJIAN DISEBALIK RUANG YANG DIBERI


Beg pakaian yang berat dipenuhi buku-buku untuk ulangkaji di samping beg komputer riba yang digalas sedikit pun tidak mencuri perhatian penumpang untuk memberi ruang kepada kami lantaran mereka juga dalam keadaan yang sama. Kepekatan malam dilalui dengan kepenatan berdiri. Akhirnya terduduk juga dalam keadaan sangat tidak selesa. Bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan bersesak berdiri. Hati terdetik. Beberapa masa lagi subuh bakal membuka tirai.



Macam mana kita nak solat ni? Nak bergerak ke kanan tak boleh, ke kiri pun tak boleh juga. Apatah lagi hendak mengambil wudhuk di tandas. Di mana kita nak solat ni?”



Sahabat meluahkan sama seperti di benak fikiran ini.



Jom kita beli air mineral dulu.” Cetus seorang sahabat sambil memandang air mineral yang terletak di tepi kami. Kebetulan kami berada dalam gerabak kantin.

Anis membeli air mineral untuk berwudhuk. Terfikir. Bagaimana mahu berwudhuk? Pasti aurat akan terdedah kepada ajnabi.

Timbul persoalan, bolehkah bertayammum? Sedangkan air masih ada di tandas namun keadaan menyebabkan tidak boleh bergerak ke mana-mana hanya mampu “static” di tempat kami berdiri sahaja. Air juga ada dalam beberapa botol yang kami beli.

Kalau tak pasti, kita rujuk ustaz nak?” Anis cuba melontarkan pandangan. Kebimbangan makin menusuk dalam fikiran yang tidak berapa sihat. Rasa pening sudah menjenguk minda lantaran tidak cukup tidur. Bimbang juga encik migraine datang mengetuk pintu.

Ada ke ustaz nak balas mesej dalam waktu begini?”

“Tak pe, kita cuba dulu ye. Anis cuba forward mesej ni kepada beberapa orang ustaz dan beberapa sahabat, kita dengar apa pandangan mereka terlebih dahulu.”


Satu lagi ujian dalam keretapi. Ketiadaan line telefon. Terpaksa bersabar dalam menghantar mesej. Beberapa mesej sudah dihantar. Mata melirik lembut pada jam di telefon bimbit. Sudah subuh. Bimbangnya hati ditusuk keraguan pilihan jawapan. Ujian mengaplikasikan ilmu yang dipelajari bersimpang siur dengan jawapan sahabat. Syaitan sengaja menimbulkan keraguan. Menunggu dengan sabar jawapan daripada mana-mana insan pilihan Allah.


Assalamualaik ustaz. Maaf mengganggu di subuh hari. Ustaz, kami sekarang dalam gerabak keretapi, terlalu sesak hingga hendak bergerak sedikit pun tidak mampu. Sekarang subuh sudah masuk waktunya. Kami hendak berwudhuk tapi bimbang aurat kami akan terdedah disebabkan kami tidak dapat ke tandas, hanya air mineral sahaja ada di tangan. Apakah yang patut kami lakukan?”

Setelah beberapa seketika,



Beberapa minit kemudian seorang Ustaz membalas mesej. Ringkasnya, dalam situasi ini dibolehkan bertayammum. Hati gembira hingga mulut tak dapat ditutup. Allah memberikan jalan. Syukur. Tapi di mana kami hendak solat. Hendak mencapai dinding pun tidak mampu. Kerana kami hanya berdiri di tengah-tengah gerabak.

Kita cuba minta tolong pak cik tu nak? Minta pinjamkan tempat untuk kita solat sekejap.” Ujar salah seorang daripada kami.


Takut. Malu tapi mahu. Cepat hati… cepat!


Pak cik, boleh tak kami mahu meminjam tempat pak cik untuk solat. Sebentar saja….” Seorang sahabat memberanikan diri untuk bertanya.


Boleh-boleh.”


Dengan izin Allah, saat itu, beberapa orang di hadapan pak cik itu turut mempelawa kami untuk mengambil tempat duduk mereka. Dalam kepadatan manusia itu, kami bertayammum bergilir-gilir sambil menutupi seorang demi seorang bimbang aurat lengan terdedah. (Syukur, tudung yang labuh dan besar sangat membantu diri kami) . Setelah itu, kami solat secara duduk di atas bangku.


Lega dan tenang. Satu perasaan yang tidak dapat digambarkan betapa nikmat anugerah “mudah” untuk beribadah sebelum-sebelum ini mula dirasai.

Setelah selesai kami bingkas bangun dan sahabat Anis segera membuka mulut, menjemput pak cik-pak cik tadi untuk duduk dan solat. Namun, mereka tidak mahu, menolak sambil tersenyum.

Tak pe- tak pe. Duduk-duduk,” Pak cik itu senyum.

Kami bingung, adakah Pak Cik itu segan dengan kami atau bagaimana?

Satu perasaan terselit. S.E.D.I.H. Melihat dalam KESARDINAN bilangan muslim dalam gerabak tiada seorang pun yang solat. Mungkin mereka solat menghormati waktu. Cuba berbaik sangka. Akhirnya waktu subuh terus berlalu begitu sahaja. Sudah beberapa kali Anis melihat situasi ini. Sama seperti suatu artikel yang pernah Anis tulis suatu ketika dahulu.



ALLAH MAHU MENGAJARIMU

Benar, dari peristiwa ini, banyak sekali Allah memberikan kami pengajaran.
1) Allah telah memilih seorang yang cukup kami segani untuk membantu kami membuat keputusan. Di saat kami keliru dan ragu-ragu adakah ada manusia yang sanggup menjawab persoalan di subuh hari. Kami tawakkal. Justeru, Allah memberi jawapannya. Benar, pasti ada jalan. Allah telah menghantar seseorang untuk kami.

2) Allah memberi peluang kepada kami untuk mempraktiskan ilmu yang kami ada. Selama ini hanya mengajari anak-anak murid bertayammum, namum belum berkesempatan melaksanakannya sendiri. Lihat, Allah memberi ruang dan peluang.

3) Allah memberi peluang dakwah bil hal. Betapa ramai mata-mata memerhati gerak laku kami bersolat. Kami melihat riak muka mereka juga berubah tatkala diajak untuk menunaikan solat.

4) Allah juga mengajari kami soal tawakkal dan sabar. Dua jam setengah berdiri dengan penuh sabar dan berbincang mencari jawapan. Akhirnya Allah memberi kemudahan untuk kami duduk pada 3 jam yang berikutnya.

5) HIKMAH bertudung labuh, mempermudahkan urusan saat bertayammum, lengan dapat ditutup dengan tudung labuh, besar. Syoknya tutup aurat dengan sempurna.

6) Paling berbekas di hati, Allah juga menganugerahi perasaan nikmat beribadah kepada kami, dan kami belajar untuk menghargai nikmat “mudah” untuk beribadah.



Walaupun ini hanya sebuah KISAH BIASA, NAMUN IA TETAP TERLEKAT UTUH DI MEMORI Anis!



Nota 1   :Sungguh, bersama kesulitan itu ada kemudahan.  Di sebalik musyaqqah itu pasti terselit hikmah. Teringat kata-kata Qawalun : "Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami selalu berprasangka baik kepada Allah!"


Nota 2   : Peristiwa ini berlaku hampir 14 bulan yang lepas. Dengan ujian yang berlaku pada sahabat A, menyebabkan hati mahu segera pulang. Hikmahnya, sahabat B yang pulang bersama mampu meluangkan masa “emas” bersama arwah bondanya sebelum bertemu Rabbul ‘Izzati beberapa masa selepas itu. Menerima khabar sedih di hari wukuf di PUTIK, dan dikejutkan dengan berita kepulangan bondanya menghadap Allah sehari sebelum menduduki peperiksaan. Moga ALLAH mengampuni dosa-dosanya serta menjadikan lubang kuburnya salah satu dari taman-taman syurga serta menjadikannya dalam kalangan hamba yang mendapat rahmatNya di sana nanti. Amin






Hidup adalah untuk mengolah seni kematian. Belajarlah menulis Prasyarat Kematian, sebuah ingatan kewajipan yang perlu dilaksanakan buat diri ini sehinggalah nafas terakhir. Moga setiap hari lebih bermakna.

Rantaian beberapa memori bermakna sengaja aku coretkan,
24 November 2012,
2.00 P.M




Wednesday, November 21, 2012

Memaknakan 1, memburu 99




Bismillahirrahmanirrahim.



LIHAT-LIHAT



Bila melihat indahnya bintang yang Allah ciptakan, hati tidak henti-henti memuji. (Maaf, sebab selalu sebut bintang ^_~)


Berjalan di aspuri menuju ke bilik, kaki terhenti di anjung.


“Ya Allah… cantiknya. Subhanallah…”


Mata terpaku pada terang dan bulatnya rembulan.  Indahnya sangat menenangkan dan menyenangkan. Cahaya memagari bulan dan terpantul menerangi kepekatan malam.




Teringat, saat menyiapkan satu tugasan fotografi, tidak henti-henti merakam gambar indahnya alam. Di sini merakam “kecomelan” bunga yang menghias alam dengan pelbagai warna. Mendongak ke atas pula, merakam gerak tari awan yang berarak dengan pelbagai ragam mencorakkan lukisan di dada langit. Pabila kepada tertunduk ke bawah, terpandang hijaunya dedaun, benar-benar mengikat hati untuk terus terpaku pada ciptaan alam.




Diri sendiri terfikir, masya Allah, jika beginilah Allah mencorakkan alam, bagaimana pula keindahan syurga? Iaitu apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia.




Nabi SAW bersabda dalam hadith Qudsi, “Allah berfirman, ‘Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaKU yang soleh, apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia”. (HR Bukhari dan Muslim)



Subhanallah, sesuatu yang luar biasa ini sudah tentu Allah kurniakan kepada hambaNya yang luar biasa. Luar biasa di pandanganNya hingga terpilih menerima rahmatNya. Kalau kita melihat keindahan di dunia pun kita sudah kagum, bagaimana pula bila melihat keindahan syurga? Bagaimana pula bila melihat keindahan Yang Maha Mencipta? Apa perasaan yang terdetik tika itu? Tak dapat digambarkan bukan?


“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka Melihat.” (Al-Qiyamah 22-23)


MEMBURU RAHMATNYA



Tertunduk penuh rasa kehambaan, pabila membaca satu hadis. Dengan izin Allah, benar-benar menusuk halus ke dalam hati ini.


Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. sabda Baginda yang bermaksud : “Allah mencipta rahmat dalam 100 bahagian. Dia menahan di sisi-Nya 99 bahagian (rahmat) dan menurunkan ke bumi satu bahagian sahaja.” (HR Bukhari)



Hati membayangkan, betapa…dengan satu bahagian inilah, semua makhluk berkongsi di dunia ini, itupun sudah tidak tersambut rahmat-Nya yang melaut luasnya. Apatah lagi dengan baki yang bakal dinikmati di sana kelak. Sungguh! Dengan satu rahmat ini sudah mampu menyebabkan hati terpesona dengan dunia dan seisinya. Apatah lagi baki 99 rahmat di sisi-Nya.



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah s.w.t memiliki 100 rahmat (nikmat) satu rahmat daripadanya diturunkan-Nya dan dibahagi-bahagikan di antara jin, manusia, haiwan-haiwan besar dan kecil. Dengan rahmat yang satu itu, semua makhluk tersebut saling sayang menyayangi dan kasih mengasihi. Dengan rahmat yang satu itulah seekor keldai menyayangi anaknya. Adapun rahmat yang 99 lagi disediakan Allah s.w.t buat kehidupan di akhirat. Dengan rahmat yang 99 itulah Allah akan mengasihi hamba-Nya pada hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Bergenang air mata ini membaca hadis tadi.


Allah mengirimkan kefahaman buat diri ini. Selama ini aku membaca hadis riwayat Bukhari yang menceritakan dialog Rasulullah dan sahabat. 

Rasulullah s.a.w: “Amal seseorang tidak mampu menjamin dirinya.”
Sahabat: “Apakah termasuk engkau , wahai Rasulullah?”
Rasulullah s.a.w: Ya, termasuk aku juga. Hanya rahmat Allah.”


dan kini Allah telah mengizinkan diri ini untuk lebih memahami. Alhamdulillah.



Sesungguhnya, baki 99 rahmat Allah inilah yang dimaksudkan dalam hadis tadi:


Nabi SAW bersabda dalam hadith Qudsi, “Allah berfirman, ‘Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaKU yang soleh, apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia”. (HR Bukhari dan Muslim)


BELAJAR RINDU



Sedang menunggu seorang guru untuk menuntut ilmu. Tangan membelek-belek sebuah bahan ilmiah. Cuba menghilangkan rasa mengantuk di kepekatan malam. Hati terketar. Bila membaca artikel betapa sebenarnya kita harus sedar dan belajar. Belajar untuk rindukan syurga. Belajar untuk merindui syurga sebagai salah satu cara untuk merindui yang menciptakannya.

Pandang bunga. Berfikir betapa indahnya lagi Syurga yang Allah janjikan. Bila pandang sungai latih hati untuk makin mengislahkan diri kerana nikmat di sana lebih hebat dari satu rahmat yang mempesonakan ini. Jadikan keindahan ciptaan Allah di dunia sebagai inspirasi mengejar keindahan sebenar-benarnya keindahan.


Jom sama-sama impikan syurga!


Sama-sama sentiasa beramal dengan doa yang di ajar oleh Rasulullah ini:

“ Ya Allah aku meminta padaMU kelazatan melihat wajahMU dan rindu bertemu denganMu.” (HR Ahmad danAnNasa’i)

P/s : Sungguh, bagi orang-orang yang Allah pilih, mereka sebenarnya telah diperlihatkan syurga di DUNIA lagi, ketika saat mati menjemput mereka sebagaimana Asiah telah diperlihatkan mahligai yang telah dipersiapkan untuknya di syurga. T_T


Fi baiti Sakinah,
21 November 2012,
11.33 P.M

Monday, November 19, 2012

Keterhijaban dan berbaik sangka


Bismillahirrahmanirrahim.



Jarang sekali kita berfikir. Ya, berfikir bagaimana memaknakan setiap kata yang kita ucapkan, setiap patah kata yang kita tulis. Terkadang kita hanya memaknai rasa syukur dengan sekadar melepaskan kata Alhamdulillah bila hanya mendapat sesuatu nikmat. Seorang sahabat yang sangat Anis kagumi setiap bait katanya, sering membetulkan kata-kata yang terbit dari bibir ini. 



Bukan terkadang Nis, tapi selalu, selalu kita hanya bersyukur saat mendapat sesuatu nikmat.”



Suatu saat yang lain,



“Terkadang, kita sering terlupakan Dia”



“Nis, bukan terkadang, tapi selalu…”



Benar kak… selalu kita melupakan Dia, dalam sedar ataupun tidak. Allah… hati ini masih ada cinta dunia. Sesungguhnya dalam syukur yang sebenar ada penghayatan luar biasa akan penerimaan, ada rasa terima kasih begitu besar, ada ketulusan dan keikhlasan yang mendalam.



Maka, izinkanlah diri ini mengucapkan syukur kepada ALLAH yang Maha Agung. Benar, kekuatan dariNya adalah kunci setiap langkahku dalam hidup, hingga setiap sedutan nafas, keluar masuknya, berdengupnya jantungku ini, berkedipnya mata ini, semata-mata bergantung pada belas kasihNya hingga kemudahan dariNya yang membuatku mampu untuk menaip setiap bait kata ini. Semoga Cinta tertinggi tetap bersandar kepadaMu.  Dan Muhammad S.A.W, selawat dan salam buat dirimu,  wahai belahan jiwaku. Tanpamu mana mungkin bisa tersinar iman dan Islam dalam susuk tubuhku, dan tak mungkin dapatku rasakan nikmat ini.



KETERHIJABAN


Pagi tadi masih menyelak lembaran buku yang sama, ada separuh lagi belum dikhatam, buku yang terkemudian sampai, terlebih dahulu dihabiskan. Bukan berat, namun buku ini perlu dihadam dengan hati. Begitu enak patah katanya. Tersenyum.



Anis tersentak dengan banyak perkara melalui tulisan Salim A. Fillah ini. Moga Allah merahmati dirinya. Amin. Berbincang tentang keterhijaban dalam konteks yang Anis ingin sentuh sahaja ini, (sebab hijab ni luas dan banyak makna dan konteksnya). Hijab dalam konteks kita tak pernah tahu apa yang terjadi esok. Ya, kita terhijab dari sebuah tabir masa depan. Dalam keterhijaban itu kita sering terperangkap dalam sebuah perkiraan. Perkiraan menduga apa yang bakal terjadi disebalik keterhijaban itu. Apa yang bakal terjadi di masa depan yang tak ternampak itu. Kadang kita berfikiran positif dan kadang dalam tanpa sedar, malah mungkin selalu kita berfikiran negative. Itu semua pilihan. Kita lah yang menjadikan kehendak kita selari dengan kehendak Allah.



PRASANGKA


Beberapa tahun yang kita lalui ini sebenarnya tanpa kita sedar, kita berjaya melalui dengan prasangka yang baik. Kenapa? Kita sebenarnya tak mampu untuk terus menghadap laptop ini lagi jika kita benar-benar yakin mati itu satu saat lagi selepas ini atau memang saat ini lantaran saat kematian itu tiada siapa yang mengetahuinya. Kita tak mungkin berani untuk duduk atau berbuat apa saja melainkan dalamnya terkandung perkara yang membuahkan pahala. Namun, kita masih berani berbaik sangka bahawa Allah masih memberikan peluang untuk kita mengislahkan diri. Kita juga berbaik sangka bahawa kita masih diberi peluang untuk merencanakan hidup agar sentiasa dapat meningkatkan rasa rindu kepadaNya. Malah, kita sering berbaik sangka bahwa Allah kelak akan menempatkan kita di Syurga. Lantaran itu, ucapan kita sering dipenuhi dengan perkataan syurga. Misalnya, bercinta hingga ke “Syurga”, xpe, Moga ALLAH mempertemukan kita di syurga, serta lain-lain ungkapan. Dengan perasaan ini, kita sering dapat memenuhkan jadual perjalanan hidup kita dengan penuh bahagia, kita terus menggantungkan rasa raja’ kepada Allah dan menyusun rencana-rencana masa depan.



Sesungguhnya Aku (ALLAH) adalah di sisi sangkaan hambaKu kepadaKu. (HR Ibnu Majah)




KISAH YANG MENGGEGARKAN JIWA!


Alhamdulillah, belajar sesuatu dari sebuah kisah, Qalawun yang berani berbaik sangka dalam segala keterhijaban.


Qalawun, dalam mengikuti titik-titik takdir hidupnya, tidak pernah lekang dari bibirnya tatkala melalui fasa-fasa dalam hidup menyebut:


"Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami selalu berprasangka baik kepada Allah!"



Dengan prasangka baik kepada ALLAH akhirnya membawa pada cita-cita yang dihajati.
Apa jua yang dihadapi tetap terbit dibibir tanpa sepi,


"Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami selalu berprasangka baik kepada Allah!"


"Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Tapi kami selalu berprasangka baik kepada Allah!"



Masya ALLAH, percayalah, kamu perlu membaca kisah ini!!!!! à Kisah Qalawun



Inilah sekelumit kisah tentangnya. Qalawun yang berani berprasangka baik dalam segala keterhijaban. Qalawun yang berani berkata, “Kami tak tahu ini rahmat atau musibah. Kami hanya berprasangka baik kepada Allah!” Seperti kisahnya, dalam dekapan ukhuwah, ada berjuta kebaikan mengiringi prasangka baik padaNya. Dia setia bersama kita dan melimpahkan kebaikan, karena kita mengingatNya juga dengan sangkaan kebaikan.



Fi Baiti Sakinah,
19 November 2102,
10.32 p.m.

Tuesday, November 6, 2012

Sekadar berkongsi


Bismillahirrahmanirrahim…



Sungguh sunyi menghimpit rasa, sahabat sekelas semua sudah pulang ke kampung halaman. Hati memberontak ingin ditemani. Tak sabar menunggu esok! (Sabar ye cik hati).


Exam dah habis. Harus gimana ya?



Alhamdulillah selesai sudah peperiksaan. Sungguh! Tampaknya seperti selesai namun hakikatnya masih tidak selesai. Peperiksaan demi peperiksaan kita tempuhi. Andai berjaya Insya-ALLAH bertambah keimanan, jika gagal, hati terjerumus dengan perkara yang Allah larang maka berkurang “pointer”  iman kita. Pesan seorang sahabat dalam tazkirah zohornya,


Iman kita yazid wa yanqus, tapi kita kena ingat kenapa iman kita yazid wa yanqus, yanzid bi al-taat wa yanqus bil maksiat. Bertambah iman kita kerana ketaatan dan berkurang kerana maksiat.”



Semalam, seorang sahabat datang ke bilik, berkongsi rasa,



Anis, saya memang gembira sebab dah habis semua paper  tapi setiap kali habis exam, saya sendiri terasa dan tertanya. Apa sebenarnya yang saya dapat dari semester ni? Rasa kosong.”



Anda pula bagaimana? Agak-agak apa ilmu yang dapat setelah semester demi semester belajar?

Diam, dan fikirkan sejenak.



Alhamdulillah… banyak sekali J !




atau





Astaghfirullah al- azim… hmm… L!


Moga ilmu itu bukan hanya di kertas, setelah peperiksaan, ilmu juga tammat begitu sahaja di atas kertas dan melayang untuk diperiksa oleh pemeriksa, kemudian hilang. Nauzubillah. Apa pun ilmu yang ALLAH bagi, usahakanlah untuk menjaganya. Hargailah.  Bagaimana menjaga? kata Imam al-Shafie

شكوت إلى وكيع سوء حفظي * فأرشدني إلى ترك المعاصي
وقال بأن العلم نور * ونور الله لا يهدى لعاصي



Maksudnya : “Aku mengadu kepada guruku Waki’ tentang buruknya hafalanku, maka beliau menunjukkan aku agar meninggalkan maksiat, katanya ilmu itu adalah cahaya, dan Cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang buat maksiat”.



Peringatan untuk diriku… L Berakhirnya sebuah peperiksaan bermakna anda sendiri seharusnya sudah dapat refleksi menggunakan tanda aras sendiri. Di mana takat diri yang telah disukat? Jika lebih baik bersyukurlah dan bergembiralah. Jika sebaliknya? Anda ada jawapan dalam diri anda. Anis pasti.



Hadiah dari Allah



Anis ada membaca blog kak ayu, salah satu kata-kata guru pelatih berkaitan isu terhangat sekarang. Sungguh hal yang berlaku benar-benar menyentak kesedaran buat ramai insan. Tiada yang dapat menjamin sesuatu kacawali Allah jua.

Kata seorang insan yang Anis cintai dan sayangi suatu ketika, saat sedang berkongsi rasa,




Allah banyak ajar soal tawakkal, enjoy dis moment sebagai satu hiburan dari Allah, enjoy dengan cara memelihara ikhlas dalam melalui takdir yang sedang berlaku, tak tau macam mana nak gambarkan rasa yang Allah bagi, apa pun ketakutan yang kita ada, kita kena overcome…kita sendiri yang memilih jalan untuk menjadikan kehendak kita selari dengan kehendak Allah.”


Allah benar-benar menguji tempat kebergantungan kita yang sebenarnya. Mungkin selama ini kita tersilap meletakkan kebergantungan kita.



Teringat kandungan modul akidah yang telah dihadam baru-baru ini. Banyak kata-kata yang Anis suka.  Ujian ini juga menguji kemantapan akidah kita. Benar, Allah nak bagi kita lihat.  Jika kita memiliki akidah yang utuh pasti akan menyebabkan kita akan dipenuhi dengan keamanan dan ketenangan, kita tidak akan dikuasai oleh unsur-unsur luar. Akan tertutup pintu ketakutan yang selalu berada di kepala golongan jahiliyyah, seperti takut tentang rezeki, takut tentang ajal, takut pada diri, takut pada keluarga dan anak-anak, takut kepada pangkat, takut kepada mati dan pelbagai masalah lain yang menyelubungi ketakutan yang tidak berasas. Ketenangan jiwa akan menjelma jika akidah kita mantap dan berpaksi kepada Allah s.w.t. semata-mata. Dengan sebab itulah, ketika orang lain berada di dalam ketakutan, orang mukmin akan berada di dalam ketenangan. Inilah yang membezakan keadaan yang sebenarnya di antara Islam dengan jahiliyyah.

Sungguh! Benar sekali akidah yang mantap akan melahirkan seorang yang berjiwa besar, dapat memberi kekuatan jiwa yang besar kepada seseorang. Bila jiwa mereka dipenuhi dengan sifat raja’ (mengharap) kepada Allah, meletakkan thiqah (kepercayaan), bertawakal kepadaNya, redha dengan qadarNya, sabar terhadap dugaan dan ujian dariNya, tidak meminta pertolongan kepada makhluk maka ia akan menjadi kuat dan kukuh, laksana gunung yang tidak dapat digoyang dan digoncang oleh bencana dan tragedi. Apabila ia ditimpa bencana, musibah dan sebagainya ia terus memohon pertolongan kepada Allah s.w.t.



Pesan seorang penulis saudara ilham dalam blognya, Kita fokus ke depan. Apa yang perlu kita lakukan sekarang untuk atasi setiap permasalahan hidup kita. Rancang semula. Bincang semula dengan insan terdekat, isteri atau suami atau keluarga. Dan ingatlah bahawa setiap kejayaan akan datang adalah hasil daripada apa yang kita ciptakan sekarang. Maka janganlah berlengah.



Harus bagaimana aku lakukan sekarang?



1) Kembali semula kepada Pemberi Rezeki

Kebanyakan manusia hari ini lupa bahawa setiap sen rezeki itu datang daripada Allah SWT. Mereka alpa dan kejar ke sana ke mari tanpa mempedulikan tanggungjawab kepada pemberi rezeki. Mereka ingat semua kekayaan atau hasil titik peluh itu adalah usahanya semata-mata. Apabila tiba ditimpa musibah, barulah dia teringat bahawa Allah SWT itu ada sebagai pemberi rezeki kepada dirinya. Ketika itulah dia menadah tangan bermohon dilimpahi nikmat dan rezeki. Kita sama-sama muhasabah diri dan dekatkan diri pada-Nya. Berdoa dan bersujudlah pada-Nya. Paling afdhal ialah kita kuatkan semangat untuk berqiamullail. Solat malam adalah salah satu ibadah yang disukai dan digalakkan oleh Rasulullah SAW. Pada masa itu pintu gerbang doa terbuka luas. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengasihi hamba-hamba-Nya.




2) Banyakkan MEMBERI.

"Ramai orang yang gagal dalam hidup kerana lebih pentingkan bagaimana untuk mendapatkan sesuatu, berbanding bagaimana untuk memberikan sesuatu. Sedangkan mengikut kajian, orang yang berjaya dlaam hidup ialah orang yang banyak memberi." Ini adalah petikan tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya Mukmin Profesional.

Mungkin kita sering terlupa, Rasulullah SAW sendiri adalah orang yang paling banyak memberi. Walaupun baginda bukanlah tergolong daripada orang yang kaya raya sebagaimana sahabat-sahabat lain.

Banyakkan bersedekah. Insya-Allah setiap sen yang kta hulurkan, akan diberi ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT. Mungkin kita akan perolehi rezeki yang tak disangka-sangka daripada Allah. Siapa tahu?



3) Fokus PENYELESAIAN dan BUKAN PERMASALAHAN

Kita positifkan diri. Lihat segala permasalahan itu dengan sudut pandang yang positif. Ia semuanya adalah ujian Allah SWT. Ada sebab kenapa kita 'terpaksa' hadapi itu semua. Semuanya dalam perancangan Allah SWT.

Ia bukan mudah. Dan Anis juga bakal hadapi masalah sebagai mana orang lain juga. Contoh masalah kita berkaitan WANG. Tiada keseimbangan dua pintu, iaitu pintu pendapatan dan pintu perbelanjaan. Maka kita gunakan apa kekuatan atau kelebihan yang kita ada. Gunakan ia sebagai pintu jalan keluar permasalahan kita. Jika saya, selama ini tidak sedar apa yang ada dalam diri. Maka dengan izin Allah SWT berikan petunjuk disaat saya buntu. Dunia penulisan menjadi salah satu sumber rezeki selain tugas utama menyampaikan dakwah kepada khalayak pembaca.

Mungkin juga boleh ikuti nasihat seorang penulis motivasi terkenal iaitu Dr. Rusly Abdullah Ph.D. Beliau mengatakan bahawa setiap perniagaan yang mahu diceburi tanpa memikirkan sangat modal. Eh! betulkah. Ya, betul. Dia risau melihat ramai orang sibuk pasal modal. Padahal segala apa yang ada pada masa itu dijadikan modal. Ciontohnya, mahu berniaga goreng pisang. Gunakan kelengkapan sedia ada buat permulaannya. Ambil apa-apa perkakasan di dapur. Gunakan sebagai modal untuk menggoreng pisang. Itu contoh mudah diberikan oleh beliau.

Kata Chef Li, "Kenapa kita tidak kaya? Jawabnya kerana kita tidak memperkayakan diri kita sendiri. Setiap hari kita berusaha dan bekerja untuk memperkayakan orang lain."

Itu adalah pandangannya. Jika tuan-tuan rasakan ia benar dan mampu lakukan. Maka laksanakan sekarang. Terjunlah ke dunia perniagaan yang halal dan patuhi syariat Islam.

Paling penting kita fokuskan apa masalah dalam diri dan sekeliling kita. Kemudian kita duduk seketika. Berbincang jika perlu. Apa masalah dan cara penyelesaian terbaik yang wajar kita lakukan. Jika perlu kurangkan perbelanjaan, kita lakukan sekarang. Jika perlu kerja lebih masa, kita kerja lebih masa tetapi tidak abaikan ibadah pada-Nya serta kasih sayang dalam keluarga.




BACA NI JUGA J!



Tergelak membaca perkongsian seorang berkaitan isi ceramah UIA,

“Point UAI yang paling saya suka, rezeki suami takkan dimakan oleh isteri. Pada awal dengar ayat ni, agak blurr, tapi alhamdulillah, Allah berkehendakan kefahaman pada saya. Ketika ditiupkan roh kita ke dalam rahim ibu, para malaikat telah mencatat ketetapan oleh Allah akan setiap makhlukNya; rezeki, jodoh, ajal. Kaum adam janganlah risau tentang ekonomi sehinggakan melambat-lambatkan ibadah yang menyempurnakan sebahagian agama iatu pernikahan. Di mana letaknya keyakinan kita terhadap sifat Allah yang Maha Pemberi Rezeki? Isteri akan datang ke rumah suami dengan rezekinya sendiri. Ditambah pula dengan kelahiran cahaya mata yang juga lahir dengan catatan rezekinya sendiri.

"Orang asli dok ngaji sifat 20 Allah pun, tapi rilek je ade bini. Due agi bos. Anok-anok lompat sana sini, 13 orang agi. Tak dok myvi pun, tak dok honda accord pun, sumpit je bos. Duk umoh dari daun-daun je, tapi yakin rezeki tu akan mari. Kite hok ngaji sifat 20 Allah pun takut nok nikoh." Ustaz Azhar Idrus~




Anis sendiri tak pasti apa point menulis kali ini, semoga beroleh sesuatu. Akhir kata,

                “Harta sebahagian dari rezeki, ada rezeki yang lebih luas, rezeki kesihatan, ada juga rezeki zuriat, juga rezeki pada keberkatan, dan setiap nikmat yang Allah kurniakan itu adalah rezeki dan lebih dari sekadar HARTA”



Allahu akbar! Banyak perkara yang mampu kita fikir dan usahakan. Saya juga sedang laksanakan apa yang perlu walaupun ada saatnya saya juga buntu. Kembali pada-Nya.Mohon pada-Nya. Dekatkan diri pada-Nya. Insya-Allah ada lorong-lorong rezeki untuk kita.

Tak salah kerja kuat! Usaha dari sekarang comey! Huhu Anis telah berkira-kira berfikir, nampaknya perlu mengadun plan dan plan yang lebih strategic dan sistematik serta futuristic ditambah dengan perencah formula jangan tangguh! Cepat dan tangkas! Haruslah J


Enjoy dis moment, terima kasih ALLAH J
M302,
6 November 2012,
4.15 p.m.