Tuesday, November 26, 2013

... contengan kata

Bismillahirrahmanirrahim
Setiap tulisan ku mulakan dengan basmallah,
agar hati dipandu oleh Allah.

Untuk dakwah yang ku cinta,
meraih kedekatan Sang Pencipta.


Aku memohon keampunan kepada ALLAH di atas segala dosa yang aku lakukan hingga kadang tidak tersampainya dakwah ini. Tatkala jariku ligat menaip, hati terus berusaha mengeluarkan apa jua yang tersisa untuk berbagi dengan manusia. Terkadang, cemburu dengan insan yang bisa menyampaikan ilmu setiap hari sama ada melalui lisan atau tulisan. ‘Ala kulli hal, tetap memanjatkan syukur, lantaran sedar ALLAH masih memberi sedikit kesempatan untuk terus menulis walau hanya sekadarnya.


            Sedar tak sedar, sudah beberapa masa tidak mengupdate blog ini. Sentiasa ada sesuatu yang ingin dikongsi. Namun, aturan Allah itu lebih indah dan mengatasi segala yang kita rasa. Masa terus berlalu, bersama introspeksi diri sebagai ‘abd (hamba) ALLAH adakah sedaya upayanya kita telah berusaha untuk menjadi yang terbaik. Selalu disibukkan dengan urusan dunia membuatkan semakin hari semakin tenggelam dalam kegawatan masa. Itulah yang sering dikeluhkan oleh sesetengah insan.



TAHUN 2013 

Menjejak angka 2013, masa agak padat dengan pelbagai perancangan kuliah dan peribadi serta untuk agama ini. Masih teragak-agak mengatur langkah. Namun terus digagah walau payah. Apa yang mustahil di mata manusia namun sebaliknya disisiNya. Praktikum 3 bulan sudah melepasi sempadan. Internship, dengan harapan muncul sebagai yang lebih baik. Azam masih dipasak. Namun, perlu dipadu dengan usaha. Terus menerus mengatur langkah hingga segalanya berjaya tanpa disangka. Satu kepuasan dengan  usaha diri yang serba kekurangan. Kajian Tindakan untuk tahun ini, memfokuskan berkaitan dengung dan bukan dengung dalam bacaan al-Quran. Maka satu formula yang sangat menarik (minat murid Anis) telah diilhamkan oleh Allah. Alhamdulillah, tiada kepuasan yang dirasai melainkan kegembiraan melihat bacaan al-Quran mereka bertambah baik dan feedback  yang sangat positif daripada mereka. Allahu, ustazah rasa nak peluk-peluk kamu semua! Terima kasih sebab memberi kerjasama kepada ustazah ye.

   

Antara bahan yang digunakan ketika kajian

AR yang telah siap dijilid



          Kajian fiqh juga tidak kurang mencabar. Benar, Allah sentiasa memberikan apa yang kita perlu. Tajuk berkaitan fiqh  kontemporari adalah takdir Allah untuk diri ini. Dengan izinNya juga, asbab kajian fiqh ini, maka dengan segala kudrat yang ada, drive laju-laju ke ibu negara dan library-library demi ilmu. (Alhamdulillah, memang rasa nak angkut library masuk bonet kereta :P ).


UJIAN ITU SENTIASA ADA

Disaat kemanisan telah menyerap masuk ke dalam kehidupan, rasa masin dan masam masih lagi terus mencari ruang. UjianNya, tatkala hanya dua hingga tiga hari (memang betul-betul 2 atau 3 hari!) Anis perlu menghantar kajian tindakan, Maha aturanNya, semua bahan kajian hilang! Ya, 100% hilang. Alhamdulillah, dengan izinNya, Dia menganugerahkan rasa setenang-tenangnya dalam diri ini. Setelah, hardisk didiagnosis oleh beberapa orang ‘doktor’ bahawa sememangnya tidak lagi dapat diselamatkan, hati terus sentap! Memang menitis air mata ini. Saat itu, sememangnya memujuk diri. Langkah diatur laju-laju. Serajin-rajinnya mengutip maklumat dari bahan-bahan hard-copy yang sebelum ini pernah telah disemak oleh Dr. Alhamdulillah, masih tersisa, dan terus meminta ihsan Dr. untuk mengambil kembali proposal kajian Anis yang lepas untuk ditaip balik. Allah maha menduga, saat kekalutan itu, satu panggilan menjengah suasana. Diberitakan, tok wan masuk ICU dan tenat dengan harapan 55%. Memang rasa sangat teruji. Namun, benarlah, ayat yang diulang baca dan dihayati, “sesiapa yang tertaqwa kepada Allah, maka Allah akan jadikan baginya jalan keluar.” Allah telah menyediakan jalan keluar yang terbaik bagi episod ini. Terima Kasih ya ALLAH!


MY ROOMATE

Tidak terungkap dek kata. Untuk Ima, sungguh banyak kelemahan dan kecacatan sepanjang kita berkongsi. Ima, terima kasih kerana menerima baik dan buruk Anis. Sememangnya ALLAH maha mengaturkan segalanya bukan? Memori saat kita bergurau senda, segala-galanya tetap indah dikenang. Sengaja tidak mahu mengungkapkan selamat tinggal, kerna yakin adanya pertemuan yang diaturkanNya. Insya ALLAH. Ima, kerana Allah, ada rasa sayang di hati ini.




Disebalik redup matamu,
tersimpan satu rahsia,
yang terbuku diruang hatimu,
disebalik senyumanmu,
tersirat simpulan,
deritanya hanya kau yang tahu.

Kau setia menanti
Kau setia mengharungi

Biarpun ribut badai melanda
Kau teguh berdiri
Walau deras angin menderu
Kau tetap di sisi

Ku doakan agar kau kan bahagia
Ku doakan agar tiada lagi derita
Moga Tuhan kan merahmati mu
Di syurga yang selayaknya.





SAHABAT, I LOVE U

Sungguh, rasa menghampiri penghujung pertemuan secara fizikal dengan sahabat-sahabat, lima tahun setengah di sini memang hampir saja tidak terasa. Sekejap saja. Asyik-asyik Anis dan sahabat-sahabat bertanya, “Eh, betul ke kita ni dah nak berpisah?” Allahu. Benar, secara adatnya dan aturan takdirnya. Namun, perancanganNya kelak, masih lagi rahsia. Terlalu singkat jika mahu diungkapkan dengan kata rasa di hati. Apa yang pasti deraian air mata selaju-lajunya mengalir. Hatta, di Jabatan bersama pensyarah, air mata kami masih mengalir laju, hingga rasa tersimpan di dada guru-guru kami, terpancar keluar. Sebakmu guru, merah wajahmu guru, ungkapan kesedihanmu guru, kami juga merasanya.

            Benar, saat demi saat terlalu pantas menyusur waktu, meninggalkan jejak-jejak semalam. Barangkali ada calitan memori yang pahit pada suatu masa dahulu namun indah tika dikenang. Yang indah lebih lagi membuahkan kerinduan. Saat perpisahan itu bertandang, wajah kan sugul penuh kepayahan. Lafaz kan tenat kepayahan. Sesungguhnya teman, diri ini mencintaimu, mengasihi dirimu seadanya. Air mata kita ini, air mata perpisahan ini. sejernih embun di dedaun, bak mutiar berkilauan, menyingkap rahsia keikhlasan yang terpendam. Setiap bait-bait doa yang sahabat-sahabat lafazkan, moga menjadi kenyataan. 






Aku inginkan persahabatan indah ini, bisa mjadi syafaat,di Mahkamah Mahsyar nanti, ketika semua umat manusia gusar mcari plindungan, Allah menyeru 7 golongan, antaranya dua pemuda, yang saling bkasih sayang KERANA ALLAH, begitu sabda junjungan.

SAHABATKU

Dahulu... hatiku pernah berkata:


"Tuhan... Aku belum nampak akan kebaikan di sebalik kepedihan ini dengan ilmuku yang terbatas. Tetapi aku yakin ya Allah, ilmu Mu maha luas, pasti ada kebaikan yang masih terselindung di sebalik ujian ini. Yang ketika ini tidak mampu aku fikirkan dan bayangkan..."

Alhamdulillah...alhamdulillah...hatiku mampu berkata, aku bahagia! Ku berdoa, biarlah kita bisa berpimpinan tangan... seiring sejalan ke syurga. Hanya ALLAH maha tahu betapa hati ini 





Andai ku simpul dan ku susun awan menjadi ayat-ayat  dilembaran dada langit mbiru itu... bakal sempurnakah ayatku nanti?





HADIAH DARIPADA ALLAH

Dicelah-celah kesibukan akhir tahun ini, tanpa disedari banyak karya terhasil. Kajian tindakan, kajian fiqh dan Alhamdulillah, dengan lafaz bismillah, Anis ingin memperkenalkan karya kecil Anis  bersama MUSTREAD SDN BHD, “Menjejak Cinta Allah & Rasul.” Selain itu, bersama DBP kompilasi cerpen bersama beberapa orang sahabat dan adik-adik IPG (belum lagi terbit). Alhamdulillah. Sejujurnya, sepanjang praktikum 3 bulan dan internship Anis cuba dan terus menerus memanfaatkan masa. Walaupun sangat kritikal. Alhamdulillah....



Dikesempatan ini, Anis ingin sekali melafazkan dedikasi khas untuk semua:

“Aku bersyukur kerna dikurniakan ibubapa sebaik mak dan abah, aku gembira kerna dikurniakan kakak sebaikmu, aku selalu berbangga dikurniakan abang setulus dirimu abe, aku selalu tersenyum bahagia kerana melihat telatahmu Ain, Asyraf dan adik. Aku berterima kasih kepada yang Esa kerna dipertemukan dengan guru-guru yang soleh dan solehah hingga aku semakin terasa kedekatan bersamaMu. Aku memandang kembali sekelilingku, ada sahabat yang senantiasa menerima baik dan burukku. Lalu aku bertanya dengan nikmat yang sebegini hebat, apa lagi yang harus aku dustakan.

            Di celah-celah kesibukan tahun akhir sebelum aku benar-benar bergelar guru, aku cuba merealisasikan impian yang terbuku. Tidak salah bermimpi seindah bulan, kerna ada Allah merealisasikan, asal tidak lupa usaha  diiring doa, ada semangat yang menyuntik rasa. Dengan Allah sebagai saksiku, aku menaip kata demi kata, moga karya ini menjadi bukti ketulusan cintaku, ya ALLAH, ikhlaskan hatiku. Aku dedikasikan karya ini untuk dakwah kepadaMu.

            Terima Ya Allah, terima kasih mak dan abah, terima kasih Kakak, Abe, Ain, Asyraf, Adik. Terima kasih guru-guruku, terima kasih sahabat-sahabatku dan terima kasih kepada insan yang membuka jalan dalam memaknakan ilmu yang ada.

Bohot Syukria!


Semoga karya ini dapat membangkitkan iman.
Kembalikan semangat di Terminal Musafir ini.
Sesungguhnya ada Allah dan orang-orang beriman yang selalu menemani di kala hati lelah.”

DaripadaMu kami datang, kepadaMulah kami kembali. Wassalam.
26 November 2013,
11.35 p.m.

Tuesday, September 10, 2013

Himpunkan kami sebagai keluarga



Bismillahirrahmanirrrahim.

Dulu kami melihat tegap badannya. Kuat kudratnya. Deras langkahnya. Kini tubuhnya tidak segagah dahulu ada kala mudah lelah dek berat tak termampu usia sang emas. Dahulu hitam rambutnya, lebat merimbun. Kini hanya ada putih menutup yang hitam. Rambutnya tidak seperti dahulu lagi. Dahulu masih lembut tangan yang menggenggam, kini urat-urat, tua kulitnya mula terasa. Namun, kasih dan sayang senantiasa bertambah dan masih tetap terasa muda. Kami ini permatamu ayah bonda. Saat hati digigit rindu, kata pantas mencantas rasa menyulam istimewa buatmu.


Mak...
Mak bukan seorang guru,  namun maklah guru terbaik mendidik kami,
Mak bukan seorang jururawat, namun mak mampu merawat sakit zahir dan batin kami,
Mak bukan seorang tukang jahit, namun pakaian kami mak mampu jahitkan,
Mak memang seorang chef, sudah pasti masakan maklah yang terbaik dihati kami.
Mak bukan seorang yang kaya, tapi hati mak sudah terlalu kaya dengan kasih dan sayang buat kami,
Mak memang pendiam, namun hanya mak orang yang mampu membuat kami tersenyum walaupun tanpa sebarang jenaka,
Daripada mak, kami belajar kesabaran,
Daripada mak, kami belajar menerima,
Daripada mak terlalu banyak erti yang tidak mampu terluah dengan kata.
Mak, di mata kami... Maklah isteri yang solehah, Ibu yang solehah juga anak yang solehah, mudah-mudahan mak juga dipandang oleh Allah sebagai hambaNya yang solehah.


Abah...
Abah bukan seorang ustaz, tapi abahlah ustaz bagi kami.
Abah bukan seorang imam masjid, namun abah mampu menjadi imam bagi kami,
Abah bukan seorang qari, tapi bacaan abah sangat merdu dihati kami,
Abah bukan seorang chef, namun abah juga chef bagi kami (selain mak :P),
Abah bukan seorang tukang, tapi abah mampu membaiki segala keperluan kami,
Abah bukan seorang yang kaya, tapi hati abah sudah terlalu kaya dengan kasih dan sayang buat kami,
Abah bukan seorang tentera, tapi ketegasan abahlah mendidik disiplin dalam diri kami,
Abah sudah pasti bukan seorang pelawak, namun abah mampu membuat kami riang bersama.
Daripada abah, kami belajar untuk mendidik,
Daripada abah, kami belajar erti kesabaran,
Daripada abah, kami belajar apa erti ketegasan,
Daripada abah, kami belajar ...dan  terlalu banyak erti yang tidak mampu dikongsi.
Abah, di mata kami, abahlah suami yang soleh, seorang ayah yang soleh, juga anak yang soleh, mudah-mudahan abah juga dipandang oleh Allah sebagai hambaNya yang soleh.


Satu ungkapan yang tetap dalam doaku dan akan terus ku merayu, “Ya Allah dengan rahmatMu yang Maha luas, ampunilah segala dosa kami dan himpunkanlah kami tetap sebagai sebuah keluarga di Syurga nanti bersama Rasul Mu dan para siddiqin. Janganlah kau pisahkan kami. “


#Rindukan kampung hakiki, syurga nan abadi. Sekiranya kita mampu merindui kampung halaman apakah yang menghalang kita dari merindui kampung yang hakiki? Tidakkah kita rindu untuk kembali ke syurga? Belajarlah merindui syurga. Sudahkah kita lupa kita berasal dari keturunan Nabi Adam dan Hawa, asalnya dari Syurga Allah yang amat indah. Jika hendak pulang ke kampung di dunia perlukan persiapan, bekalan, bagaimana pula jika kita ingin pulang ke kampung syurga?


M202,
9 September 2013,

10.17 P.M.

Friday, September 6, 2013

Pelupa



Bismillahirrahmanirrahim

Benar, Allah boleh mewujudkan keajaiban dalam kehidupan. Ingat lagikah kita? Atau Inilah aku, manusia yang lupa.

                Saat kita hilang sesuatu dari dunia, saat itu kita merasa umpama hilang segala-galanya. Hingga terbit dalam jiwa umpama kita tidak pernah merasa bahagia. Hanya derita yang menjelma. “Akulah manusia yang paling derita!” Namun, cuba kita bilang berapa banyak sangatlah dalam hidup kita telah melalui keperitan hidup berbanding kebahagiaan. “Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung.” Ketika  ditimpa musibah, terasa sesak umpama tiada lagi jalan keluar.Tapi hari ini ternyata, Allah telah keluarkan kita dalam keadaan yang baik dan usia kita terus bertatih dari ujian dan melalui ujian lain dan hakikatnya kita terus dan terus berjaya menempuhi apa jua keperitan ujian dan terus menikmati kurniaannya kerana Allah lah yang telah mengeluarkan kita dari pelbagai ranjang hidup. “Allah tidak membebani hambanya melainkan sesuai dengan kemampuannya.  

                Ketika dalam kesusahan. Saat itu kita mengatur doa umpama orang yang lemas dilautan dan hanya berpaut pada kayu. “Ya Allah! Tolonglah aku!” “Ya Allah! Tolonglah aku!” tapi hari ini umpama kita tidak pernah mengucapkan kata itu dan kita telah lupa. Kita telah lupa. Roda terus berputar. Saat ditimpa musibah hati terus rebah. Kita terasa dekat kepadaNya. Namun tika dilimpahi bahagia, kita sekali lagi lupa.

                Saat diuji, iman kita bertambah. Saat itu hati kita benar-benar bulat. “Cukuplah bagi kami Allah, dialah sebaik-baik tempat diserahkan urusan.” Lisan lancar mengucapkan kata. Manisnya iman kala diuji. Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakkal kepada Allah, maka dia akan mengetahui keajaiban bertawakkal dan benarlah sesiapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami rasa ini.  “Ya ALLAH aku serahkan urusan ini kepadaMu ya Allah.”

Tapi sekali lagi setelah Allah keluarkan kita dari tempat ujian itu, kita telah lupa, kita lupa segala derita yang dahulu dek terbuai dengan cinta dunia.

Inilah aku, manusia yang lupa.

Maka nikmat Tuhan yang manakah telah kau dustakan?

Terima Kasih ya Allah,
kekalkanlah aku dalam kemaruk Cinta padaMu,
Rindu hanya pada yang Satu.
M202,
Khamis,
5 September 2013,
6.29 p.m.


Wednesday, March 13, 2013

Owh, Bidadari sedang merinduimu...


Bismillahirrahmanirrahim



Tiap-tiap  orang yang beriman, Allah S.W.T
akan buatkan untuk mereka BIDADARI.



Allah S.W.T akan tulis nama di atas dada bidadari itu.



Jadi, takkan bertukar. Dia takkan pergi pada orang lain…



Disebut dalam satu riwayat.
Bila BIDADARI rindu pada suami mereka,
mereka akan keluar dari istana di syurga.



Syurga memang sudah ada…




Apabila melihat para BIDADARI keluar, malaikat ridwan bertanya, kenapa semua ramai keluar ini?
BIDADARI menjawab, kami nak lihat suami kami.
Rindunya, lamanya nak ke mari.




SEBAB TAK KIAMAT LAGI, TU YANG BELUM BOLEH MARI…



Maka malaikat ridhwan minta mereka jenguk ke atas. Dengan demikian Allah S.W.T  tunjukkan suami-suami mereka yang masih ada di dunia.



Ada yang sedang SOLAT MALAM, BERSEDEKAH, BERZAKAT DAN MEMBUAT KEBAJIKAN. BERSORAK GEMBIRALAH MEREKA DAN ADA YANG BERKATA,



OH, ALANGKAH BAIKNYA SUAMIKU.

(UAI)

Maaf sudah berbulan tidak menulis…
Melayari kehidupan di Damak,
Fi amanillah J
13 MAC 2013,
10.47 PM.

Wednesday, January 16, 2013

Hadiah 150113


Bismillahirrahmanirrahim.


Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu yang telah engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai; dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir kepada anak cucuku. Sungguh, aku bertaubat kepada Engkau, dan sungguh, aku termasuk orang muslim. (Al-Ahqaf :15)



Hanya mampu memanjatkan kesyukuran ke atas-Mu kerana dengan rahmat-Mu, kerana kasih sayang-Mu, aku masih bernafas di saat usia 23 Tahun, sedang aku sedar, betapa ramai insan, malah sahabatku sendiri telah pergi menemui-Mu pada angka 23 ini. Dengan usia ini, aku tahu siapa sesungguhnya aku, dengan kurnia nikmat usia ini aku berharap bukanlah makin bercambahnya dosaku dan hanya mengharap moga bertambah amal kebaikan, yang paling ku harapkan redha-Mu. Aku bukanlah hamba yang baik, apatah lagi anak yang solehah, kakak yang baik, adik yang baik bukan juga seorang sahabat yang baik, tapi aku berharap dan aku masih tetap terus berusaha mencapainya. Jika aku mengakui silap hari ini, aku sedar bahawa aku sentiasa dalam zon ‘mungkin’ akan mengulanginya esok. (Aku pohon doa daripada mak, abah, kakak, abe, ain, asyraf, Danial dan seluruh sahabat dan guruku).





Sahabat2, terima kasih atas doanya, moga dari hati yang tulus itu, dikabulkan Allah, segala kebaikan moga terus terlimpah atasku, wa imma  kebaikan itu bukan dalam erti ‘kebaikan’ dalam kefahamanku, kerana dalam pandanganku yang masih cetek ilmu dan tipisnya iman ini.



Anak-anak usrah umi (termasuk semua usrah yang pernah umi jaga), yang sudi menerima diri umi ini seadanya, moga ikatan hati terus terpatri, tiada apa yang mampu diberi  selain hanya apa adanya. Sangat menyayangi kalian seadanya dengan anugerah kasih dan sayang yang Allah berikan. Air mata dan gelak tawa kalian ‘semalam’ dan sepanjang perkenalan ini sangat menghiburkan dan ‘bakal’ umi rindui  (memori y manis ^^.) Jazakumullahu khairan jaza' atas 'hadiah' sempena 150113 ini.




masa darjah 6... pakai tudung sampai tak nampak mata :P


Juga buat semua pembaca blog ini, terutama beberapa angka silent reader, Alhamdulillah setiap kali post, dalam masa sehari, traffic sentiasa naik. Mohon maaf, jika ada e-mail, message fb  yang tak terbalas. Hanya mengharapkan ada manfaat ilmu untuk dikongsi bersama. Tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang insan yang diberi anugerah untuk menulis, moga inilah menjadi antara bekal yang akan terus mengalir buatku di alam sana.



fi amanillah ya Anis…
15 Januari 1990-15 Januari 2013,
Insya ALLAH, hadiah buat semua pembaca blog bakal tiba, hanya mohon doa daripada kalian.
Berusaha sebaik tadbir berharap sebaik taqdir.



Wednesday, January 9, 2013

Terminal Musafir (Insya ALLAH)



Hatiku, di Terminal Musafir ini berusahalah mewujudkan rasa sebenarnya keranaMu ya Allah...

            Aku harus sedar seandainya diri ini masih teragak-agak melakukan apa yang Allah suka dan masih terlalu berat meninggalkan perkara yang aku suka sedangkan aku tahu Allah membencinya, maka aku sedar… cintaku masih lemah.          Mengapa aku masih tidak bersedia mengharungi kesusahan demiMu, tapi masih sanggup mengharungi seperit apa pun kesusahan dalam mengejar dunia? Ketidaksanggupanku ini aku sedar, kerana lemahnya rasa cintaku….


Duhai hati, jangan engkau rakus dengan dunia. Dunia ini bukan dicipta untuk bermukim di daerah hati tetapi sekadar di hujung jari agar mudah engkau melepaskannya.  Dia menyentap untuk menyedarkan hati yang lalai, "Hai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Kembalilah kepada jalan yang Aku redhai."


Menantimu Terminal Musafir, d0akan aku, dalam kekangan masa ini....